Salah satu drama terbitan saluran televisyen tvN, Law and The City, telah mencatatkan rating tertingginya menerusi episod keempat. Episod ini memaparkan realiti melelahkan yang dialami para peguam muda apabila mereka terperangkap antara idealisme dan hakikat hidup yang getir.
Menurut laporan Allkpop pada Selasa (15 Julai 2025), siaran pada 13 Julai lalu meraih rating purata 5.6% dan kemuncak 6.8% di kawasan metropolitan Seoul, serta purata 5.6% dan kemuncak 6.3% di seluruh negara. Dalam kalangan penonton berusia antara 20 hingga 49 tahun, Law and the City menduduki tempat pertama dalam semua saluran TV kabel dan siaran umum bagi slot waktunya.
Sejak akhir-akhir ini, terdapat penonton yang mengaitkan Law and The City dengan drama bertemakan kehidupan harian yang lain, iaitu Hospital Playlist. Kedua-duanya menggambarkan kehidupan sekumpulan rakan sekerja yang berhadapan dengan pelbagai dilema di bidang masing-masing.

Dalam episod terbaru Law and the City, fokus utama tertumpu kepada watak Ahn Ju Hyung (lakonan Lee Jong Suk), yang bergelut dengan konflik batin apabila berdepan semula dengan bekas kekasihnya, Park Soo Jung (lakonan Lee Yoo Young), di dalam bilik perbicaraan.
Ju Hyung, yang mewakili Cha Jung Ho (Nam Yoon Ho) dalam satu kes penceraian, terkejut apabila mendapati bahawa Park Soo Jung ialah pihak lawan dalam perbicaraan tersebut. Walaupun cuba tampil profesional dan menahan perasaannya, keterkejutan dan kegugupannya tidak dapat disembunyikan.
Soo Jung pula, yang ingin mempertahankan harga dirinya, memilih untuk tidak mengemukakan bukti penting yang boleh mempengaruhi keputusan mahkamah. Perbicaraan berakhir tanpa penyelesaian emosi bagi kedua-duanya, terutamanya Ju Hyung yang kelihatan semakin tertekan dan terbeban.
Walaupun Ju Hyung berjaya memenangi kes tersebut dan mendapat pujian daripada kliennya, dia merasa dikhianati selepas mengetahui bahawa Cha Jung Ho sebenarnya sudah sedia maklum tentang hubungan masa lalunya dengan Soo Jung, dan secara halus telah mempergunakan situasi itu untuk memenangi kes.
Cemburu dan Kebohongan Kecil yang Mengundang Kekeliruan

Dalam masa yang sama, Kang Hee Ji (Moon Ga Young), yang menyaksikan sendiri pergolakan emosi Ju Hyung, mula berasa tidak selesa dan cemburu. Ketika Soo Jung datang ke pejabat untuk menemui Ju Hyung, Hee Ji berbohong dengan mengatakan bahawa Ju Hyung telah pun keluar.
Walaupun nampak tenang pada mulanya, kebohongan itu menimbulkan penyesalan yang mendalam. Hee Ji dihimpit konflik emosi sendiri, apabila rasa sayang dan rasa cemburu mula bercampur-baur, menambahkan kerumitan hubungan antara mereka.
Peguam-peguam Lain Juga Tidak Terlepas daripada Ujian Hidup

Rakan-rakan Ju Hyung turut berhadapan dengan dilema peribadi yang berat. Ha Sang Ki (Lim Sung Jae), yang mengendalikan kes kemalangan akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol, merasa tidak berdaya di hadapan keluarga mangsa yang dilanda kesedihan dan kemarahan. Walaupun cuba memahami perasaan mereka, Sang Ki terasa dirinya kerdil dan tidak mampu menenangkan kehilangan yang tidak dapat ditebus dengan undang-undang.
Manakala Bae Moon Jung (Ryu Hye Young), pula terpaksa berdepan dengan simpang hidup yang getir apabila mendapati dirinya hamil. Beliau memandang alat ujian kehamilan yang menunjukkan dua garis dengan wajah penuh kebimbangan dan keraguan.
Antara Undang-undang dan Nurani, Siapa yang Menang?

Episod ini secara keseluruhannya menggambarkan malam-malam panjang yang penuh dengan kegelisahan dan beban emosi dari setiap watak. Setiap seorang membawa keresahan dan dilema sendiri, menjadikan drama ini bukan sekadar tentang perbicaraan di mahkamah, tetapi tentang sisi manusiawi peguam-peguam muda yang sentiasa terpaksa memilih antara prinsip, cita-cita dan suara hati.
Dengan penyampaian kisah yang menyentuh hati dan realistik, Law and the City semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu drama undang-undang yang paling emosional dan berkesan tahun ini. Penonton bukan sahaja dibawa menyelusuri kes demi kes di mahkamah, tetapi juga diheret masuk ke dalam kehidupan peribadi para watak yang sarat dengan pergolakan batin.
Episod kelima Law and the City dijadualkan bersiaran pada 19 Julai jam 9.20 malam (KST), dan dijangka akan meneruskan ketegangan serta perkembangan hubungan antara watak-watak utama. Adakah anda salah seorang daripada penonton yang mengikuti setiap episod drama Law and the City ini?








