Drama Korea sering dikaitkan dengan kisah romantik yang mengasyikkan, tetapi di sebalik itu, ada juga karya yang mendedahkan sisi gelap dunia pendidikan di Korea Selatan.
Melalui drama-drama ini, kita dapat melihat betapa kerasnya sistem pendidikan di sana, di mana pelajar diajar sejak kecil untuk bekerja keras demi mencapai keputusan cemerlang dan memasuki universiti idaman.
Namun, persaingan sengit ini sering kali mencetuskan persaingan tidak sihat dalam kalangan pelajar. Selain tekanan akademik, isu buli juga menjadi masalah serius di sekolah-sekolah Korea Selatan. Berikut adalah tujuh drama Korea yang mengangkat realiti pahit dunia pendidikan di negara itu.
1. SKY Castle
Kejayaan akademik bukan hanya menjadi impian pelajar, tetapi juga obsesi ibu bapa. Dalam SKY Castle, ibu bapa dari golongan elit sanggup berbuat apa sahaja demi memastikan anak mereka diterima masuk ke sekolah dan universiti terbaik. Mereka tidak teragak-agak untuk menghabiskan wang jutaan won hanya untuk menaikkan status keluarga mereka dalam masyarakat.
2. High Class
Mengisahkan seorang ibu, Yeo Wool, yang berusaha menyekolahkan anaknya, Yi Chan, di sekolah elit HSC International School. Namun, sekolah ini bukan sahaja menitikberatkan kecemerlangan akademik, malah status sosial. Dengan yuran tahunan mencecah 100 juta won, hanya anak-anak dari keluarga kaya sahaja yang mampu bersekolah di sini. Yi Chan berdepan dengan diskriminasi dan tekanan yang melampau, mencerminkan bagaimana sistem pendidikan lebih mengutamakan status berbanding kebajikan pelajar.
3. Green Mothers’ Club
Drama Korea ini memaparkan kisah lima ibu yang bersahabat kerana anak-anak mereka belajar di sekolah yang sama. Namun, di sebalik persahabatan itu, mereka berlumba-lumba untuk menjadi ibu terbaik dan mendidik anak mereka supaya sentiasa mendapat keputusan cemerlang. Persaingan ini akhirnya memberi tekanan kepada anak-anak, yang sepatutnya menikmati zaman kanak-kanak mereka.
4. The Penthouse
Selain mengisahkan perebutan kuasa dan dendam dalam kalangan keluarga kaya, The Penthouse juga menonjolkan isu buli dalam sistem pendidikan Korea Selatan. Bae Ro-na, seorang pelajar berbakat dari keluarga biasa, menghadapi layanan tidak adil daripada rakan-rakan sekolahnya hanya kerana dia tidak berasal dari keluarga berada. Drama ini memperlihatkan bagaimana ketidakadilan sosial turut tercermin dalam dunia pendidikan.
5. School 2017
Persaingan sengit di sekolah menyebabkan ramai pelajar mengalami tekanan. Dalam School 2017, sistem pendidikan hanya mengiktiraf pelajar yang mendapat markah tertinggi, menyebabkan mereka terpaksa berusaha lebih daripada kemampuan mereka. Lebih mengejutkan, drama ini juga mendedahkan bagaimana amalan rasuah dan nepotisme berleluasa dalam institusi pendidikan, menjadikan kejayaan akademik bukan lagi berdasarkan usaha, tetapi hubungan dan kuasa.
6. Class of Lies
Drama Korea ini berkisar tentang Kim Moon Hyeok, seorang peguam yang menyamar sebagai guru untuk menyiasat kes pembunuhan di sebuah sekolah elit. Ketika menyiasat, dia menemui pelbagai rahsia gelap, termasuk budaya buli yang sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan pelajar. Kisah ini membuktikan bahawa bukan semua yang berada di sekolah elit mempunyai kehidupan yang sempurna.
7. Juvenile Justice
Drama Korea ini mengetengahkan kisah seorang hakim tegas, Shim Eun-seok, yang menangani kes-kes jenayah melibatkan remaja. Salah satu kes yang dikendalikannya ialah kebocoran kertas peperiksaan di sebuah sekolah elit yang melibatkan anak-anak pegawai tinggi dan tokoh terkenal. Guru-guru di sekolah tersebut ditekan oleh ibu bapa yang mahu memastikan anak mereka memasuki universiti terkemuka, sekali gus mencerminkan bagaimana sistem pendidikan boleh dipengaruhi oleh kuasa dan wang.
Jika dibandingkan dengan Korea Utara, Korea Selatan mungkin kelihatan lebih bebas dan moden, tetapi sistem pendidikannya masih sangat ketat dan penuh tekanan. Drama-drama ini membuka mata kita tentang realiti pendidikan di sana, yang bukan sahaja dipenuhi persaingan sengit, tetapi juga pengaruh sosial dan ekonomi yang memberi kesan besar kepada pelajar.
Jadi, dari senarai di atas, drama mana yang menarik perhatian anda?