Home Cdrama 6 Drama China Bertemakan Kerajaan yang Sarat Emosi, Penuh Cinta dan Strategi...

6 Drama China Bertemakan Kerajaan yang Sarat Emosi, Penuh Cinta dan Strategi Licik

0

Drama China berlatar era kerajaan sentiasa menghadirkan pelbagai kisah yang memikat, daripada pergolakan kuasa dalam istana, percintaan yang mendalam, sehinggalah perebutan takhta yang mendebarkan.

Genre ini menawarkan pelbagai tema menarik, termasuk politik yang penuh dengan permainan licik, percintaan yang sarat dengan rintangan, serta pelbagai elemen dramatik lain. Kepelbagaian cerita dalam drama China berlatar zaman kerajaan menjadikannya pilihan tontonan yang kaya dengan emosi dan sesuai dengan pelbagai cita rasa penonton.

Kebanyakan drama China bertemakan istana memberi tumpuan kepada kisah cinta yang berkembang di tengah-tengah suasana istana dengan segala konflik dan cabarannya. Perjalanan cinta watak-watak utama sering kali diwarnai dengan pelbagai dugaan seperti perbezaan darjat, permainan kuasa dalam keluarga diraja, serta persaingan demi meraih takhta.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, elemen romantik tetap menjadi teras utama cerita, dipenuhi dengan detik-detik menyentuh hati, babak romantik yang mengharukan, serta sisipan humor yang menyegarkan.

1. Fake Princess

4cb4965b 1ca4 455c 96ac 45e88f0a712a

Fake Princess (2020) mengisahkan tentang Duan Chang Le, seorang wanita yang dahulunya merupakan perompak jalanan, bersetuju untuk berkahwin dengan Putera Mahkota Li Che demi mendapatkan harta.

Namun setelah memasuki istana, Chang Le menghadapi pelbagai cabaran dan penghinaan. Dia belajar menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu itu. Lama-kelamaan, hubungan antara Chang Le dan Li Che berkembang walaupun kedua-duanya menyimpan rahsia masing-masing.

Drama China ini menggabungkan elemen percintaan, permainan kuasa, dan perkembangan watak yang ketara, serta diserikan dengan unsur komedi. Ia turut dikenali sebagai Counterfeit Crown Princess dan mempunyai 27 episod.

2. Wise Woman

3b1650cc ff36 4128 aac5 528e5b2ca73e

Wise Woman menceritakan tentang Xue Wan’er, seorang wanita yang sanggup berjuang demi cinta sejatinya walaupun ditentang oleh keluarganya sendiri.

Setelah dikhianati dan dimanipulasi oleh kakaknya sendiri, Xue Wan’er mengalami kelahiran semula. Dengan peluang kedua ini, dia bangkit menentang musuh-musuhnya dan mencabar nilai-nilai tradisional yang mengongkong.

Dalam usahanya menuntut kembali cinta sejati dan haknya yang dirampas, Xue Wan’er berazam membina kehidupan baharu yang lebih bermakna.

3. Perfect Match

f801c88f 9a93 4271 b60f d6e2affec2e3

Perfect Match (2025) berlatar belakang Dinasti Song Utara, memfokuskan kepada keluarga Li. Nyonya Li mempunyai lima orang anak perempuan yang kesemuanya sukar mendapatkan jodoh.

Demi menyelesaikan masalah keluarga dan mencari pasangan yang sesuai untuk anak-anaknya, beliau membawa keluarganya berpindah ke kota Bianjing yang makmur.

Kelima-lima puteri Li, daripada Shou Hua, seorang janda muda yang enggan berkahwin semula, hingga kepada Wu Niang, anak bongsu yang manja, berhadapan pelbagai cabaran dalam mencari cinta sejati dan membina kehidupan baharu.

Drama China ini menyatukan elemen komedi, cinta dan kekeluargaan, menjadikannya kisah perkahwinan yang hangat dan menghiburkan dalam latar sejarah yang indah.

4. The Prisoner of Beauty

76effaaa 7e13 48d6 9a22 66fc0e4cb57e

The Prisoner of Beauty (2025) mengisahkan Xiao Qiao, seorang wanita bijak dari keluarga Qiao yang dijodohkan dengan Wei Shao, ketua keluarga Wei, sebagai sebahagian daripada strategi menyatukan dua keluarga yang bermusuhan.

Permusuhan ini berpunca daripada dendam lama,  keluarga Wei menuduh keluarga Qiao menyebabkan kematian ahli keluarga mereka dalam satu insiden ketenteraan.

Wei Shao, satu-satunya yang terselamat dalam keluarganya, bercita-cita menuntut semula wilayah Yanzhou, bukan sekadar membalas dendam, tetapi juga untuk memulihkan sistem pengairan penting Yongning.

Xiao Qiao bersetuju dengan perkahwinan strategik ini demi mengelakkan krisis yang lebih besar. Walaupun awalnya saling mencurigai, mereka perlahan-lahan saling memahami dan jatuh cinta selepas melalui pelbagai dugaan bersama.

5. Kill My Sins

e41ead04 7993 4f48 9e65 6b2c05dc6dcb

Kill My Sins (2025) merupakan drama China berlatarkan kerajaan yang digabungkan dengan unsur misteri dan ngeri, berkisarkan Ye Ping An, seorang pengembara yang juga pakar perubatan unik.

Beliau tiba di kota Chang’an untuk menyiasat satu kes lama yang penuh teka-teki. Walaupun terkenal dengan kemahiran merawat masalah psikologi, Ye Ping An dianggap pelik dan ditakuti kerana pendekatannya yang luar biasa.

Apabila seorang pegawai tinggi ditemukan mati secara tragis di rumahnya, Ye Ping An menjadi satu-satunya saksi dan suspek utama.

Yuan Shao Cheng, pegawai muda yang bertugas di Mahkamah Keadilan, ditugaskan untuk menyiasat kes ini. Disebabkan latar belakangnya yang rendah, Yuan tidak dihormati dan berazam menggunakan kes ini untuk menaikkan pangkat, menjadikan Ye Ping An sebagai sasaran untuk dijadikan kambing hitam.

6. Legend of Zang Hai

Drama china

Legend of Zang Hai (2025) adalah drama China yang menggabungkan petualangan, sejarah, misteri dan fantasi. Ia menceritakan kisah Zhinu, anak kepada Kuai Duo, ahli astronomi diraja dalam Dinasti Da Yong.

Pada suatu malam, seluruh keluarganya dibunuh kerana ayahnya dipercayai menyimpan sebuah artifak rahsia dari negeri Dongxia. Zhinu terselamat dan bersembunyi selama sepuluh tahun untuk mengasah kemahiran dalam bidang seni bina, strategi dan politik.

Dengan identiti baharu sebagai Zang Hai, dia kembali ke ibu kota dan perlahan-lahan mendekati musuhnya, Marquis Pingjin, sambil menyelesaikan pelbagai masalah negara demi mendapatkan kepercayaan.

Zang Hai akhirnya diterima masuk ke istana sebagai ahli astronomi baharu, sambil merancang secara terperinci untuk membalas dendam terhadap pembunuh keluarganya.

Selain elemen dendam dan konspirasi, drama China ini juga menyentuh perjuangan mempertahankan keamanan negara dan konflik batin antara amarah serta keinginan untuk kehidupan yang lebih bermakna.

Inilah enam drama China bertemakan zaman kerajaan yang wajib ditonton. Setiap satunya menggabungkan pelbagai elemen seperti cinta, perjuangan, pengkhianatan, dan harapan, menjadikannya kisah-kisah epik yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menyentuh hati.

Baca lagi: Bila Sahabat Menjadi Musuh, 10 Drama China Tentang Pengkhianatan Penuh Emosi dan Kejutan
Baca juga: 10 Drama China Terbaik Liu Yuning Harus Ditonton, Sarat Permusuhan, Aksi dan Rating Tinggi