Netflix terus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform penstriman yang menawarkan pelbagai kandungan dari serata dunia. Bukan sekadar mengetengahkan produksi Barat, setiap bulan Netflix juga memberi ruang kepada karya-karya dari Asia yang sarat dengan budaya serta naratif yang unik. Ini mencerminkan komitmen Netflix dalam menyediakan hiburan yang bersifat inklusif dan pelbagai budaya.
Bulan Mei 2025 tidak terkecuali sebagai bulan menarik buat peminat siri Barat di Netflix. Beberapa judul baharu yang dinanti-nantikan termasuk Forever (8 Mei), Sirens (22 Mei), dan Dept. Q (29 Mei). Siri antologi animasi pemenang Emmy, Love, Death & Robots Volume 4, turut kembali dengan sepuluh episod baharu bermula 15 Mei.
Dari rantau Asia pula, Netflix telah menyusun deretan siri yang tidak kurang menarik. Dari kisah cinta berlatar dunia kulinari menerusi drama Korea Tastefully Yours hingga kesinambungan drama kekeluargaan dalam Losmen Bu Broto: The Series dari Indonesia, berikut tujuh siri Asia yang akan menghiasi Netflix sepanjang Mei 2025.
1. The Royals (India)

Bagi penggemar kisah cinta yang berlatar dunia diraja dan korporat, siri komedi romantik India ini wajib ditonton. The Royals akan mula ditayangkan di Netflix pada 9 Mei. Dibintangi Bhumi Pednekar dan Ishaan Khatter, keserasian mereka dijangka mencuit hati dan emosi penonton.
Berlatar di kota fiksyen Morpur, siri ini mengisahkan sebuah keluarga diraja yang kehilangan kekayaan namun tetap menjaga maruah mereka. Kehidupan mereka berubah apabila Sophia Shekhar (Pednekar), seorang CEO yang bercita-cita tinggi, mula terlibat dengan keluarga tersebut. Usahanya memulihkan imej keluarga diraja itu tidak semudah yang disangka, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan Aviraaj Singh (Khatter), putera raja yang keras kepala.
2. Tastefully Yours (Korea Selatan)

Drama Korea romantik komedi ini akan menemui penonton bermula 12 Mei. Tastefully Yours mempertemukan pelakon berprofil tinggi, Kang Ha Neul, dan pelakon kesayangan Netflix, Go Min Si.
Mengisahkan Han Beom Woo (Ha Neul), pemilik restoran mewah yang tertarik pada kehebatan seorang cef eksentrik, Mo Yeon Joo (Min Si). Namun, pertemuan pertama mereka tidak berjalan lancar kerana Yeon Joo dingin terhadap Beom Woo. Walaupun sering bertelagah, hubungan mereka perlahan-lahan bertukar menjadi lebih mesra – walaupun kerap kelihatan seperti “bergaduh lebih daripada bercinta”.
3. Dear Hongrang (Korea Selatan)

Selepas 12 tahun tidak muncul dalam drama sejarah sejak Horse Doctor (2012–2013), Jo Bo Ah kembali berlakon dalam Dear Hongrang bersama Lee Jae Wook, yang sebelum ini mencuri perhatian dalam Alchemy of Souls. Drama ini akan mula ditayangkan pada 16 Mei di Netflix.
Berlatar era Joseon, siri ini bermula dengan kehilangan Hongrang, pewaris utama keluarga saudagar Sim, ketika kecil. Bertahun-tahun kemudian, Hongrang (Jae Wook) muncul kembali dengan kehilangan ingatan. Ketegangan meningkat apabila kakak tirinya, Jae Yi (Bo Ah), tidak mempercayai bahawa lelaki itu adalah adiknya yang sebenar. Apa sebenarnya yang berlaku?
4. Forget You Not (Taiwan)

Siri dari Taiwan ini bakal menemui penonton pada 23 Mei. Forget You Not mengikuti kisah Cheng Le Le (Hsieh Ying Xuan), seorang wanita yang bekerja sebagai pelawak sambilan dan penjaga kedai serbaneka.
Ketika perkahwinannya goyah dan impiannya semakin jauh, Le Le perlu menjaga ayahnya, Cheng Kuang Chi (Chin Han), yang uzur tetapi mempunyai personaliti luar biasa. Dihasilkan oleh Rene Liu, siri ini menjanjikan detik lucu dan menyentuh hati tentang hubungan erat antara ayah dan anak di tengah cabaran kehidupan.
5. Our Unwritten Seoul (Korea Selatan)

Ditayangkan bermula 24 Mei, drama ini dibintangi Park Bo Young dan Park Jin Young (GOT7). Our Unwritten Seoul menarik perhatian kerana konsep uniknya, Park Bo Young akan melakonkan empat watak berbeza!
Siri ini mengisahkan pasangan kembar identik, Yu Mi Ji dan Yu Mi Rae (kedua-duanya dilakonkan oleh Bo Young), yang memiliki keperibadian berbeza. Mereka akhirnya bertukar identiti kerana satu peristiwa tidak dijangka. Park Bo Young mempamerkan cabaran lakonan dengan menghidupkan empat versi berbeza dari watak-watak ini.
6. Mad Unicorn (Thailand)

Thailand turut menyumbang sebuah siri menarik berjudul Mad Unicorn, diarahkan oleh Kai Nottapon Boonprakob, yang dikenali menerusi Suckseed dan Hormones. Siri ini akan ditayangkan pada 29 Mei.
Mad Unicorn menceritakan tentang Santi (Ice Natara Nopparatayapon), seorang pemuda yang ingin keluar dari kehidupan jalanan yang keras dengan memulakan perniagaan kurier ekspres. Namun, kemunculan pesaing yang kuat menguji kecekalan dan prinsip hidupnya.
7. Losmen Bu Broto: The Series (Indonesia)

Adaptasi daripada filem Losmen Bu Broto (2021), siri ini akan menemui penonton pada 29 Mei. Ia mengisahkan Tarjo (Baskara Mahendra), anak bongsu dalam keluarga Broto, yang terlibat dalam hubungan cinta terlarang dengan seorang tetamu wanita (Wulan Guritno) yang telah berkahwin.
Konflik ini menggoncang keluarga mereka. Dalam masa yang sama, dua kakaknya, Jeng Sri dan Mbak Pur, turut menghadapi cabaran peribadi masing-masing, kini dilakonkan oleh Febby Rastanty dan Ayushita.
Dengan senarai menarik ini, bulan Mei 2025 di Netflix benar-benar menyajikan pelbagai cerita dari Asia yang kaya dengan emosi, budaya dan perspektif baharu. Tandakan tarikh tayangan siri kegemaran anda, dan bersiaplah untuk tenggelam dalam dunia cerita luar biasa dari para pencipta hebat Asia.








