Selepas pernah membawa watak adik-beradik dalam siri Game of Thrones, Sophie Turner dan Kit Harington kini bakal disatukan semula dalam sebuah filem layar lebar bergenre seram gotik bertajuk The Dreadful. Filem ini berlatar masa Perang Mawar, konflik sebenar dalam sejarah Inggeris yang turut menjadi ilham kepada Game of Thrones karya George R. R. Martin.
Game of Thrones ialah sebuah siri fantasi epik terbitan HBO yang diadaptasi daripada novel A Song of Ice and Fire tulisan George R. R. Martin. Siri ini mengisahkan perebutan kuasa di benua rekaan Westeros, penuh dengan drama kekeluargaan, tipu daya politik, dan peperangan yang hebat.
Dalam filem The Dreadful, hubungan antara Sophie dan Kit sangat berbeza daripada siri terdahulu, mereka bukan lagi saudara kandung, tetapi pasangan kekasih.

“Aku berlakon dalam sebuah filem tahun lalu yang sangat aku nantikan, bersama sahabat lamaku yang juga rakan karib, Kit Harington, yang pernah membawa watak abangku dalam Game of Thrones,” ujar Sophie Turner dalam wawancara bersama Vogue, dipetik pada Sabtu, 19 Julai 2025.
“Kami berlakon dalam filem seram bergaya gotik, tapi kali ini kami sebagai pasangan bercinta. Maaflah, memang agak pelik untuk kami semua,” tambahnya lagi.
Penyertaan Kit Harington dalam filem seram ini sebenarnya dicadangkan sendiri oleh Sophie Turner. Dalam wawancaranya bersama The Sunday Times tahun lalu, beliau berkata:
“Mereka sedang mencari pelakon lelaki untuk watak utama. Aku terus kata, ‘Kamu perlu pilih Kit. Ceritanya berlatar masa Perang Mawar, besar kemungkinan kami akan kembali melayang dengan jubah di tepi tebing,’” selorohnya.
The Dreadful diumumkan buat kali pertama pada Februari 2024. Naskhah ini ditulis dan diarahkan oleh Natasha Kermani. Sophie Turner bukan sahaja membintangi filem ini sebagai teraju utama, malah turut bertindak sebagai penerbit.
Projek ini melibatkan Luke Daniels dari Redwire Pictures/Tunnel, serta Patrick Muldoon dan Patrick Hibler dari Storyboard Media. Greg Lauritano juga menyertai sebagai penerbit melalui syarikat produksinya, Black Magic.

Dalam filem ini, Sophie Turner memegang watak Anne – seorang wanita yang terpinggir dan tinggal bersama ibu mertuanya di hujung masyarakat. Kehidupan Anne yang sunyi dan mencabar berubah secara drastik apabila seorang lelaki dari masa silam mereka (dilakonkan oleh Kit Harington) kembali muncul, lalu mencetuskan peristiwa besar yang mengubah takdir hidupnya.
Buat masa ini, The Dreadful masih belum mempunyai tarikh tayangan rasmi, treler, mahupun sebarang bahan promosi. Maka, banyak perkara tentang filem ini masih belum didedahkan, termasuk gaya visualnya.
Namun begitu, pertemuan semula dua bintang Game of Thrones ini pastinya menjadi tarikan utama, lebih-lebih lagi apabila dinamik watak mereka kali ini jauh berbeza daripada dahulu.

Di layar perak, Sophie Turner sebelum ini dikenali menerusi watak Jean Grey versi muda dalam francais X-Men, termasuk filem X-Men: Apocalypse (2016) dan Dark Phoenix (2019). Filem lain lakonannya termasuk Another Me (2013), Barely Lethal (2015), Josie (2018), dan Time Freak (2018). Beliau turut membintangi siri Survive (2020), The Staircase (2022), dan Joan (2024).
Sementara itu, Kit Harington pula pernah menjadi teraju utama dalam filem Pompeii (2014), serta mengisi suara watak Eret dalam animasi popular How to Train Your Dragon 2 (2014) dan sekuelnya. Beliau juga tampil sebagai Dane Whitman dalam filem Marvel Studios, Eternals (2021).








