Selepas enam tahun berlalu, watak badut menggerunkan Pennywise lakonan Bill Skarsgård akan kembali menghantui penonton menerusi siri terbaharu IT: Welcome to Derry.
IT: Welcome to Derry dijadualkan tayang pada 27 Oktober 2025, siri lapan episod ini diyakini bakal menjadi satu lagi adaptasi berjaya daripada karya seram agung Stephen King.
Berlatar pada tahun 1962, treler rasmi IT: Welcome to Derry menampilkan suasana sibuk kota kecil Derry, sekali gus memperkenalkan watak-watak baharu yang bakal berdepan ancaman ngeri.

Kisah IT: Welcome to Derry bermula dengan sebuah keluarga yang berpindah dari pangkalan tentera ke bandar kecil yang kelihatan tenang, namun mendapati sukar menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
Pada masa yang sama, sekumpulan kanak-kanak mula menyiasat rentetan kehilangan misteri penduduk bandar itu, seolah-olah kota tersebut “disandera” oleh makhluk yang muncul pada waktu malam.


Apabila kamera mengikut langkah mereka menyusuri lorong-lorong selokan, sosok bayangan dengan belon merah perlahan-lahan kelihatan di bawah sinar bulan — mengisyaratkan kembalinya Pennywise.
Sambungan Dunia Stephen King

Apa yang membuatkan treler ini semakin menarik adalah banyaknya butiran yang menghubungkan siri ini dengan karya-karya lain Stephen King.
Antaranya termasuk kemunculan bas berisi banduan dari Shawshank State Penitentiary, serta pengenalan watak Dick Hallorann dari The Shining yang diberi ruang penceritaan lebih besar.
Sentuhan Andy Muschietti, pengarah yang berjaya menjadikan dua filem IT terdahulu fenomena seram moden, jelas terasa. Kali ini beliau berganding bersama Barbara Muschietti dan Jason Fuchs sebagai pencipta bersama siri ini.
📎 https://www.instagram.com/p/DO83UlxE_rj/
Barisan Pelakon

Antara pelakon yang membintangi siri ini termasuk:
Dalam satu temu bual pada 26 September 2025, Taylour Paige berkongsi rasa teruja:
“Saya benar-benar bersemangat dengan projek ini. Ia bukan sahaja penting, malah menghiburkan. Ia adalah fiksyen sejarah yang masih berada dalam genre seram, lahir daripada salah seorang pemikir terbesar sepanjang zaman. Jadi, ada segalanya di sini.”
Perancangan Musim Akan Datang

Pada Januari lalu, Andy Muschietti mendedahkan bahawa terdapat perancangan untuk menghasilkan tiga musim IT: Welcome to Derry, dengan setiap musim diilhamkan daripada interlude yang terkandung dalam novel asalnya.
Menurutnya:
“Interlude pada asasnya ialah bab-bab yang merakam kajian Mike Hanlon. Ia adalah serpihan catatan penyelidikannya, yang menghuraikan peristiwa besar dan mengerikan di masa lalu, seperti kebakaran di Black Spot, pembunuhan kejam kumpulan perompak bank Bradley Gang pada era 1930-an, serta letupan di Kitchener Ironworks. Setiap kali Pennywise keluar daripada hibernasi, pasti ada tragedi besar yang menandakan permulaan kitaran baharu.”
Fakta bahawa siri ini dibina berdasarkan interlude menjadi sebab mengapa kisah prekuel ini disampaikan dalam urutan terbalik.
Sekiranya musim kedua diteruskan, ia akan berlatar pada tahun 1935, manakala musim ketiga yang juga terakhir akan membawa penonton kembali ke tahun 1908.








