Home Lifestyle 64 Tahun Terkandas Di Korea, Ini Kisah Sedih Seorang Wanita Malaysia Bernama...

64 Tahun Terkandas Di Korea, Ini Kisah Sedih Seorang Wanita Malaysia Bernama Mariam Johari

0

Ketika sedang melayari internet bagi rutin cari bahan tulisan, saya terjumpa dan baca artikel dalam portal Sos Cili tentang Mariam Johari, seorang wanita Malaysia yang terkandas di Korea selama 64 tahun.

Satu Malaysia pernah tahu kisah ini melalui dada-dada akhbar dan kaca televisyen pada tahun 2007 yang kini terlipat jadi sejarah semalam. Ceritanya begini….

Dilarikan Tentera Jepun

Pada 16 Mac 1921, lahir seorang bayi perempuan bernama Mariam Binti Johari. Menginjak usia 11 tahun, gadis sunti itu berkahwin dengan jirannya dan dikurniakan empat cahaya mata namun anak bongsunya meninggal selepas beberapa bulan dilahirkan.

Perang Dunia Kedua pun meletus. Suaminya menyertai tentera manakala Mariam diculik oleh tentera Jepun pada tahun 1943 dan dijadikan buruh paksa.

Mariam kemudian berkenalan dengan Cho Se Won, tentera kerahan Jepun dari Korea.

3 2
Gambar Cho Se Won Sumber imej: july80.blogspot

Pada tahun 1946, wanita berusia 25 tahun ketika itu melangkah keluar ke dermaga di Pelabuhan Busan dengan lelaki Korea yang ditemuinya itu. Sejak itu, bermulalah episod perjalanan Mariam di bumi Korea enam dekad lamanya sambil cuba mencari jalan pulang.

Pengorbanannya Disia-siakan

Menurut Korea JoongAng Daily, lelaki Korea itu rupanya suami orang jadi tidak boleh daftar perkahwinan mereka.

Memetik artikel portal Soscili, selepas tiga tahun Mariam tinggal bersama keluarga Se Won, barulah mereka berkahwin pada 1949.

Tidak sampai setahun kahwin, Se Won dipanggil untuk menyertai tentera semasa Perang Korea tahun 1950-an dan meninggalkan Mariam sendirian di Wilayah Jeolla itu.

Mariam disenangi ramai di sana namun rupa dan fizikalnya yang lain daripada masyarakat Korea membuatkan gerak-gerinya sering diperhatikan penduduk tempatan.

Se Won akhirnya pulang selepas tiga tahun berkhidmat sebagai tentera. Namun duka terus berdamping dengan Mariam kerana suaminya turut bawa balik janda anak tiga sebagai isteri baru, sudah kahwin lain dan beliau terpaksa duduk serumah dengan madunya itu.

Membawa Diri Ke Seoul

Selepas diabaikan suaminya, beliau membawa diri ke Seoul. Di sana, Mariam bekerja sebagai pembantu rumah. Majikannya mempunyai tiga orang anak dan seorang isteri yang sedang tenat.

Sebelum meninggal dunia, isteri majikannya pesan kepada wanita Melayu itu supaya jaga anak-anaknya. Pada sekitar tahun 1962, Mariam berkahwin sekali lagi dengan majikannya yang dikenali sebagai Ji.

1 2
Mariam bekerja sebagai pembantu rumah di Seoul pada tahun 1956. Sumber imej: july80.blogspot

Sejak itu, beliau tinggal dan meniti usia bersama anak tirinya, Ji Young Un.

“Kami bertemu ketika saya berusia dua tahun apabila Mariam datang bekerja dengan kami sebagai pembantu rumah. Dan saya duduk dengannya selama hampir 50 tahun. Dia ibu saya.” – Ji Young Un/ Korea JoongAng Daily

Cuba Balik Ke Tanah Air

Mariam sering mengimpikan untuk pulang ke tanah air, bekerja keras untuk kumpul duit sepanjang berada di Korea tetapi bukan mudah untuk merealisasikannya.

Ditambah pula dengan statusnya sebagai imigran tidak sah di Korea, Malaysia turut tidak mengesahkan kewarganegaraannya kerana beliau tiada surat beranak atau sebarang rekod dan dokumen penting.

Menurut portal Soscili lagi, Mariam diceritakan sudah beberapa kali cuba minta bantuan daripada Kedutaan Malaysia di Korea Selatan.

Kali terakhir beliau pergi ke kedutaan adalah pada tahun 1987. Namun Kedutaan Malaysia dikatakan tidak melayan permohonan Mariam, dan disuruh pergi ke Kedutaan Singapura.

Penantian dan kegagalan Mariam kembali ke Malaysia membuatkan wanita ini terkandas di Korea Selatan selama 64 tahun.

Sepanjang masa itu, beliau hanya mampu memegang kad warga asing yang mencatatkan tarikh lahir, tempat lahir, tempat tiba di Korea dan pelabuhan terakhir sebelum tiba di Korea.

Kad tersebut jelas tertulis yang Mariam berasal dari Malaya (Tanah Melayu) dan pelabuhan terakhirnya adalah Pelabuhan Singapura.

Dapat Perhatian Stesen TV

Dengan kuasa Yang Maha Esa, akhirnya kisah hidup Mariam mendapat perhatian Park Keon Young, seorang penerbit rancangan ‘Love in Asia’ di stesen TV Korean Broadcasting Service (KBS) setelah 64 tahun terpisah daripada tanah air dan anak-anak kandungnya.

Keon Young berasa terharu selepas mendengar cerita tentang Mariam daripada seseorang di NGO, wanita ini patut dibantu lantas produser itu terus menghubungi anak-anak atau waris Mariam di Malaysia.

Anak-anak Mariam yang masih ada ketika itu iaitu Ramlah Sonni (72 tahun), Jelani (70 tahun) dan Jamnah (65 tahun) turut tidak menyangka ibu mereka masih hidup.

Dua daripadanya iaitu Ramlah dan Jelani dibawa ke Korea Selatan untuk bertemu dengan ibu mereka setelah terpisah sekian lama. Jamna tidak dapat ikut kerana masalah kesihatan.

Hasrat wanita Malaysia di Korea Selatan yang mencari tiga anaknya di Plentong, Johor itu mendapat perhatian ramai dan liputan akhbar.

Rancak campaign 1640x614 1 2

Penyatuan Yang Menyentuh Hati

Kisah anak Malaysia yang terkandas 64 tahun di Korea ini bakal disiarkan di TV. Ada kejutan yang menunggu Mariam di studio KBS itu. Beliau tidak diberitahu tentang kehadiran anak-anaknya.

Detik-detik pertemuan penuh dramatik menyebabkan air mata dua beradik berkenaan tumpah berjurai manakala Mariam yang berwajah pilu terkedu apabila dipeluk oleh kedua-dua anaknya itu.

2 2
Mariam dipeluk anak-anaknya. Sumber imej: july80.blogspot

Mariam yang hadir berpakaian kebangsaan Korea dilihat bergenang air matanya tidak mahu melepaskan tangan kedua-dua anaknya sepanjang pertemuan itu.

“Mereka disatukan kembali dalam suasana penuh menyayat hati yang turut merentap jiwa para penonton yang memenuhi studio berkenaan ketika program khas merakam detik-detik bersejarah itu berlangsung… Wanita kelahiran Plentong, Johor itu kelihatan terkejut dan terketar-ketar kegembiraan apabila melihat Ramlah Sonni, 72, dan Jelani, 70, bergerak ke arahnya.” –Petikan sumber Utusan Malaysia/Sos Cili

Detik bersejarah itu dirakam melalui rancangan ‘Love In Asia’ yang ditonton oleh lebih 10 juta rakyat Korea Selatan. Para wartawan dan delegasi Puteri UMNO yang turut ke sana menangis teresak-esak menyaksikan pertemuan yang mengharukan itu.

“Mariam ada memberitahu pada sidang akhbar yang diadakan selepas pertemuan itu bahawa dia sudah terlalu tua untuk pulang (ke Malaysia) dan meminta maaf kepada anak-anaknya kerana meninggalkan mereka.” – Petikan sumber Utusan Malaysia/Sos Cili.

Kepulangan Mariam Disambut Meriah

Beberapa bulan selepas peristiwa bersejarah di studio KBS, Mariam akhirnya diberikan peluang menjejakkan kaki semula di tanah tumpah darahnya, kini Malaysia yang dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu.

Bertemankan anak tiri, menantu dan cucu, Mariam diterbangkan dari Korea Selatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Sebelum ke Kota Tinggi, Johor, mereka bermalam di Hotel Marriot, Putrajaya.

“…sepanjang perjalanan dari Hotel Marriot Putrajaya ke Kota Tinggi, Mariam enggan melelapkan mata walau sesaat kerana ingin menikmati pemandangan sepanjang perjalanan itu.” –Petikan sumber Utusan Malaysia/Sos Cili.

Kepulangan Mariam disambut dengan paluan kompang, bunga manggar, pertunjukan silat dan kuih muih tradisi setibanya wanita warga emas itu di rumah anaknya di Kota Tinggi, Johor pada 5 September 2007.

Di sana, Mariam menyatakan keinginan untuk melawat kubur ibu bapanya. Oleh sebab terlalu lama tinggal di Korea, agak sukar Mariam untuk berbahasa Melayu.

“Mariam ketika diminta bercakap dalam bahasa Malaysia kemudiannya menunjukkan kebolehannya mengira satu hingga sepuluh diikuti dengan tepukan oleh orang ramai yang mendengar temu bual itu.” – Petikan sumber Utusan Malaysia/ Sos Cili

Mendapat Kerakyatan Korea

Meskipun telah sampai ke Malaysia, Mariam tidak berhasrat untuk terus tinggal di sini sebaliknya mahu pulang semula ke Korea Selatan dan tetap tinggal di sana.

Setelah enam dekad juga, akhirnya beliau diterima sebagai rakyat Korea yang sah. Mariam terima surat rasmi pemberian status kewarganegaraan itu semasa di katil hospital.

Kerajaan Korea tidak mendendanya kerana status ‘imigran tanpa izin’ sebelum ini atas sebab-sebab kemanusiaan.

“Saya tak dapat gambarkan dengan kata-kata betapa terujanya saya untuk ibu saya yang dah tinggal terlalu lama di sini tetapi tidak pernah dapat sebarang keistimewaan sebagai rakyat Korea. Sekarang beliau boleh dapat rawatan perubatan tanpa perlu runsing tentang duit lagi. Jadi warga Korea adalah impiannya sejak dulu.”- Ji Yong-un/ Korea JoongAng Daily

Ji menjaga ibunya yang menderita pelbagai penyakit termasuk diabetes dan sakit jantung.

Kontroversi Selepas Mariam Meninggal Dunia

Pada 5 September 2009, Malaysia mendapat khabar bahawa Mariam telah menghembuskan nafas terakhir di bumi Korea itu.

Pemergian Mariam atau nama Koreanya, Kim Soon Ae itu dilanda kontroversi kerana status agamanya.

Mariam dikatakan pernah berwasiat supaya jenazahnya diuruskan secara Kristian, jenazahnya juga hampir-hampir dibakar namun dapat dielakkan apabila pihak Wisma Putra masuk campur dalam hal tersebut, setelah berlakunya perbincangan antara pejabat Kedutaan Malaysia dan pejabat Menteri Luar Korea.

Memetik artikel Sos Cili, jenazah Mariam akhirnya dihantar pulang ke Malaysia untuk diuruskan mengikut syariat Islam.

Pihak Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) turut mengesahkan bahawa Mariam masih lagi beragama Islam ketika meninggal dunia. Ini kerana terdapat bukti untuk menguatkan dakwaan tersebut.

“Ini berdasarkan bacaan Al-Fatihah dan pengucapan kalimah syahadah yang dilafazkan Mariam di hadapan dua anaknya, Jelani, 72, dan Ramlah Soni, 73, ketika tiga beranak itu bertemu semula di Seoul pada Julai 2007. Penyaksian kalimah syahadah itu juga dilafazkan di hadapan keluarga semasa warga emas tersebut pulang ke Malaysia pada Ogos 2007.” –petikan sumber Utusan Malaysia/Sos Cili.

Akhirnya, jenazah Mariam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Makam, Kota Tinggi, Johor pada 16 September 2009. Semoga roh Allahyarhamah Mariam Johari ini dicucuri rahmat-Nya.

Sumber: [1],[2],]]3]