Drama Confidence Queen (2025) akhirnya menutup tirainya dengan episod akhir yang penuh kejutan.
Yi Rang (Park Min Young) melancarkan serangan balas dendam terakhir terhadap Kang Yo Seop (Kim Tae Hoon), dalang sebenar di sebalik penculikannya suatu ketika dahulu.
Walaupun sempat bertelagah dengan Gu Ho (Joo Jong Hyuk) dan James (Park Hee Soon), Yi Rang tetap nekad bergerak sendirian tanpa rasa takut. Namun, siapa sangka pengakhiran drama ini bukan sahaja menegangkan, malah sarat dengan kejutan yang tidak disangka-sangka, membuatkan penonton terpaku hingga ke akhir.
Berikut antara plot twist paling mengejutkan dalam episod penutup Confidence Queen:
1. Pasukan Confidence Man bersatu semula

Meskipun sempat berpecah, akhirnya mereka kembali bergabung secara rahsia dan merancang strategi yang amat teliti untuk memperdayakan Kang Yo Seop.
2. Penangkapan Yi Rang, James dan Gu Ho hanyalah helah

Adegan mereka seolah-olah tertangkap basah rupa-rupanya hanyalah sebahagian daripada rancangan untuk memancing kemarahan dan rasa puas hati palsu dalam diri Yo Seop.
3. Semua pihak sebenarnya sudah berpakat dengan pasukan Yi Rang

Tidak disangka, setiap individu yang terlibat dalam operasi ini — termasuk Menteri Pengangkutan, sebenarnya bekerja sama dengan pasukan Confidence Man sejak awal.
4. Penggunaan teknologi canggih untuk menjebak Yo Seop

Pasukan Yi Rang menggunakan teknologi deepfake dan manipulasi video bagi mencipta situasi palsu yang membuatkan Yo Seop terperangkap dalam pertemuan yang disangkanya benar-benar selamat.
5. Yo Seop akhirnya tewas dalam permainan ciptaannya sendiri

Yi Rang memastikan Yo Seop terpaksa berdepan kenyataan bahawa dia kalah dalam permainan tipu daya yang asalnya dia mulakan sendiri.
6. Undang-undang masih berpihak kepada Yi Rang

Statut had masa yang disangka telah luput sebenarnya masih sah, membolehkan pihak berkuasa menahan Yo Seop secara sah menurut undang-undang.
7. Percubaan melarikan diri berakhir tragis

Yo Seop cuba melarikan diri dengan menaiki kereta, namun kenderaannya terjunam dari jambatan ke sungai. Nasibnya selepas itu masih menjadi tanda tanya.
8. Adegan pascakredit mengisyaratkan permainan baru bakal bermula

Dalam babak selepas kredit, Yi Rang memberi bayangan bahawa misi mereka belum berakhir. Pasukan Confidence Man dilihat sedang bersiap sedia menargetkan sasaran baharu.
Pengakhiran Confidence Queen benar-benar meninggalkan kesan mendalam kepada penonton. Bukan sahaja kerana dendam Yi Rang akhirnya terbalas, tetapi juga kerana cara pasukannya menamatkan permainan dengan begitu bergaya dan penuh kejutan.
Persoalannya kini, adakah ini benar-benar penamat kisah mereka, atau sekadar permulaan kepada satu permainan baharu yang lebih berani?








