Pelakon Jo Jung Suk sekali lagi mencipta kejutan dengan filem terbarunya My Daughter is a Zombie, apabila ia tersenarai sebagai filem Korea kelapan yang berjaya meraih lebih sejuta penonton pada tahun 2025. Bukan sekadar itu, My Daughter is a Zombie turut menjadi filem paling pantas mencecah angka tersebut tahun ini!
Namun, kejayaan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Jo Jung Suk sememangnya dikenali sebagai ‘penarik penonton’ dalam dunia perfileman Korea, terutamanya dalam genre komedi. Jom kita lihat lima filem komedi lakonan Jo Jung Suk yang pernah mencipta fenomena dan mencatat kutipan berjuta penonton!
1. My Love, My Bride (2014)

Ini merupakan filem komedi romantik pertama lakonan Jo Jung Suk yang berjaya mencatat lebih 2.1 juta penonton. Mengisahkan pasangan pengantin baru Young Min (Jo Jung Suk) dan Mi Young (Shin Min Ah), yang berkahwin selepas empat tahun bercinta sejak zaman universiti.
Selepas berkahwin, kehidupan mereka mula berubah. Pergaduhan kecil mula mencetuskan ketegangan dalam rumah tangga. Filem ini menunjukkan usaha mereka untuk menyelamatkan perkahwinan dan memahami erti sebenar cinta, dalam gaya yang mencuit hati dan menyentuh emosi.
2. My Annoying Brother (2016)

Dua tahun kemudian, Jo Jung Suk kembali menggegar panggung dengan filem My Annoying Brother, mencatat kutipan 2.9 juta penonton. Kisah menyentuh hati ini menggabungkan elemen kekeluargaan dan komedi yang menyentuh.
Jo Jung Suk membawa watak Doo Shik, seorang banduan yang mengambil kesempatan untuk keluar dari penjara kononnya untuk menjaga adiknya yang buta, Doo Young (Do Kyung Soo), seorang atlet judo negara. Namun di sebalik sikap nakalnya, kasih sayang antara dua beradik ini terserlah—lebih-lebih lagi apabila Doo Shik didiagnosis menghidap kanser tahap akhir.
3. Exit (2019)

Exit ialah antara filem Jo Jung Suk yang paling berjaya setakat ini. Dengan gabungan unsur aksi, bencana dan komedi, filem ini mencatat kutipan luar biasa sebanyak 9.4 juta penonton!
Jo Jung Suk melakonkan watak Lee Yong Nam, seorang penganggur yang mempunyai kemahiran dalam sukan panjat tebing. Kemahirannya itu menjadi penyelamat apabila gas beracun melanda bandar dan dia perlu menyelamatkan orang ramai, termasuk bekas kekasihnya, Eui Joo (lakonan Yoona SNSD). Aksi cemas yang penuh kelakar menjadikan filem ini luar biasa dan segar.
4. Pilot (2024)

Dalam Pilot, Jo Jung Suk membawa kelainan apabila melakonkan watak Han Jung Woo, seorang juruterbang yang kehilangan kerjayanya secara tiba-tiba. Untuk mendapatkan semula pekerjaannya, dia nekad menyamar sebagai wanita menggunakan identiti adik perempuannya, Han Jung Mi (lakonan Han Sun Hwa).
Kisah lucu dan menyindir ini berjaya menarik 4.7 juta penonton. Aksi penyamaran yang penuh kelucuan tetapi juga menyentuh isu identiti dan harga diri menjadikan Pilot sebuah naskhah yang unik dan menghiburkan.
5. My Daughter is a Zombie (2025)

Filem terbaharu ini menambah lagi senarai kejayaan Jo Jung Suk dalam genre komedi. Sejak tayangan pada 30 Julai 2025, My Daughter is a Zombie telah meraih lebih 1.8 juta penonton. Diadaptasi daripada webtoon, ia mengisahkan Lee Jeung Hwan (Jo Jung Suk), seorang ayah tunggal yang anaknya, Soo Ah (Cho Yu Ri), berubah menjadi zombie akibat virus yang menular di bandar.
Namun, Jeung Hwan tidak putus asa. Dia membawa Soo Ah ke rumah ibunya, Kim Bam Soo (Lee Jung Eun), dan berusaha melatih anaknya itu untuk menjalani hidup seperti manusia biasa. Dia bertekad untuk melindungi Soo Ah, yang merupakan zombie terakhir di dunia, daripada dihapuskan.
Jo Jung Suk sememangnya terbukti sebagai aktor yang mampu menghidupkan watak dengan gaya bersahaja dan penuh emosi, menjadikan setiap filemnya dekat di hati penonton. Tak hairanlah jika majoriti filem komedinya berjaya mencatat angka jutaan penonton dan menjadi box office!
Kalau anda penggemar filem ringan tetapi menyentuh perasaan, wajib tonton semua filem dalam senarai ini!








