Home Cdrama C-Drama Yummy Yummy Yummy, Dari Dunia Moden ke Dapur Purba

C-Drama Yummy Yummy Yummy, Dari Dunia Moden ke Dapur Purba

0

Drama China terbaharu Yummy Yummy Yummy menampilkan gabungan menarik antara unsur sejarah, masakan, percintaan, dan fantasi ringan, sebuah sajian yang bukan sahaja memikat mata tetapi juga membangkitkan selera.

Siri ini diarahkan oleh Bai Yun Mo dan diadaptasi daripada novel dalam talian popular bertajuk Chang’an Small Restaurant karya Ying Tao Gao, dengan lakon layar hasil tulisan Ding Lu dan Ji Sang Rou.

Berlatar di masa lampau, Yummy Yummy Yummy mengisahkan perjalanan keluarga Shen yang berasal dari zaman moden. Akibat satu kejadian tidak dijangka, mereka terdampar di Kota Yong’an, sebuah kota purba yang kaya dengan budaya serta terkenal dengan masakannya yang unik.

Yummy yummy yummy

Dalam usaha menyesuaikan diri dengan kehidupan tradisional, keluarga Shen berikhtiar untuk terus hidup dengan membuka perniagaan makanan. Dipimpin oleh anak sulung mereka, Shen Shaoguang (dilakonkan oleh Wang Ying Lu), keluarga ini memperkenalkan pelbagai teknik memasak moden yang menarik perhatian penduduk setempat.

Kehidupan keluarga Shen berubah apabila Shen Shaoguang secara tidak sengaja bertemu Lin Yan (lakonan Li Yun Rui), seorang pegawai istana yang tegas namun berhati lembut. Pertemuan pertama mereka agak kecoh kerana kealpaan Shen, namun Lin Yan yang berhati besar memilih untuk tidak memarahi gadis itu.

3458f146 63a3 4d88 8963 54ff3cae2cf9

Dari masa ke masa, hubungan mereka berkembang menjadi kisah cinta yang manis. Lin Yan bahkan menjemput keluarga Shen tinggal bersamanya kerana tertarik dengan kehangatan serta keceriaan mereka.

Keluarga Shen yang sentiasa menghidangkan makanan lazat menjadikan Lin Yan semakin kagum, lebih-lebih lagi terhadap Shen Shaoguang yang dikenali periang dan berbakat dalam dunia masakan.

IMG 0920

Namun begitu, perjalanan cinta mereka tidak sentiasa mudah. Pelbagai cabaran dan konflik muncul, menguji kesetiaan serta keteguhan hati mereka berdua.

Di sebalik kehangatan kisah kekeluargaan dan keharuman dunia masakan yang memikat, Yummy Yummy Yummy turut mengajukan persoalan besar:

Adakah Shen Shaoguang akan kekal di masa lalu bersama Lin Yan, atau kembali ke dunia asalnya di zaman moden?

IMG 0923 1

Selain kisah cinta yang mengusik perasaan, drama ini turut menonjolkan nilai kekeluargaan dan peranan makanan sebagai jambatan emosi antara manusia.

Setiap hidangan bukan sekadar pelengkap visual, tetapi simbol kasih sayang dan kebersamaan.

Barisan pelakon muda berbakat turut menghidupkan kisah ini

IMG 0921 1 scaled

Wang Ying Lu membawakan watak Shen Shaoguang, gadis bijak, ceria, dan penuh semangat.

Li Yun Rui pula memegang peranan Lin Yan, pegawai istana yang bijaksana dan menjadi pasangan romantiknya.

Chang Long memegang watak Shen Shaojie, adik lelaki yang sentiasa setia menyokong keluarganya, manakala Feng Jia Yi berperanan sebagai Shen Jianshe, ayah penyayang dan ketua keluarga.

Sui Jun Bo muncul sebagai Li Feng Xia, ibu yang penyayang, dan Dong Si Yi pula sebagai A Yuan, watak sokongan yang menambah warna dalam penceritaan.

IMG 0918 scaled

Dengan sinematografi yang indah, suasana klasik yang berpadu dengan sentuhan moden, serta deretan masakan yang menggoda selera, Yummy Yummy Yummy menjanjikan pengalaman menonton yang bukan sahaja menghibur, malah mengusik hati dan perasaan.

Drama ini amat sesuai untuk penonton yang menggemari kisah cinta ringan yang diselitkan dengan unsur pengembaraan masa dan dunia kulinari yang menawan.

IMG 0917

Bagi anda yang sukakan kisah bernuansa nostalgia, berpadu dengan aroma cinta dan keindahan rasa, Yummy Yummy Yummy wajar dimasukkan dalam senarai tontonan wajar anda.

Siri Yummy Yummy Yummy mengandungi 32 episod berdurasi kira-kira 45 minit setiap satu, dan boleh ditonton setiap hari di WeTV mulai Khamis, 9 Oktober 2025.

Baca lagi: Daripada Raja Hingga Rakyat Jelata, 11 Drama Sageuk Korea Paling Menyentuh Hati
Baca juga: Fakta Menarik Tentang Li Qin, Musuh dan Kekasih Chen Zhe Yuan dalam Drama China ‘Fated Hearts’