Light Shop, sebuah drama Korea yang penuh misteri dan elemen seram, bakal melabuhkan tirainya pada Rabu, 18 Disember 2024.
Light Shop bukan sekadar bercerita tentang sebuah kedai lampu biasa, tetapi kedai yang menyimpan pelbagai rahsia dan kisah-kisah luar biasa. Kedai tersebut dijaga oleh seorang lelaki misteri bernama Jung Won Young yang dibawakan dengan cemerlang oleh pelakon terkenal, Ju Ji Hoon.
Namun, keunikan kedai ini bukan terletak pada lampu-lampu yang dijual, sebaliknya pada pengunjungnya yang bukan sekadar manusia biasa. Kedai lampu ini menjadi tempat persinggahan hantu-hantu dan roh yang terperangkap di antara kehidupan dan kematian, menjadikannya premis yang menyeramkan namun memikat untuk ditonton.
Menjelang episod akhir, Light Shop menyajikan pelbagai kejutan yang memeranjatkan dan tidak dijangka. Setiap pendedahan membuka lembaran baru tentang watak-watak dan kisah masa lalu mereka yang tragis.
Bagi peminat drama yang gemar teka-teki, elemen plot twist atau kejutan ini pastinya memberikan kepuasan tersendiri dan membuatkan penonton tidak senang duduk. Berikut adalah beberapa kejutan yang telah disajikan dalam episod sebelum ini:
1. Kim Hyun Min dan Jahitan Tubuhnya
Salah satu kejutan yang paling menyayat hati adalah kisah Kim Hyun Min (Uhm Tae Goo), roh yang mengalami kecederaan akibat kemalangan ngeri. Kecederaannya begitu parah sehingga tubuhnya berada dalam keadaan tidak sempurna. Namun, yang lebih mengejutkan ialah peranan Lee Ji Young (Seolhyun), seorang hantu yang sentiasa berada di sisinya. Dengan penuh kesabaran dan rasa tanggungjawab, Ji Young terus menjahit tubuh Hyun Min seolah-olah cuba mengembalikan keutuhan roh lelaki itu. Tindakan ini melambangkan keinginan Ji Young untuk memperbaiki sesuatu yang telah musnah, mungkin sebagai penebusan dosa atau kerana ikatan emosi antara mereka.
Baca juga: Identiti Pemilik Kedai Lampu di Light Shop, Lihat 3 Fakta Menarik Ini
2. Rahsia Kuku Lee Ji Young
Kisah tragik Lee Ji Young pula menambahkan lagi elemen seram dalam drama ini. Sebelum meninggal dunia, Ji Young berusaha keras melepaskan tali yang menjerut lehernya, dipercayai sebagai punca kematiannya. Usahanya begitu gigih sehingga kuku-kuku di jarinya tertanggal dan akhirnya berada di tapak tangannya. Simbolik ini menggambarkan betapa dahsyatnya perjuangan Ji Young untuk bebas daripada cengkaman maut, sekali gus menjadikan babak ini salah satu momen paling mengerikan dan menyedihkan dalam drama.
3. Kemalangan Bas yang Tragis
Kemalangan maut yang menjadi titik penting dalam penceritaan Light Shop ternyata bukan sekadar kemalangan biasa. Bas yang dipandu oleh Oh Seung Won (Park Hyuk Kwon) mengalami kerosakan teknikal yang menyebabkan tragedi besar. Akibatnya, beberapa orang penumpang terkorban manakala yang lain koma, menjadikan kemalangan ini sebagai punca roh-roh berkeliaran di sekitar kedai lampu tersebut. Plot ini membuka mata penonton terhadap kepentingan nasib dan takdir dalam kehidupan, di mana satu kesilapan kecil mampu merubah segalanya.
Baca lagi: Siapakah Detektif Yang dalam “Light Shop”? Watak Penting dalam Kang Full Universe
4. Hubungan Yoon Sun Hae dan Park Hye Won
Kisah cinta tragis turut menghiasi drama ini apabila Yoon Sun Hae (Kim Min Ha) sebenarnya menjalin hubungan dengan Park Hye Won (Kim Sun Hwa), roh berambut panjang yang sering kelihatan di sisinya. Perhubungan mereka tidak diketahui sesiapa, namun pendedahan ini menambahkan lapisan emosi yang mendalam. Park Hye Won bukan sekadar hantu yang menghantui Sun Hae, tetapi seseorang yang pernah menjadi sebahagian penting dalam hidupnya.
5. Pengorbanan Park Hye Won
Babak kemalangan yang meragut nyawa Park Hye Won turut menjadi antara detik paling menyentuh hati. Dalam saat-saat genting, Park Hye Won memeluk Sun Hae dari belakang, melindunginya daripada impak kemalangan tersebut. Walaupun pengorbanan ini menyelamatkan nyawa Sun Hae, ia meragut nyawa Hye Won. Babak ini memberi mesej tentang cinta yang kekal wujud walaupun maut memisahkan, menjadikannya momen penuh emosi dan simbolik.
Baca juga: “Light Shop” Memukau Penonton dengan Gabungan 3 Elemen Unik – Realiti, Fantasi dan Misteri
6. Detektif Yang Sung Sik dan Keanehan Toko Lampu
Watak Detektif Yang Sung Sik (Bae Sung Woo) muncul sebagai individu yang pertama menyedari keanehan bukan sahaja dalam dirinya tetapi juga pada kedai lampu yang dijaga oleh Jung Won Young. Keinginannya untuk merungkai misteri kedai tersebut membawa penonton lebih dekat kepada pendedahan rahsia kedai lampu yang gelap dan penuh tanda tanya.
7. Identiti Jung Won Young sebagai Grim Reaper
Pendedahan paling mengejutkan berlaku apabila Jung Won Young membuka kacamatanya. Mata yang selama ini disembunyikan akhirnya kelihatan seperti mata kucing, ciri-ciri yang sering dikaitkan dengan grim reaper atau malaikat maut. Identiti ini menjawab banyak persoalan tentang kehadiran Jung Won Young di kedai tersebut dan kaitannya dengan roh-roh yang singgah di situ.
8. Joo Hyun Joo merupakan salah seorang mangsa koma
Ramai orang menyangka Joo Hyun Jo (Shin Eun Soo) adalah hantu. Dia meninggal dunia dalam kemalangan bas. Cuma Hyun Joo tidak menyedari bahawa dia adalah hantu lalu dia terus menjalankan aktiviti seperti biasa. Teori ini berdasarkan rakan-rakan Hyun Jo di sekolah yang tidak menyedari kewujudannya. Mereka langsung tidak bercakap dengan Hyun Jo, cikgu pun tidak memanggil namanya ketika mengambil kehadiran.
Bukan itu sahaja, dikatakan di dalam kelas ada 2 kerusi untuk hantu, tetapi hanya satu kerusi yang ditonjolkan. Sebab itu penonton menganggap Hyun Joo adalah hantu yang mayatnya masih belum ditemui. Lebih-lebih lagi, mayatnya tidak berada di ICU pada penghujung episod 4.
Namun selepas dua episod terbaru (episod 5 dan 6) disiarkan, didapati ibunya meninggal dunia dan Hyun Jo tidak berada di ICU tetapi di wad lain dan juga masih dalam keadaan koma.
Drama Light Shop berjaya memukau penonton dengan pelbagai kejutan yang mendebarkan dan penuh emosi. Setiap rahsia yang terbongkar menambah lapisan cerita yang bukan sahaja menyeramkan tetapi juga menyentuh perasaan. Episod 5 dan 6 menjadi kemuncak yang penuh dengan kejutan, menjadikan drama ini sebuah karya yang wajib ditonton hingga ke penghujung.