Parasite Karya Bong Joon-ho Raih Gelaran Filem Terbaik Abad ke-21
Media ternama The New York Times baru-baru ini menjalankan tinjauan pendapat melibatkan lebih 500 pembikin filem, pelakon dan tokoh penting dalam industri perfileman Hollywood untuk menentukan filem terbaik sepanjang zaman.
Selain memilih kategori seperti filem Pixar terbaik dan filem seram terbaik, para responden turut diminta menamakan filem terbaik abad ke-21. Daripada ratusan judul yang dicalonkan, satu nama muncul sebagai juara mutlak, Parasite, filem dari Korea Selatan arahan Bong Joon-ho.
Filem yang pernah merangkul anugerah Palme d’Or dan empat trofi Oscar ini dinobatkan sebagai filem terbaik abad ini, menewaskan senarai saingan hebat lain.
Selain Parasite di tangga teratas, senarai 10 teratas turut dihuni judul-judul luar biasa yang dianggap wajib ditonton sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Berikut ialah senarai penuh:
1. Parasite (2019) – Bong Joon-ho
2. Mulholland Drive (2001) – David Lynch
3. There Will Be Blood (2007) – Paul Thomas Anderson
4. In the Mood for Love (2000) – Wong Kar-wai
5. Moonlight (2016) – Barry Jenkins
6. No Country for Old Men (2007) – Joel & Ethan Coen
7. Eternal Sunshine of the Spotless Mind (2004) – Michel Gondry
8. Get Out (2017) – Jordan Peele
9. Spirited Away (2001) – Hayao Miyazaki
10. The Social Network (2010) – David Fincher
Walaupun citarasa filem bersifat subjektif, keputusan ini sukar disangkal. Parasite sering disebut sebagai antara karya terbaik sepanjang masa oleh pencinta sinema, justeru kedudukannya di puncak senarai ini dianggap sangat layak.
“Sebuah kisah tentang jurang antara kaya dan miskin, serta kritikan tajam terhadap kesan buruk neoliberalisme, Parasite karya Bong Joon-ho mengikuti perjalanan sebuah keluarga miskin yang secara licik menyusup ke dalam kehidupan sebuah keluarga kaya,” menurut kenyataan The New York Times pada Ahad (29 Jun 2025).
“Bong, seorang maestro genre yang bebas daripada batasan konvensional, dengan cemerlang menggabungkan komedi absurd dan sindiran sosial yang tajam, sebelum meledakkannya dengan keganasan tragis yang mengejutkan dan tampak tidak dapat dielakkan,” tambah kenyataan itu lagi.
Kisah Keluarga Kim dalam Parasite
Parasite berpusat pada keluarga Kim, terdiri daripada si ayah Ki-taek, ibu Chung-sook, dan dua anak mereka, Ki-woo dan Ki-jung. Mereka hidup dalam kemiskinan di sebuah apartmen bawah tanah yang sempit dan lembap di kawasan padat kelas pekerja di Seoul.
Ki-woo, anak lelaki yang paling bersemangat dan bercita-cita tinggi, menyimpan impian untuk menamatkan kemiskinan keluarga mereka dengan melanjutkan pelajaran ke universiti suatu hari nanti.
Suatu hari, seorang sahabat Ki-woo bernama Min meminta beliau menggantikan tempatnya sebagai guru tuisyen peribadi kepada Park Da-hye, anak perempuan keluarga kaya, keluarga Park. Min sebenarnya berniat menjalin hubungan dengan Da-hye selepas gadis itu memasuki universiti dan dia kembali ke Seoul. Peluang ini menjadi titik mula kepada rangkaian peristiwa yang mengubah nasib keluarga Kim.
Keluarga Park tinggal di sebuah rumah mewah bergaya moden yang pernah direka dan didiami oleh seorang arkitek terkenal. Walaupun Encik dan Puan Park amat mementingkan status sosial, Puan Park pula bersifat naif dan mudah diperdaya. Atas sebab itu, Min menyarankan Ki-woo untuk tidak teragak-agak memalsukan latar belakang akademiknya bagi mendapatkan pekerjaan sebagai guru.
Setelah berjaya menyusup ke rumah keluarga Park, Ki-woo mendapati bahawa Puan Park juga sedang mencari seorang terapis seni untuk anak lelaki bongsunya, Da-song. Melihat peluang terbuka, Ki-woo segera mencadangkan “Jessica”, kononnya seorang pakar terapi profesional, tetapi sebenarnya ialah adiknya sendiri, Ki-jung, yang sangat pandai menipu.
Ki-woo yang mula jatuh hati kepada Da-hye, mula berangan-angan menjadi sebahagian daripada keluarga Park, hidup mewah dan selesa di rumah impian tersebut. Dari situlah, keluarga Kim mula menyusun strategi rapi untuk menyusup sepenuhnya ke dalam kehidupan keluarga kaya itu.
Satu demi satu pekerja asal rumah itu disingkirkan melalui taktik manipulasi licik, agar ahli keluarga Kim dapat mengambil alih peranan mereka secara penuh.
Parasite bukan sekadar filem ia adalah cerminan tajam realiti sosial, dan kini ia telah meletakkan nama Korea Selatan setanding dengan kuasa besar sinema dunia.