Menjelang tayangan perdana, drama Korea baharu berjudul Hunter with a Scalpel telah mendedahkan salah satu watak utama yang bakal mencuri tumpuan, Seo Se Hyun lakonan Park Ju Hyun. Mengangkat genre thriller jenayah psikologi, Hunter with a Scalpel mengisahkan tentang Seo Se Hyun (Park Ju Hyun), seorang pakar patologi forensik yang pintar tetapi menyimpan kisah silam yang rumit.
Suatu hari, ketika menjalankan autopsi, beliau menemui bukti yang kelihatan mengaitkan ayahnya dengan satu siri pembunuhan. Bagi melindungi kisah gelap keluarganya daripada terbongkar, Seo Se Hyun (Park Ju Hyun) berpacu dengan masa untuk menjejak ayahnya sendiri sebelum pihak polis berjaya menemuinya terlebih dahulu.
Ingin tahu lebih lanjut tentang watak Seo Se Hyun (Park Ju Hyun)? Berikut empat fakta penting yang perlu anda ketahui:
1. Seorang Pakar Forensik yang Berbakat

Seo Se Hyun ialah seorang doktor forensik cemerlang di Perkhidmatan Forensik Kebangsaan. Beliau dikenali kerana kemahiran luar biasa dalam melakukan autopsi, naluri tajam dalam membaca tingkah laku penjenayah, serta dorongan kuat untuk membongkar kebenaran dan menegakkan keadilan.
2. Berperwatakan Dingin dan Degil

Di sebalik bakatnya, Seo Se Hyun memiliki perwatakan dingin, keras kepala, dan sukar untuk berempati, menjadikan hubungan sosialnya tegang.
Menurut laporan Soompi, pasukan produksi menggambarkan Seo Se Hyun sebagai seorang yang sepenuhnya fokus terhadap kerja, dengan kehadiran yang tajam dan membeku. Renungan matanya yang menusuk menambah ketegangan, menggambarkan ketelitian dan ketegasannya dalam menyingkap kebenaran.
Sikapnya ketika menjalankan tugas turut mencerminkan sisi psikologinya yang tertutup dan menggusarkan. Pasukan produksi menyatakan, “Park Ju Hyun dengan teliti membawakan watak yang kompleks ini melalui sikap dingin dan acuh tak acuh yang menyembunyikan naluri pembunuh serta trauma silam.”
Mereka menambah, “Beliau benar-benar menyelami lapisan emosi yang rumit dan menjadikan watak ini sebahagian daripada dirinya. Kami yakin beliau akan menjadi nadi penggerak utama drama ini.”
3. Anak kepada Pembunuh Bersiri

Seo Se Hyun dibesarkan oleh seorang pembunuh bersiri psikopat bernama Yoon Jo Kyun (dilakonkan oleh Park Yong Woo), yang digelar “Si Penjahit”.
Yoon Jo Kyun merupakan seorang yang obses membedah tubuh manusia dan merancang dengan rapi untuk membangkitkan naluri membunuh dalam diri anak perempuannya, dengan harapan dapat memerangkapnya ke dalam dunia gelapnya sendiri.
4. Bergandingan dengan Jung Jung Hyun dalam Misi Menyiasat

Seo Se Hyun kemudiannya bertemu dengan Jung Jung Hyun (Kang Hoon), ketua pasukan unit jenayah ganas di Balai Polis Yongcheon. Jung Hyun datang ke Perkhidmatan Forensik Kebangsaan bagi mendapatkan bantuan Seo Se Hyun dalam menyiasat satu kes pembunuhan.
Namun, personaliti mereka berdua sangat bertentangan, Seo Se Hyun bersifat dingin dan tajam, manakala Jung Jung Hyun pula bersikap hangat dan optimis. Hubungan mereka berayun antara kerjasama dan syak wasangka, lebih-lebih lagi apabila Seo Se Hyun menyembunyikan identiti ayahnya sebagai pembunuh bersiri dan berusaha menjejaknya sebelum Jung Jung Hyun sempat membongkar rahsia itu.
Ketika Jung Hyun semakin menghampiri kebenaran, perasaan tertarik kepada Seo Se Hyun mula muncul, namun pada masa yang sama beliau tidak mampu menghilangkan rasa curiga terhadap wanita itu.
Menurut kenyataan pasukan produksi yang dipetik oleh Soompi, “Perkembangan cerita apabila Seo Se Hyun dan Jung Jung Hyun, dua watak yang sangat berbeza, bertembung akan menjadi elemen penting yang membina ketegangan dalam drama ini.”
Mereka menambah, “Kami berharap para penonton menantikan keserasian unik yang bakal ditampilkan menerusi lakonan hebat Park Ju Hyun dan Kang Hoon.”
Itulah empat fakta menarik tentang watak Seo Se Hyun dalam drama Korea Hunter with a Scalpel, yang dijadualkan untuk tayangan perdana pada 16 Jun 2025 menerusi U+TV, U+Mobile TV dan Disney+.








