Menonton drama Korea di waktu lapang memang sesuatu yang menghiburkan. Namun, memilih drama untuk ditonton kadangkala boleh jadi cukup mengelirukan kerana terdapat terlalu banyak pilihan dengan pelbagai genre menarik.
Jika anda sedang mencari tontonan dengan jalan cerita unik, berikut adalah lima drama Korea genre fantasi bertemakan malaikat yang pasti membuat anda teruja:
1. Angel’s Last Mission: Love (2019)

Drama Korea ini mengisahkan Kim Dan (Kim Myung Soo), seorang malaikat yang diturunkan ke bumi untuk menjalankan misi. Dia ditugaskan menjadi “Dewa Cinta” buat Lee Yeon Seo (Shin Hye Sun), seorang balerina yang hilang kepercayaan terhadap cinta selepas menjadi buta akibat kemalangan. Namun, misi itu bertukar menjadi rumit apabila Kim Dan sendiri jatuh cinta kepadanya, sekali gus melanggar aturan langit.
2. Tomorrow (2022)

Tomorrow mengisahkan sekumpulan malaikat maut yang mempunyai peranan masing-masing, antaranya menyelamatkan manusia daripada cubaan membunuh diri. Choi Joon Woong (Rowoon) terlibat dalam kemalangan sehingga koma, lalu rohnya bertemu dengan malaikat maut. Dia akhirnya menyertai pasukan penyelamat tersebut dan diberi peluang untuk kembali hidup jika berjaya menamatkan misinya.
3. Kokdu: Season of Deity (2023)

Setiap 99 tahun, seorang malaikat turun ke bumi untuk menghukum manusia yang berdosa. Dia merasuki tubuh seorang lelaki bernama Do Jin Woo dan secara tidak sengaja bertemu Han Gye Jeol (Im Soo Hyang), seorang doktor yang memiliki kuasa misteri. Pertemuan ini mencetuskan percintaan di antara dua dunia berbeza, penuh cabaran dan dugaan.
4. Way Back Love (2025)

Kisah ini menyoroti Kim Ram Woo (Gong Myung), seorang lelaki yang meninggal enam tahun lalu dan kini menjadi malaikat maut. Tugasnya adalah menjemput sahabat lamanya, Jung Hee Wan (Kim Min Ha). Kedua-duanya pernah menyimpan perasaan, tetapi tidak pernah diungkapkan. Menyedari masa hidup Hee Wan hanya tinggal seminggu, mereka pun berusaha menunaikan senarai impian terakhir bersama-sama.
5. Twelve (2025)

Drama Korea ini ditayangkan pada 23 Ogos 2025 di Disney+ Hotstar. Ceritanya mengisahkan pertempuran antara dua belas malaikat zodiak dengan raja iblis. Menyamar sebagai manusia, para malaikat ini harus melindungi dunia daripada kehancuran yang dibawa oleh kuasa gelap sang raja iblis.
Kelima-lima drama Korea ini berkongsi tema sama iaitu tentang malaikat, tetapi setiap satunya mempunyai keistimewaan tersendiri. Ada yang dipenuhi elemen romantik, misteri, komedi hinggalah penuh aksi mendebarkan. Jadi, yang mana satu akan anda tonton dahulu?








