Li Jiulin mula bergiat dalam bidang lakonan pada tahun 2016 menerusi drama Dear Archimedes. Setahun selepas itu, beliau membintangi filem Lovers Across Space bersama Wang Churan.
Pada asalnya, Li Jiulin bekerja sebagai model ketika di universiti. Beliau membintangi banyak iklan sebelum akhirnya ditawarkan untuk menyertai industri hiburan melalui sebuah agensi.
Antara drama popular yang pernah dibintangi olehnya termasuk You Are My Destiny dan Who Rules the World sebagai pelakon sampingan. Watak utama lelaki pertama yang dibawakan olehnya ialah sebagai Lu Ting Xiao dalam drama Decreed by Fate.
Sepanjang tahun 2025 sahaja, sudah terdapat lima drama baharu lakonan Li Jiulin yang menemui penonton. Jom lihat senarainya!
1. A Forbidden Marriage

Ditayangkan pada 17 Ogos 2025.
Yuan Yingxing (Li Jiulin), Ketua Sekte Shengyue, ingin bernikah dengan Yao Fu (Zhang Xin) dari Sekte Yunmen, namun majlis itu rupa-rupanya adalah perangkap untuk memusnahkan Sekte Shengyue.
Wang Yue (Zhou Jie Qiong), Gadis Suci Sekte Shengyue, dijatuhkan ke dalam tebing dan apabila sedar, dia mendapati dirinya dilahirkan semula sebagai yatim piatu bernama Yang Wangyue.
Dengan identiti baharu ini, dia berusaha membangkitkan semula kejayaan sektenya serta menyelamatkan rakan-rakan yang ditawan.
2. The Antidote to Love

Ditayangkan pada 2 Jun 2025 di WeTV (24 episod).
Mengisahkan percintaan antara seorang putera dan ahli perubatan.
Putera Ning (Li Jiulin) hampir terbunuh di medan perang sebelum diselamatkan oleh Yi Jiu (Zhu Lilan), yang sebenarnya ialah Dewi Suku Bulan. Bersama-sama, mereka berjuang untuk menyingkap kebenaran di sebalik tragedi pembunuhan Klan Bulan.
3. Inescapable

Ditayangkan pada 25 April 2025 di Mango TV (20 episod).
Selepas kematian pelukis Jiang Muyao (Xiao Yu), suaminya Feng Gaole (Li Jiulin) mewarisi harta besar dan mula menjadi terkenal dalam dunia seni. Namun, dia sering diganggu mimpi buruk.
Dalam sesi terapi, dia bertemu Lu Yu (Xiao Yu), saudara kembar Jiang Muyao, yang berazam membalas dendam dan mempergunakan Feng Gaole. Namun, perasaan cinta mula berputik dan rahsia lama terbongkar.
4. Burning Passion

Ditayangkan pada 26 Mac 2025 di WeTV (24 episod).
Shen Qingru (Zhu Jintong) kehilangan ibunya secara tragis, lalu dipaksa berkahwin dengan lelaki yang nazak demi membawa “tuah”. Malangnya, dia hampir dikuburkan hidup-hidup oleh keluarga suaminya.
Shen Cheng (Li Jiulin), seorang lelaki bisu dari keluarga kaya, disangka telah mati tetapi sebenarnya masih hidup dan menyamar. Dia kembali selepas bertahun-tahun, demi melindungi Shen Qingru.
5. Wild Rose

Ditayangkan pada 6 Mac 2025 di WeTV (24 episod).
Cheng Youran (Zhu Jintong), pewaris yang jatuh miskin, menyamar sebagai Su Xinyue untuk menuntut bela atas pembunuhan ibunya serta merampas semula harta keluarganya.
Dia berpura-pura bertunang dengan Xu Shi An (Li Jiulin), pewaris Xingyun Group yang juga anak kepada pembunuh ibunya. Namun, Xu Shi An yang mengetahui identiti sebenarnya diam-diam membantu misi dendamnya.
Li Jiulin kini semakin dikenali kerana kerap membintangi drama bersiri pendek dengan jalan cerita yang padat dan penuh emosi. Antara lima drama terbaru ini, yang manakah sudah anda tonton?







