Pihak Prime Video baru-baru ini melancarkan treler rasmi bagi Butterfly, sebuah siri thriller perisik yang menampilkan Daniel Dae Kim sebagai teraju utama.
Butterfly dijadualkan untuk tayangan perdana di Prime Video pada 13 Ogos 2025. Musim pertamanya terdiri daripada enam episod yang akan dilancarkan serentak, bukan dalam format mingguan.

Pelakon hebat iaitu Daniel Dae Kim membawa watak David Jung, seorang ejen risikan Amerika Syarikat yang kini hidup dalam pelarian di Korea Selatan. Kehidupannya yang tersembunyi mula digugat apabila bayang-bayang silam kembali menghantuinya. Sebuah organisasi perisikan bernama Caddis menghantar Rebecca (lakonan Reina Hardesty), seorang ejen muda yang mempunyai kecenderungan sosiopat, untuk memburunya.
Namun, apabila mereka akhirnya bertentang mata, satu hubungan yang tidak dijangka terbongkar, berpunca daripada satu keputusan besar yang pernah dibuat oleh David bertahun-tahun lalu.

Treler bermula dengan Rebecca yang hampir berjaya menangkap sasarannya, sehingga kemunculan tiba-tiba David yang mendedahkan identiti sebenarnya. Pada saat itulah Rebecca menyedari bahawa lelaki yang dikejarnya selama ini sebenarnya ialah bapa kandungnya yang telah lama menghilangkan diri.
Rebecca terpaksa berdepan dengan pergolakan emosi terhadap seorang bapa yang pernah memalsukan kematiannya bertahun-tahun dahulu, manakala David pula berusaha sehabis daya untuk menghalang anaknya daripada mengikut jejak langkahnya sebagai perisik antarabangsa.

Tidak hairanlah, Rebecca berasa dikhianati dan marah kerana ditinggalkan sewaktu kecil — namun David tetap menegaskan bahawa tindakannya dahulu adalah demi keselamatan puterinya.
Malangnya, detik pertemuan semula yang sepatutnya membuka ruang kemaafan terpaksa ditangguhkan. Organisasi Caddis yang pernah menjadi tempat David berkhidmat kini memburu mereka berdua kerana dianggap tahu terlalu banyak rahsia.

Siri Butterfly ini turut dibintangi oleh Piper Perabo, Louis Landau, Kim Ji-hoon, Park Hae-soo, Kim Tae-hee, Charles Parnell, Sean Dulake, dan Nayoon Kim. Dua pelakon senior Korea, Sung Dong-il dan Lee Il-hwa, juga akan tampil sebagai bintang undangan khas. Jangan lupa tandakan kalendar dan nantikan siri hebat Butterfly ini. Pasti lain dari yang lain!








