Drama original Disney+, Light Shop, mungkin kelihatan seperti kisah misteri seram biasa pada mulanya. Namun, di sebalik cerita penuh suspens dan penuh elemen mistik, ia sebenarnya menawarkan pandangan mendalam tentang ikatan manusia, khususnya hubungan yang diuji di ambang kematian.
Pelakon utama siri ini, Ju Ji Hoon, menggambarkan Light Shop bukan sekadar cerita biasa. Dalam wawancaranya bersama The Korea Times di Seoul, beliau berkongsi, “Drama ini tidak hanya berasaskan emosi pelakon. Sebaliknya, mesejnya adalah keutamaan, sementara watak-watak bertindak sebagai alat untuk menyampaikannya.”
Menghidupkan Kisah Kang Full
Berdasarkan webtoon popular oleh Kang Full, yang juga mencipta siri terkenal Moving, Light Shop membawa penonton ke dunia di mana sekumpulan individu yang hampir berada di hujung hayat mereka tiba-tiba tertarik ke sebuah kedai lampu misteri di lorong sunyi. Penjaga kedai itu, Jung Won-young (dilakonkan oleh Ju Ji Hoon), menyimpan rahsia besar tentang masa lalu, masa kini, dan masa depan mereka.
Sebagai peminat tegar Kang Full, Ju Ji-hoon tidak teragak-agak menerima tawaran watak ini. “Saya membesar membaca webtoon Kang dan sangat mengagumi jalan cerita kompleks yang beliau cipta. Apa yang istimewa tentang karya ini ialah setiap watak mempunyai naratif sendiri yang saling berkaitan, menjadikan cerita ini begitu mendalam dan memukau,” katanya.
Ju Ji Hoon turut memuji Kang Full kerana berjaya menulis setiap watak dengan empati mendalam. “Beliau mencipta naratif dengan menjiwai setiap watak secara teliti, tanpa mengecualikan sesiapa. Perspektif hangat beliau membuatkan setiap cerita terasa begitu manusiawi dan dekat di hati,” tambahnya.
Menjadi Penjaga di Antara Dua Dunia
Dalam siri ini, Ju Ji Hoon membawa watak penjaga kedai lampu yang penuh misteri. Watak ini bukan sahaja dihantui masa lalu yang tragis, tetapi juga bertanggungjawab mengawal sempadan antara dunia manusia dan alam selepas mati. Demi menyelamatkan anak perempuannya, Jung Won-young mengorbankan dirinya untuk menjadi pemilik kedai tersebut. Kedai ini menjadi tempat persinggahan di mana individu yang hampir menemui ajal membuat pilihan terakhir tentang takdir mereka.
Ju Ji Hoon menggambarkan wataknya sebagai lebih daripada sekadar manusia biasa. “Watak saya bukan individu spesifik. Dia adalah pemerhati yang bertindak sebagai jambatan antara emosi pengarah dan penonton,” jelasnya.
“Kedai lampu ini adalah nadi utama cerita. Para tetamu yang datang silih berganti membawa irama dan karakter masing-masing. Ia menjadikan setiap interaksi unik, memerlukan saya untuk berbincang dan menyesuaikan persembahan saya bersama pengarah dalam setiap adegan,” tambah Ju, sambil menyatakan bahawa proses ini adalah cabaran yang menyeronokkan.
Babak Paling Emosional
Salah satu adegan yang paling menyentuh hati ialah apabila wataknya menangis setelah menyedari dia terselamat daripada runtuhan bangunan tanpa anak perempuannya. Tangisan itu bukan hanya mencerminkan kehilangan, tetapi juga rasa bersalah yang mendalam.
“Ia adalah pengalaman lakonan yang berbeza buat saya,” Ju berkongsi. “Sebelum ini, lakonan sedih saya berkaitan dengan emosi saya sendiri. Namun, kali ini ia tentang rasa empati,‘ apa yang harus saya lakukan? Anak saya begitu tidak berdaya.’ Perasaan itu lebih kuat daripada sekadar kesedihan.”
Menurut Ju Ji Hoon, babak itu memberikan pengalaman baru yang sukar dilupakan. “Saya tidak pernah merasai emosi sebegitu sebelumnya. Ia aneh, tetapi dalam masa yang sama, begitu mendalam,” katanya.
Dengan gabungan naratif yang menyentuh jiwa, lakonan penuh perasaan, dan mesej yang mendalam, Light Shop adalah satu lagi karya hebat yang berjaya menyentuh hati para penonton. Sudahkah anda menonton hingga akhir drama ini?