Para peminat genre sageuk fantasi dan romantik, bersiaplah!
7 November ini di platform penstriman Viu akan mempersembahkan sebuah lagi drama Korea baharu berjudul “Moon River”.
“Moon River” berpusat pada kisah pertukaran jiwa antara putera mahkota yang hilang tawa selepas kematian isterinya dan seorang pedagang wanita yang memiliki wajah seiras dengan mendiang Puteri tersebut.
Diarahkan oleh pengarah tersohor Lee Dong Hyeun, Moon River menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Kang Tae Oh, Kim Se Jeong, Lee Shin Young, Hong Su Zu, serta Jin Goo.
Sebelum mula menonton nanti, mari kita kenali setiap kisah dan karakter utama dalam drama Moon River ini:
1. Yi Kang (lakonan Kang Tae Oh)

Yi Kang ialah putera mahkota yang angkuh namun penuh luka batin. Di hadapan rakyat, dia kelihatan ceria dan yakin. Tetapi hakikatnya, dia menyimpan kesedihan mendalam akibat kehilangan isteri yang sangat dicintainya. Sejak kematian itu, hidupnya menjadi muram dan hanya dipenuhi rancangan untuk membalas dendam.
Dalam kesedihan itu, Yi Kang bertemu Park Dal Yi (Kim Se Jeong), seorang pedagang wanita yang mempunyai wajah mirip isterinya. Pertemuan tidak dijangka itu menyebabkan jiwa mereka bertukar tubuh secara misteri, memaksa Yi Kang menempuh kehidupan baharu yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya.
2. Park Dal Yi (lakonan Kim Se Jeong)

Park Dal Yi ialah seorang pedagang lincah dan menawan, terkenal dengan kepandaian berniaga yang menambat hati pelanggan. Namun, di sebalik sifatnya yang periang, Dal Yi menyimpan kisah silam yang tragis, dia telah kehilangan sebahagian ingatannya akibat satu insiden pada masa lalu.
Suatu hari, dia bertemu dengan putera mahkota Yi Kang. Pertemuan takdir itu membawa kepada pertukaran jiwa antara mereka, memaksa Dal Yi menyesuaikan diri dengan kehidupan di istana yang sarat dengan tipu muslihat dan perebutan kuasa.
3. Yi Woon (lakonan Lee Shin Young)

Yi Woon ialah sepupu kepada putera mahkota Yi Kang, dan bekas pewaris takhta yang telah digulingkan akibat satu peristiwa besar. Walaupun pernah dipinggirkan, Yi Woon menerima nasibnya dengan tenang dan memilih untuk hidup sederhana tanpa hasrat merampas semula kuasa.
Namun, statusnya sebagai bekas pewaris takhta menjadikan dia sasaran kecurigaan ramai, menyebabkan hidupnya sunyi dan penuh rasa terasing. Di sebalik wajah tenangnya, Yi Woon menyembunyikan kesepian yang mendalam dan kerinduan terhadap kasih manusia.
4. Kim Woo Hee (lakonan Hong Su Zu)
Kim Woo Hee ialah puteri tunggal kepada ahli majlis tertinggi negara dan dianggap wanita tercantik di Joseon. Selain memiliki rupa paras menawan, dia juga terkenal dengan kebijaksanaan dan keanggunan yang mencerminkan martabat keluarganya.
Namun di sebalik kesempurnaan itu, Woo Hee sebenarnya hidup sebagai boneka keluarga, dipergunakan demi kepentingan politik. Dalam diam, dia menyimpan keazaman untuk menentang takdirnya dan bercita-cita mencapai kedudukan tertinggi dalam pemerintahan Joseon.
5. Kim Han Cheol (lakonan Jin Goo)

Kim Han Cheol ialah anggota majlis tertinggi negara kiri dan menteri paling berkuasa di istana. Dengan jawatannya yang tinggi, dia digelar ‘menteri yang berkuasa melebihi raja’.
Di sebalik imejnya yang berwibawa, Han Cheol sebenarnya menyimpan rencana jahat untuk menakluki kerajaan. Dia tidak teragak-agak memanipulasi puteri tunggalnya sendiri sebagai alat politik demi mencapai cita-cita yang gila kuasa.
Dengan gabungan kisah pertukaran jiwa, dendam tersembunyi, dan perebutan kuasa di tengah-tengah istana Joseon, Moon River menjanjikan penceritaan yang dramatik dan menyayat hati.
Moon River akan menemui peminat K-Drama pada 7 November 2025, jangan lupa strim di Viu dan bersedia menyaksikan pertembungan dua jiwa dalam satu takdir.
Langgan juga Viu Premium untuk menonton pelbagai genre drama Korea tanpa sebarang gangguan iklan!








