Resident Playbook, drama terbaru lakonan Go Youn-jung, akhirnya mendapat tarikh tayangan selepas pembatalan jadual asalnya pada tahun 2024.
Drama yang merupakan spin-off kepada siri popular Hospital Playlist itu kini disahkan bakal menemui penonton pada 12 April 2025.
Penerbit CJ ENM mengumumkan berita ini pada Khamis (23 Januari), “Pada bulan April nanti, spin-off drama Hospital Playlist (karya Shin Won-ho dan Lee Woo-jung, hasil tulisan Kim Song-hee serta arahan Lee Min-soo) akan disiarkan kepada para penonton,” ujar kenyataan rasmi dari syarikat penerbitan tersebut.
Baca juga: Kdrama Resident Playbook Tidak Jadi Ditayangkan 2024 Ini, Mengapa?
Drama ini bakal membawa penonton menyelami kehidupan di sebuah hospital dengan fokus kepada persahabatan serta cabaran yang dihadapi oleh para doktor di bahagian obstetrik dan ginekologi di Cawangan Hospital Yulje, iaitu Hospital Jongro Yulje.
Antara pelakon yang akan menyerikan drama ini termasuklah bintang muda yang sedang meningkat naik seperti Go Youn-jung, Shin Shi-a, Han Ye-ji, dan Kang Yoo-seok. Lebih menarik lagi, kreator terkenal Shin Won-ho dan Lee Woo-jung turut kembali untuk memastikan kesinambungan kualiti cerita yang telah mereka bangunkan.
Sebagai tambahan, drama ini turut mendapat sentuhan penulis Kim Song-hee, yang sebelum ini terlibat dalam siri Reply 1988 dan Hospital Playlist, serta pengarah Lee Min-soo yang pernah mengarahkan The Stranger. Gabungan ini dijangka memberikan warna baru kepada siri Resident Playbook.
Pengumuman ini hadir selepas hampir empat bulan pembatalan tayangan drama ini pada tahun 2024 akibat isu sosial di Korea Selatan. Drama ini ditunda bagi mengelakkan reaksi negatif rakyat selepas gelombang protes besar-besaran yang melibatkan peletakan jawatan beramai-ramai oleh doktor di negara tersebut.
Protes tersebut berlaku sebagai tindak balas kepada rancangan kerajaan Korea Selatan yang ingin meningkatkan jumlah pelajar perubatan, sesuatu yang mencetuskan perdebatan hebat dalam kalangan profesional perubatan.
Pada asalnya, tayangan Resident Playbook dijadualkan pada separuh kedua tahun 2024 kerana proses penggambaran telah pun selesai. Namun, tekanan keadaan memaksa drama ini ditangguhkan lagi ke tahun berikutnya.
Kini, dengan pelbagai persiapan yang lebih rapi, Resident Playbook dijangka memberikan pengalaman baru kepada peminat siri Hospital Playlist, sekaligus memulakan lembaran baru dalam dunia drama perubatan. Nantikan tayangannya pada 12 April 2025!