Manga Hirayasumi karya Keigo Shinzo secara rasmi diumumkan bakal diadaptasi kepada dua bentuk tayangan sekaligus, iaitu siri anime televisyen dan drama aksi nyata (live action).
Menurut laporan Crunchyroll pada Selasa, 22 Julai 2025, adaptasi drama Hirayasumi dijadualkan bersiaran pada musim luruh 2025, setiap hari Isnin hingga Khamis dari pukul 10:45 malam hingga 11:00 malam menerusi program drama malam di saluran NHK General TV pada musim gugur 2025.
Setiap episod drama aksi nyata ini akan berdurasi selama 15 minit dan akan ditayangkan di saluran NHK General TV.

Sementara itu, untuk adaptasi siri anime televisyen Hirayasumi, pihak VIZ Media akan bekerjasama dengan Shogakukan-Shueisha Production Co., Ltd. Penghasilan animasinya pula akan dikendalikan oleh studio Production +h.
Studio Production +h sebelum ini pernah menghasilkan karya-karya mengagumkan seperti The Orbital Children dan Dededede Destruction daripada Dead Dead Demon.
Maklumat lanjut berkenaan adaptasi anime Hirayasumi, termasuk tarikh tayangan, barisan pelakon suara, serta staf yang terlibat dalam proses produksi masih belum diumumkan, namun dijangka akan didedahkan dalam masa terdekat.
Keigo Shinzo, mangaka Hirayasumi, turut menyuarakan kegembiraannya dengan menulis ucapan di akaun media sosial X (dahulu dikenali sebagai Twitter):
“Saya amat gembira apabila mengetahui karya ini bakal diadaptasi menjadi anime dan drama! Saya benar-benar menantikan tayangan kedua-duanya!”
Bersama ucapan itu, Keigo turut berkongsi ilustrasi khas sempena pengumuman tersebut, memaparkan watak Hiroto yang sedang melompat riang dengan senyuman lebar di hadapan bunga matahari yang menjulang tinggi melepasi bumbung rumah satu tingkat. Di sisi Hiroto pula berdiri Natsumi yang kelihatan bangga dengan ekspresi wajahnya.
Keigo Shinzo memulakan kerjaya sebagai mangaka pada tahun 2008 melalui karya sulungnya bertajuk Nankin. Beliau terkenal sebagai penulis Tokyo Alien Bros, dan telah menghasilkan pelbagai karya yang meraih pengiktirafan dan anugerah.
Manga Hirayasumi turut mencipta pelbagai pencapaian, antaranya memenangi Hadiah Utama dalam Kagayake! Bros Comic Awards 2021, Hadiah Utama dalam Anugerah Budaya Tezuka Osamu ke-27, serta anugerah ‘Komik Bersiri Terbaik’ di festival budaya pop Itali, Lucca Comics & Games 2024.

Manga ini mula diterbitkan pada April 2021 dalam majalah Weekly Big Comic Spirits terbitan Shogakukan. Setakat ini, telah diterbitkan sebanyak lapan jilid, dan jilid kesembilan merupakan yang terbaharu, telah dilancarkan di Jepun pada 30 Julai.
Versi terjemahan bahasa Inggeris bagi manga ini diterbitkan oleh VIZ Media pada Mei 2024, dan menerima pujian meluas kerana gaya seni yang halus serta penceritaan kehidupan harian yang menyentuh hati.
Sehingga kini, siri Hirayasumi telah terjual lebih daripada 1.1 juta salinan di seluruh dunia. Enam jilid dalam versi bahasa Inggeris juga telah diterbitkan oleh VIZ Media.
Manga Hirayasumi bergenre slice-of-life ini berkisarkan tentang Ikuta Hiroto, seorang lelaki berusia 29 tahun yang berjiwa bebas dan riang. Hiroto tidak mempunyai pekerjaan tetap, pasangan hidup mahupun masa depan yang pasti.

Namun, kerana sifatnya yang baik hati, Hiroto mewarisi sebuah rumah satu tingkat daripada nenek jirannya yang telah meninggal dunia akibat serangan jantung dan tidak mempunyai waris.
Tiga bulan kemudian, Natsumi Kobayashi, seorang gadis berusia 18 tahun berpindah dari kampung halamannya di Yamagata ke Tokyo untuk melanjutkan pelajaran di sekolah seni.
Oleh kerana tiada tempat tinggal, Natsumi menumpang tinggal bersama sepupunya, Hiroto, yang sudah bertahun-tahun tidak ditemuinya.
Sikap Hiroto yang ceria dan selamba sering disalah tafsir oleh orang sekelilingnya. Dalam dunia yang penuh kebimbangan, kekeliruan dan kesedihan, Hiroto dan orang-orang di sekelilingnya hanya berusaha sedaya upaya untuk memahami erti sebenar kehidupan.







