Home Kdrama/Kmovie Drama Korea Penamat Berdarah Squid Game 3, Gi-hun Kembali Menentang Front Man, Siap Bongkar...

Penamat Berdarah Squid Game 3, Gi-hun Kembali Menentang Front Man, Siap Bongkar Segala Rahsia

0

Treler Squid Game Musim Ketiga telah dilancarkan secara rasmi pada Ahad (1 Jun). Treler bagi siri popular dari Korea Selatan itu memperlihatkan kesinambungan permainan serta perjuangan Seong Gi-hun (lakonan Lee Jung-jae) yang berusaha keras membongkar identiti individu di sebalik permainan maut tersebut.

Musim ketiga bakal menampilkan semula Gi-hun, atau lebih dikenali sebagai Pemain 456, yang meneruskan perjuangannya selepas Front Man (Lee Byung-hun) berjaya membunuh sahabat baiknya, Jung-bae (Lee Seo-hwan), seperti yang dipaparkan dalam penghujung Musim Kedua.

432afdec d320 4600 9aca 0fd4165d2d27

Baca juga: Cinta Novel Jadi Realiti, Taecyeon 2PM jadi Pujaan Ramai dalam “The First Night With The Duke”

Dalam treler tersebut, Gi-hun akhirnya mengetahui hakikat di sebalik identiti Front Man, yang rupa-rupanya adalah In-ho, individu yang berpura-pura menjadi pesaing dan rakan sepasukannya dalam musim terdahulu.

Treler dibuka dengan persoalan yang dilontarkan oleh Gi-hun, bertanyakan mengapa dia dibiarkan hidup dan diangkat oleh beberapa orang pengawal permainan Squid Game.

Squid game

Beberapa permainan baharu turut dipaparkan, antaranya permainan lompat tali yang sangat berbahaya. Turut ditonjolkan ialah semakin ramai peserta yang terkorban dalam siri permainan maut tersebut.

Gi-hun kelihatan mengenakan kemeja bernombor, mirip seperti dalam perlawanan terakhir Squid Game musim pertama, sebelum treler diakhiri dengan babak Front Man membuka topengnya.

Musim ketiga ini juga akan menjadi penamat kepada kisah Gi-hun (Lee Jung-jae). Watak ini telah muncul sejak musim pertama dan muncul sebagai pemenang di penghujung permainan. Namun, Gi-hun enggan menikmati hidup dengan kekayaan yang dimenanginya apabila menyedari ramai lagi yang terbunuh akibat permainan ini.

088b40ca cbe5 4068 8596 c97af0f83480

Sebaliknya, beliau menggunakan wang kemenangannya untuk mengesan dalang di sebalik permainan tersebut. Walaupun telah merancang untuk membalas dendam, Gi-hun akhirnya tertangkap dan terlibat semula dalam kancah permainan yang kejam itu.

 

Musim ketiga ini akan mengupas pelbagai dilema dan keputusan penting yang perlu diambil oleh Gi-hun dalam keadaan penuh keputusasaan.

Dalam masa yang sama, Front Man (Lee Byung-hun) sedang merancang langkah-langkah seterusnya. Para peserta yang masih hidup pula berdepan dengan keputusan yang membawa kepada akibat lebih mengerikan dalam setiap pusingan permainan.

Permainan-permainan maut dalam musim ketiga turut ditampilkan secara sepintas lalu dalam teaser pertama yang dilancarkan lebih awal. Antara babak yang dipaparkan ialah para peserta yang keliru ketika perlu memilih bola undian berwarna merah atau biru.

Peserta yang terselamat kelihatan bermain dalam sebuah labirin, yang turut diselaputi kesan darah yang bertaburan di lantai kawasan permainan.

aa53ffbf c3d1 4481 bed7 ae4116cffeb8 a343f6a3 11b6 4a84 b5a0 1a71f3c13a76 4cb7143e f95c 42df 8baf a862d535719e

Beberapa watak penting turut kembali muncul, termasuk Kang No-eul (Park Gyu-young) yang masih memberontak sebagai Pengawal Merah Jambu, serta Hwang Jun-ho (Wi Ha-joon) yang masih berusaha mencari jalan untuk menyusup ke dalam arena permainan misteri itu.

Squid Game Musim Kedua sebelum ini menjadi siri ketiga paling banyak ditonton di Netflix, dengan 68 juta tontonan semasa tayangan perdana. Siri ini turut memecah rekod tontonan mingguan tertinggi di platform penstriman tersebut.

Siri Korea ini juga menduduki tempat pertama dalam senarai 10 Siri TV Bukan Berbahasa Inggeris di 92 negara. Netflix menjanjikan bahawa Squid Game Musim Ketiga akan memberikan satu penamat yang luar biasa dan sukar dilupakan oleh para penonton.

Musim ketiga Squid Game akan ditayangkan di Netflix pada 27 Jun akan datang.

Baca lagi: The Hunter with a Scalpel, Siri Thriller Psikologi Sarat Ketegangan dan Rahsia Keluarga