Home Criminal Episod 9 & 10 “The Scarecrow”: Siapa Sebenarnya Monster Dalam Kes Hye...

Episod 9 & 10 “The Scarecrow”: Siapa Sebenarnya Monster Dalam Kes Hye Jin?

0

Episod 9 dan 10 drama The Scarecrow dianggap antara episod paling berat dan emosional setakat ini apabila siri tersebut akhirnya membongkar kebenaran di sebalik kehilangan Hye Jin serta sisi gelap sistem keadilan yang selama ini cuba disembunyikan.

Kes dalam drama ini dikaitkan dengan pengakuan sebenar pembunuh bersiri terkenal Korea Selatan, Lee Choon-jae, yang mengaku terlibat dalam pembunuhan Kim Hyeon-jeong (yang dilakonkan oleh Hye Jin) selepas lebih 30 tahun kes itu dianggap sekadar kehilangan biasa.  

Lebih mengejutkan, episod ini membuatkan ramai penonton sedar bahawa “monster” sebenar dalam cerita bukan hanya pembunuh bersiri, tetapi individu yang memilih untuk menutup kebenaran demi menjaga nama institusi.

Gi Hwan Bukan Sekadar Pembunuh Biasa

The Scarecrow
The Scarecrow

Antara babak paling disturbing dalam episod ini ialah apabila Hi Hwan menceritakan semula bagaimana dia membunuh Hye Jin.

Apa yang menyeramkan bukan sekadar pembunuhan itu sendiri, tetapi cara dia bercakap dengan tenang dan bangga mengenainya.

Dia menyebut bahawa:

Dia bukan lagi membunuh pada waktu malam, tetapi pada waktu siang di bawah cahaya matahari.

Dialog ini sebenarnya mempunyai simbolik besar.

Apabila Hi Hwan berkata dia membunuh pada waktu siang, ia memberi maksud bahawa:

  • dia sudah tidak takut lagi
  • dia mahu “dilihat”
  • pembunuhan menjadi sebahagian identiti dirinya

Ia juga simbol bahawa kejahatan dalam cerita ini sudah berlaku secara terbuka di depan masyarakat.

Dae Ho Sebenarnya Tahu Lebih Awal?

IMG 7691

Ramai penonton mula curiga terhadap Dae Ho kerana dia kelihatan terlalu tenang, cuba menghalang Tae Joo menjalankan siasatan dan bersikap pelik ketika operasi pencarian.

Selepas episod ini, jelas bahawa Dae Ho kemungkinan besar sudah mengetahui mayat Hye Jin ditemui sejak awal lagi. Ini menunjukkan Dae Ho lebih menyeramkan daripada pembunuh sebenar.

K-Drama Noir “The Scarecrow” Bongkar Kes Pembunuhan Bersiri Sebenar, Lebih Gelap Dari Memories of Murder?
“The Scarecrow” Bongkar Konflik Baharu, Perbicaraan Im Seok Man Jadi Tegang Dalam Episod Baharu

KRONOLOGI Kes Sebenar – Kehilangan Pelajar Sekolah Rendah Hwaseong

7 Julai 1989 — Kehilangan Kim Hyeon-jeong

Pada 7 Julai 1989, Kim Hyeon-jeong, seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun yang merupakan murid tahun dua Sekolah Rendah Kookmin dan tinggal di Taean-eup, Hwaseong-gun, dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah.

Kes ini kemudian menjadi antara kontroversi terbesar dalam sejarah jenayah Korea Selatan apabila didedahkan bahawa bukan sahaja pembunuh menjadi pelaku penderitaan keluarga mangsa, malah pihak negara dan polis sendiri turut didakwa terlibat menutup kebenaran. Polis dikatakan menyembunyikan mayat mangsa selepas ditemui, selain memalsukan laporan, afidavit dan bukti di lokasi kejadian untuk menukar kes pembunuhan kepada sekadar kes kehilangan orang.

Akibat pembohongan tersebut, banyak barang bukti penting yang disentuh pembunuh tidak pernah dihantar ke Institut Forensik Kebangsaan. Polis juga didakwa menyembunyikan alat jenayah. Jika diibaratkan dengan peribahasa “sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga”, pembunuh sebenarnya meninggalkan terlalu banyak petunjuk yang boleh membawanya ditangkap, namun polis pula memilih untuk menutup mata terhadap semua itu.

Akibatnya, mayat mangsa langsung gagal ditemui selama puluhan tahun. Semua barang milik mangsa yang ditemui di lokasi kejadian juga dibuang secara senyap tanpa pengetahuan keluarga, menyebabkan mereka tidak sempat pun menyentuh peninggalan terakhir anak mereka. Kes ini dianggap antara salah laku polis paling serius dalam sejarah negara itu dan menjadi salah satu kes pembunuhan paling mengerikan dalam siri pembunuhan Lee Chun-jae.

Perincian Kes

IMG 7684

Kim Hyeon-jeong hilang sekitar jam 12:30 tengah hari ketika pulang dari sekolah. Pada Disember tahun sama, skirt dan beg sekolah yang dipakainya ketika hilang ditemui di sebuah bukit di Byeongjeom 5-ri, Taean-eup, Hwaseong-gun.

Kira-kira setahun selepas kehilangan Kim, Insiden Hwaseong ke-9 berlaku berhampiran lokasi barang-barang mangsa ditemui, hanya sekitar 30 meter sahaja jaraknya.

Kedua-dua ibu bapanya memohon siasatan semula sebanyak dua kali, namun tiada perkembangan besar berlaku. Pada Ogos tahun berikutnya, kes itu ditutup sebagai kes kehilangan biasa dan kekal tidak selesai selama 30 tahun.

Keluarga mangsa mendedahkan bahawa mereka tidak pernah menukar nombor telefon rumah selama tiga dekad kerana masih berharap Kim akan pulang suatu hari nanti. Mereka percaya anak mereka masih hidup, mungkin hilang ingatan dan tidak dapat mencari jalan pulang. Mereka berharap apabila dewasa nanti, Kim akan mengingati semula identitinya dan kembali kepada keluarga.

Walaupun berpindah ke Gwangmyeong-si di Gyeonggi-do, keluarga itu tetap kerap kembali ke kawasan lama untuk bertanya khabar dan mencari maklumat. Mereka juga tidak menukar rekod sekolah kerana berharap anak mereka dapat mencari sekolah lamanya sekiranya ingatan kembali. Malah pada tahun 1996, keluarga mangsa pernah muncul dalam program televisyen “People of the Police Department”.

Namun hakikat sebenar yang menanti mereka amat kejam! Anak mereka sebenarnya telah menjadi mangsa rogol dan bunuh, selain menjadi mangsa penutupan kes oleh pihak berkuasa sendiri.

Kebenaran Yang Terbongkar

Pada 15 Oktober 2019, pengakuan Lee Chun-jae dalam kes pembunuhan bersiri Hwaseong kembali menjadi perhatian selepas dia mengaku bahawa kes Kim Hyeon-jeong merupakan salah satu daripada empat pembunuhan tambahan yang pernah dilakukannya.

Lee Chun-jae mengaku bahawa dia mengikat tangan dan kaki Kim menggunakan tali lompat sebelum merogol serta membunuh mangsa, kemudian meninggalkan mayat bersama barang-barangnya. Dia turut mendakwa Kim menangis ketakutan dan malu ketika diserang secara seksual.

Menurut pengakuannya, dia pada asalnya pergi ke gunung untuk membunuh diri kerana tidak mahu meneruskan hidup. Namun selepas mangsa ternampaknya lalu cuba melarikan diri, dia takut jenayah lamanya terbongkar lalu menyeret Kim ke dalam hutan sebelum melakukan pembunuhan tersebut.

Pada awalnya dia mendakwa tali lompat itu dibawa untuk tujuan bunuh diri, namun kemudian mengubah kenyataan dengan mengatakan tali itu sebenarnya milik Kim sendiri. Dia dipercayai meninggalkan mayat mangsa di kawasan berumput kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian.

Ketika hadir sebagai saksi dalam perbicaraan semula kes ke-8, Lee Chun-jae berkata:

“Saya menyesal dengan cara saya sendiri selepas kejadian itu. Saya hanya mampu meminta maaf kepada semua pihak yang terlibat. Pengakuan saya telah diketahui seluruh dunia dan saya sedang bermuhasabah.”

Polis Didakwa Menyembunyikan Mayat

IMG 7681

Apa yang lebih mengejutkan ialah pendedahan bahawa polis sendiri didakwa menutup penemuan mayat mangsa.

Pada 21 Disember 1989, kira-kira lima bulan selepas Kim hilang, rangka mangsa ditemui bersama pelbagai barang miliknya seperti:

  • Beg sekolah
  • Beg kasut
  • Selipar
  • Stokin
  • Seluar dalam
  • Kotak pensel
  • Baju belang
  • Kasut sekolah
  • Tamborin

Namun pegawai polis yang bertanggungjawab dikatakan mengarahkan supaya penemuan itu dirahsiakan dan keluarga mangsa langsung tidak dimaklumkan.

Keesokan harinya, tulang kecil pergelangan tangan mangsa pula ditemui, tetapi polis didakwa bertindak lebih jauh dengan menanam semula mayat tersebut secara rahsia.

Seorang penduduk tempatan yang mengetuai rondaan keselamatan awam ketika itu memberi keterangan bahawa dia menemui dua tulang tangan yang masih terikat dengan tali lompat ketika mencari di kawasan gunung bersama ketua detektif. Dia mendakwa mendengar arahan:

“Bawa penyodok.”

Dakwaan Pemalsuan Bukti Dan Laporan

IMG 7675

Lee Chun-jae mengaku bahawa dia meninggalkan pakaian mangsa bertaburan di lokasi kejadian tanpa cuba menyembunyikannya.

Namun dalam laporan polis bertarikh 22 Disember 1989, polis merekodkan bahawa pakaian mangsa disusun kemas di dalam beg kasut seolah-olah mangsa hanya melarikan diri dari rumah.

Ini mencetuskan syak bahawa manipulasi bukti dan penutupan kes sudah dirancang sejak awal.

Lebih mengejutkan, polis turut didakwa memalsukan dokumen soal siasat melibatkan bapa dan sepupu Kim. Mereka dikatakan mencipta kenyataan palsu tentang tali lompat serta makanan ringan Apollo yang ditemui di lokasi kejadian walaupun keluarga tidak pernah dimaklumkan mengenai penemuan barang-barang tersebut.

Bapa Kim kemudian menegaskan bahawa:

  • Dia tidak pernah disoal siasat pada tarikh yang dinyatakan
  • Cop jari pada dokumen bukan miliknya
  • Polis tidak pernah bertanya mengenai tali lompat

Sepupu Kim yang ketika itu baru berusia 12 tahun juga didakwa “disoal siasat bersendirian”, sesuatu yang dianggap tidak masuk akal oleh keluarganya sendiri.

Siasatan Semula

IMG 7687 scaled

Pihak polis percaya pengakuan Lee Chun-jae cukup terperinci dan boleh dipercayai, lalu melancarkan operasi pencarian di kawasan kejadian. Seramai 1,180 anggota bersama pelbagai peralatan termasuk lima radar penembus tanah (GPR) digunakan untuk mencari di kawasan seluas 6,942 meter persegi selama sembilan hari.

Namun pencarian itu berakhir tanpa sebarang hasil. Ini kerana lebih 30 tahun telah berlalu dan kawasan tersebut sudah banyak berubah akibat pembangunan serta pembinaan bangunan baharu.

Bapa mangsa meluahkan kemarahannya dengan berkata:

“Kenapa pegawai polis muda yang tidak bersalah perlu bersusah payah sekarang? Bukankah lebih cepat kalau pegawai polis yang terlibat ketika itu sendiri dipanggil untuk menggali?”

Akhirnya terbukti bahawa polis memang telah mengalihkan mayat mangsa, menjadikan keseluruhan operasi pencarian itu sia-sia. Pegawai-pegawai yang terlibat bukan sahaja menyusahkan keluarga mangsa, malah membebankan generasi polis yang lebih muda. Jika mereka mengaku sejak awal, sekurang-kurangnya petunjuk baharu mungkin dapat ditemui, namun mereka memilih untuk terus berdiam diri hingga akhir.

Seorang pegawai polis berkata operasi pencarian tambahan sukar dilakukan kerana kawasan tersebut telah berubah sepenuhnya akibat pembangunan tanah. Pada akhirnya, mayat Kim Hyeon-jeong tetap gagal ditemui walaupun semua prosedur siasatan selesai dijalankan.

Polis Disyaki Sengaja Musnahkan Bukti

IMG 7685

Pasukan penyiasat percaya pihak polis ketika itu sengaja memusnahkan bukti. Ketua bahagian siasatan jenayah pada waktu tersebut dan seorang detektif lain (yang meninggal dunia pada 2009) disiasat atas tuduhan menyembunyikan mayat serta memusnahkan bukti.

Namun kenyataan yang dihantar kepada pihak pendakwa raya dianggap amat tidak masuk akal.

Dalam dokumen itu dinyatakan bahawa:

“Berbanding cuba menyembunyikan pembunuhan secara kekal dengan menghapuskan mayat Kim Hyeon-jeong sepenuhnya, suspek dipercayai menyembunyikan mayat dan membuat laporan palsu untuk mengurangkan beban siasatan buat sementara waktu sebelum menyambung semula siasatan selepas suspek sebenar dikenal pasti dan ditangkap.”

Hakikatnya, polis tidak pernah menyambung semula siasatan mereka sendiri. Kes itu terus ditutup dan dilupakan selama 30 tahun. Siasatan hanya dibuka semula selepas Lee Chun-jae membuat pengakuan, bukannya kerana pihak polis sendiri mahu mencari kebenaran.

Ramai mempersoalkan bagaimana sebuah organisasi boleh melindungi kesalahan yang begitu serius dan kemudian menganggapnya sekadar perkara lama yang tidak mungkin berulang lagi.

“Budaya Diam” Dalam Kalangan Polis

IMG 7682

Jenayah menyembunyikan mayat dan menutup kes itu dipercayai berlaku antara 21 hingga 25 Disember 1989. Namun sehingga akhir, mereka enggan menjelaskan bagaimana mayat itu disembunyikan atau motif sebenar tindakan tersebut.

Walau bagaimanapun, ramai percaya tekanan besar akibat siri pembunuhan Hwaseong ketika itu menjadi sebab polis cuba menutup satu lagi kes pembunuhan.

Antara alasan yang diberikan oleh anggota polis ketika itu ialah:

“Ketika itu suasananya memang seperti satu pantang larang sesama sendiri.”

“Saya tidak berani bercakap kerana saya orang bawahan. Saya fikir saya hanya perlu diam.”

“Kami takut akan berlaku kekecohan lagi kerana pembunuhan bersiri.”

Kenyataan-kenyataan itu dilaporkan oleh SBS dan datang daripada beberapa individu berbeza.

Sekurang-Kurangnya 10 Pegawai Polis Tahu Tentang Penutupan Kes

IMG 7677

Siasatan kemudian mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 10 pegawai polis mengetahui tentang penemuan mayat Kim Hyeon-jeong tetapi memilih untuk berdiam diri dan memanipulasi bukti.

Walaupun begitu, hanya dua individu disiasat secara rasmi kerana kekurangan bukti terhadap yang lain.

Ramai anggota pasukan siasatan pembunuhan bersiri Hwaseong sebenarnya sudah mengetahui perkara itu sejak dahulu lagi. Namun mereka hanya bersuara selepas pengakuan Lee Chun-jae didedahkan.

Antara kenyataan yang diberikan semasa siasatan pendakwa raya ialah:

“Saya dengar mayat Hyeonjeong ditemui dan saya juga dengar ia ditutup.”

“Mayat ditemui dan ditanam semula atas arahan ketua detektif. Saya dengar orang pertama yang menemuinya dibayar supaya diam.”

“Seorang rakan sekerja menunjukkan ke arah kaki gunung sambil berkata, ‘Hyeonjeong sedang tidur di sana.’ Saya tahu mayat itu sudah ditanam semula jadi saya tidak bertanya lebih lanjut.”

“Setahun atau dua selepas kehilangan itu, saya ternampak fail kes Hyeonjeong dan seorang rakan memberitahu saya bahawa mayatnya telah ditemui tetapi disembunyikan.”

“Saya juga dengar mayat ditemui di tempat yang sama dengan barang-barangnya.”

Walaupun ramai mengetahui perkara itu, tidak seorang pun tampil memberitahu keluarga mangsa selama lebih 30 tahun.

Tiada usaha, tiada keberanian, malah tiada niat untuk bercakap benar.

Ramai pihak mempersoalkan sama ada rasa bersalah mereka turut hilang bersama budaya berdiam diri dan rasa bersubahat dalam kalangan anggota polis.

Tiada Siapa Benar-Benar Mengaku Bersalah

IMG 7678

Ironinya, ramai anggota polis yang akhirnya bersuara tetap bercakap seolah-olah mereka hanya mendengar cerita daripada orang lain.

Mereka menggunakan frasa seperti:

“Saya dengar…”

dan bukan mengaku penglibatan sendiri.

Tiada siapa benar-benar menunjukkan penyesalan. Kebanyakan mereka lebih sibuk memberi alasan.

Keluarga Mangsa Ambil Tindakan Undang-Undang

Pada 30 Januari 2020, keluarga mangsa memfailkan laporan terhadap ketua detektif ketika itu atas tuduhan:

  • Pecah amanah tugas
  • Pemalsuan dokumen rasmi
  • Membantu penjenayah melarikan diri
  • Cuai menjalankan tugas

Peguam keluarga mangsa, Lee Jeong-do, berkata tindakan itu bukan soal pampasan semata-mata, tetapi untuk memastikan penyiasat yang terlibat dihukum.

Menurutnya:

“Terdapat preseden undang-undang yang menyatakan tempoh had pendakwaan tidak tamat selagi masih ada kemungkinan tugas itu dijalankan. Oleh itu, kecuaian pegawai polis ketika itu boleh dianggap berterusan sehingga mereka bersara.”

Bapa mangsa turut berkata:

“Jika polis benar-benar mencari anak saya tetapi gagal menemuinya, saya boleh faham. Tetapi mereka menemui mayat dan menyembunyikannya.”

“Mereka mempunyai banyak peluang untuk membetulkan kesalahan sebelum bersara.”

“Dengan menyembunyikan mayat dan memusnahkan bukti, mereka menghalang siasatan sehingga pembunuh sebenar dikenal pasti melalui pengakuan Lee Chun-jae.”

“Polis Lebih Teruk Daripada Lee Chun-jae”

Pada Julai 2020, bapa mangsa mengadakan upacara peringatan di sebuah taman di Hwaseong yang dipercayai lokasi kematian anaknya.

Dalam keadaan penuh emosi, dia berkata:

“Jika polis tahu semuanya, kenapa mereka menyembunyikannya dan menghalang kami daripada menemui walaupun segenggam tulang?”

“Sebelum kawasan itu dibangunkan, mungkin kami masih boleh menemui sesuatu. Polis lebih teruk daripada Lee Chun-jae.”

Dia turut berkata:

“Pembunuh memang membunuh anak saya. Tetapi orang yang menutup kes ini melakukan sesuatu yang lebih kejam.”

Tiada Pendakwaan Kerana Tempoh Had Tamat

Pada Januari 2021, setahun selepas laporan dibuat, pihak pendakwa raya memutuskan untuk tidak mendakwa mana-mana pegawai polis kerana tempoh had pendakwaan dikatakan sudah tamat.

Lebih mengecewakan, alasan penolakan itu hanya ditulis secara ringkas tanpa penjelasan terperinci mengapa hujah keluarga mangsa tidak diterima.

Kesalahan yang berlaku selama lebih 30 tahun diringkaskan dalam satu helaian kertas A4 tanpa penjelasan jelas mengenai pengiraan tempoh had.

Bapa mangsa berkata:

“Jika mereka beritahu anak saya sudah mati sejak awal, saya tidak akan hidup selama puluhan tahun mencari mayatnya di gunung.”

“Adakah pendakwa raya dan hakim tidak mempunyai anak?”

“Kami Tidak Perlukan Permohonan Maaf Lagi”

Sebenarnya, keluarga mangsa membuat laporan bukan semata-mata mahu menghukum pelaku.

Mereka hanya mahu mengetahui lokasi sebenar mayat Kim Hyeon-jeong.

Mereka berharap tekanan masyarakat dapat memaksa pegawai polis yang terlibat bercakap benar supaya mayat mangsa akhirnya dapat ditemui.

Namun sehingga akhir, tiada seorang pun tampil memohon maaf secara ikhlas.

Abang mangsa akhirnya berkata dalam satu wawancara:

“Saya tidak perlukan permohonan maaf lagi. Saya cuma mahu tahu kebenaran.”

Saman Pampasan Negara Oleh Keluarga Mangsa dan Pemergian Ibu Bapa Kim Hyeon-jeong

Pada Mac 2020, keluarga Kim Hyeon-jeong memfailkan saman terhadap kerajaan Korea Selatan dengan tuntutan pampasan sebanyak 250 juta won. Mereka menegaskan bahawa kerajaan perlu bertanggungjawab mengikut Akta Pampasan Negara kerana siasatan terhadap kes sebenar Kim telah tertangguh selama lebih 30 tahun akibat tindakan haram pihak polis.

Memandangkan pegawai polis yang terlibat tidak lagi boleh dihukum secara jenayah kerana tempoh had pendakwaan telah tamat, saman sivil itu menjadi satu-satunya cara untuk keluarga mangsa mendapatkan keadilan serta pengiktirafan rasmi bahawa negara telah gagal melindungi mereka.

Namun, perbicaraan pertama hanya bermula selepas setahun. Proses itu menjadi lambat kerana pihak pendakwa raya didakwa tidak memberikan kerjasama dalam penyerahan dan salinan penuh rekod siasatan kes.

Kerajaan Cuba Gunakan Alasan “Tempoh Had Tamat”

Menjelang perbicaraan pertama pada 18 Mac, Kementerian Kehakiman Korea Selatan mengemukakan kenyataan ringkas:

“Sila tolak tuntutan plaintif dan biarkan plaintif menanggung kos saman.”

Sebulan setengah kemudian, pada 29 April, kerajaan mengemukakan dokumen hujahan kedua setebal 21 muka surat yang memperincikan pendirian rasmi mereka sebelum perbicaraan kedua pada 6 Mei.

Dalam dokumen itu, kerajaan tetap mempertahankan hujah bahawa tempoh had pendakwaan telah tamat.

Menurut kerajaan:

“Walaupun kita menganggap tindakan haram yang didakwa plaintif berlaku pada 1989, saman ini difailkan selepas tempoh had tamat lima tahun kemudian.”

Dengan kata lain, kerajaan mendakwa mereka tidak lagi bertanggungjawab kerana lebih lima tahun telah berlalu sejak mayat Kim disembunyikan pada Disember 1989.

Hujah itu mencetuskan kemarahan ramai kerana mahkamah Korea sebelum ini sudah beberapa kali memutuskan bahawa kerajaan tidak boleh menggunakan alasan tempoh had sekiranya mangsa tidak dapat menuntut hak akibat campur tangan atau penutupan oleh pihak negara sendiri.

Malah, keluarga Kim hanya mengetahui tentang penutupan kes dan penyembunyian mayat selepas pengakuan Lee Chun-jae pada penghujung 2019. Polis pula secara rasmi mengakui penutupan tersebut pada Julai 2020, sedangkan saman telah difailkan lebih awal pada Mac tahun sama.

Mengikut undang-undang Korea, tuntutan pampasan terhadap negara boleh dibuat dalam tempoh:

  • Tiga tahun selepas mangsa mengetahui kerugian dan pelakunya
  • Lima tahun selepas tindakan haram berlaku

Justeru, ramai melihat tindakan kerajaan mempertahankan alasan “tempoh had tamat” sebagai sesuatu yang tidak berperikemanusiaan.

“Kerajaan Yang Kononnya Bela Mangsa”

IMG 7700

Ironinya, ketika menjadi calon presiden, Moon Jae-in pernah membezakan dirinya daripada pentadbiran terdahulu dengan menunjukkan sokongan terhadap mangsa keganasan negara.

Malah pada 2018, selepas memegang jawatan presiden, Kementerian Kehakiman Korea mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mahu:

  • Mempercepatkan proses pampasan mangsa keganasan negara
  • Mengurangkan kelewatan prosedur mahkamah
  • Memberi bantuan awal kepada mangsa

Namun dalam kes Kim Hyeon-jeong, keluarga mangsa merasakan semua janji itu hanyalah retorik.

“Ini Bukan Keganasan Negara” — Hujah Kerajaan Cetus Kemarahan

Pasukan guaman kerajaan turut berhujah bahawa kes itu hanyalah “penyelewengan individu” oleh pegawai polis tertentu, bukannya keganasan sistematik oleh negara.

Mereka mendakwa:

“Tiada bukti objektif ditemui ketika itu, jadi kes tersebut tidak dapat dielakkan daripada dianggap sebagai kes lari dari rumah.”

Kerajaan juga berkata bahawa:

“Selain pegawai yang bertindak tidak wajar, anggota polis lain telah melakukan yang terbaik untuk mencari mangsa.”

Malah mereka menegaskan bahawa selepas pengakuan Lee Chun-jae, pasukan khas siasatan telah dibentuk untuk mencari kebenaran.

Bagi keluarga mangsa dan peguam mereka, hujah itu sangat menyakitkan.

Peguam keluarga Kim mengecam tindakan kerajaan dengan berkata:

“Menggunakan alasan yang tidak masuk akal untuk mengurangkan tanggungjawab negara ketika mangsa memerlukan keadilan hanyalah satu bentuk penderaan kedua terhadap keluarga mangsa.”

Perbicaraan Berlarutan Hampir Tiga Tahun

Mengikut prinsip undang-undang sivil Korea, keputusan peringkat pertama biasanya dibuat dalam tempoh lima bulan.

Namun kes ini berlanjutan selama dua tahun lapan bulan, hampir enam kali lebih lama daripada kebiasaan.

Walaupun sebahagiannya disebabkan siasatan tambahan selepas pengakuan Lee Chun-jae, keluarga mangsa tetap mengesyaki berlaku kelewatan disengajakan.

Kerana seperti yang mereka katakan:

“Masa sentiasa menjadi senjata pihak yang berkuasa.”

Ibu Dan Bapa Kim Hyeon-jeong Meninggal Dunia

IMG 7673
Screenshot

Kesedihan yang ditanggung ibu bapa Kim Hyeon-jeong sukar digambarkan dengan kata-kata.

Selepas mengetahui kebenaran bahawa anak mereka sebenarnya telah mati dibunuh dan kes itu disembunyikan selama puluhan tahun, keluarga mangsa akhirnya mengadakan pengebumian dan upacara peringatan yang tertangguh selama lebih tiga dekad.

Namun kedua-dua ibu bapanya tidak sempat melihat pengakhiran perjuangan mereka.

Ibu Kim Meninggal Dunia Dalam Keadaan Trauma Mendalam

Ibu Kim meninggal dunia pada 11 September 2020 — hanya beberapa bulan selepas saman terhadap kerajaan difailkan dan 31 tahun selepas kehilangan anaknya.

Dia sudah lama mengalami kemurungan selepas kehilangan anak perempuan tunggalnya. Dia jarang keluar rumah dan hampir tidak berjumpa orang lain.

Selama 30 tahun, dia percaya Kim masih hidup di suatu tempat.

Namun mengetahui bahawa anaknya sebenarnya telah meninggal dunia sejak dahulu lagi — dan fakta itu disembunyikan — menjadi kejutan yang terlalu besar untuk ditanggungnya.

Pada Julai 2020, dia terjatuh di dapur dan patah tangan. Ketika mendapatkan rawatan, doktor mendapati kanser telah merebak ke hatinya.

Dia meninggal dunia dua hari selepas dimasukkan ke hospital besar.

Lebih memilukan, sehingga saat akhir hidupnya, dia masih berkata kepada suaminya:

“Bawa Hyeon-jeong pulang. Bukankah awak tinggalkan dia di suatu tempat kerana kita susah dahulu? Sekarang kita sudah ada makanan yang cukup, jadi bawalah dia pulang.”

Dia tidak pernah benar-benar menerima bahawa anaknya sudah meninggal dunia.

Dia juga tidak pernah melihat walaupun segenggam tulang anaknya atau barang-barang terakhir miliknya.

Bapa Kim Menyusul Dua Tahun Kemudian

Dua tahun kemudian, pada September 2022, bapa Kim pula meninggal dunia.

Sepanjang hidupnya dia terus menyalahkan diri sendiri kerana berpindah dari Seoul untuk menjadi penternak, sambil berkata:

“Saya yang menyebabkan anak saya jadi begini.”

Selepas kebenaran terbongkar, dia tidak dapat tidur akibat terlalu marah terhadap polis dan terpaksa bergantung kepada pil tidur setiap hari.

Namun dia juga meninggal dunia sebelum sempat melihat keputusan akhir kes saman tersebut.

Daripada keluarga asal seramai empat orang, hanya abang Kim Hyeon-jeong yang masih hidup dan meneruskan perjuangan keluarga.

Jumlah Pampasan Dinaikkan Kepada 400 Juta Won

Selepas kematian kedua-dua ibu bapanya, peguam keluarga meminda jumlah tuntutan daripada 250 juta won kepada 400 juta won.

Menurut peguam:

“Harapan terakhir sebagai ibu bapa — termasuk untuk menemukan mayat anak mereka — telah musnah sepenuhnya. Kejutan psikologi yang amat besar itu akhirnya membawa kepada kematian mereka.”

Beliau turut menegaskan bahawa kedua-dua ibu bapa Kim sebenarnya sihat secara fizikal dan dijangka mempunyai jangka hayat yang panjang sebelum semua kebenaran terbongkar.

Keluarga Mangsa Akhirnya Menang Saman

Pada 17 November 2022, mahkamah akhirnya memutuskan memihak kepada keluarga Kim Hyeon-jeong.

Kerajaan Korea Selatan diarahkan membayar pampasan sebanyak 220 juta won:

  • 100 juta won kepada setiap ibu bapa
  • 20 juta won kepada abang mangsa

Mahkamah menyatakan bahawa polis ketika itu sebenarnya telah menemui mayat yang dipercayai milik Kim tetapi menyembunyikannya.

Mahkamah turut memutuskan bahawa:

  • Polis secara sistematik menutup dan memanipulasi kes
  • Hak keluarga mangsa untuk berkabung dan mengetahui punca kematian Kim telah dinafikan
  • Negara wajib membayar pampasan atas penderitaan tersebut

Mahkamah juga mengakui bahawa keluarga Kim hidup selama puluhan tahun tanpa mengetahui sama ada anak mereka masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Lebih tragis, mayat mangsa masih gagal ditemui sehingga hari ini.

“Menunggu Keputusan Mahkamah Lebih Menyakitkan”

Abang Kim Hyeon-jeong berkata:

“Menunggu keputusan mahkamah selama dua tahun lapan bulan terasa lebih menyakitkan daripada menunggu berita tentang adik saya selama 30 tahun.”

Dalam keadaan menangis, dia turut berkata:

“Walaupun mahkamah mengiktiraf kesalahan negara, saya benar-benar berharap pegawai polis yang terlibat memohon maaf.”

Dia juga percaya masih ada banyak kebenaran yang belum didedahkan.

“Saya rasa masih banyak perkara yang belum diceritakan.”

“Saya mahu tahu bagaimana semuanya berlaku dan apa sebenarnya yang mereka lakukan… tetapi mereka masih tidak mahu bercakap.”

Kementerian Kehakiman Akhirnya Akui Kesalahan Negara

IMG 7683

Selepas keputusan mahkamah pertama, Kementerian Kehakiman memutuskan untuk tidak membuat rayuan.

Mereka akhirnya mengakui bahawa:

“Disebabkan tindakan haram yang disengajakan oleh pegawai polis ketika itu, keluarga mangsa tidak dapat memastikan sama ada mangsa telah meninggal dunia selama kira-kira 30 tahun dan kehilangan peluang untuk berkabung serta memperingatinya.”

Namun keluarga mangsa tetap memfailkan rayuan kerana menganggap jumlah pampasan masih terlalu rendah berbanding penderitaan yang dialami selama lebih tiga dekad.

Akhir kata dari editor

IMG 7688

Kes Kim Hyeon-jeong bukan sekadar kisah tragis seorang kanak-kanak berusia lapan tahun yang menjadi mangsa pembunuhan kejam. Ia turut menjadi simbol kegagalan sistem yang sepatutnya melindungi rakyat, namun akhirnya didakwa memilih untuk menyembunyikan kebenaran selama lebih 30 tahun.

Pengakuan Lee Chun-jae mungkin akhirnya membuka sebahagian jawapan, tetapi bagi keluarga mangsa, masa yang hilang tidak mungkin dapat dikembalikan. Mereka menghabiskan puluhan tahun hidup dalam harapan palsu, menunggu kepulangan seorang anak yang sebenarnya sudah lama meninggal dunia, sedangkan pihak berkuasa dipercayai mengetahui hakikat tersebut sejak awal lagi.

Lebih menyayat hati, kedua-dua ibu bapa Kim meninggal dunia sebelum mayat anak mereka ditemui dan sebelum keseluruhan kebenaran benar-benar terbongkar. Apa yang tinggal hanyalah seorang abang yang terus berjuang mencari jawapan terakhir tentang apa sebenarnya yang berlaku kepada adiknya.

Walaupun mahkamah akhirnya mengiktiraf tanggungjawab negara dan memerintahkan pampasan diberikan kepada keluarga mangsa, ramai berpendapat keadilan sebenar masih belum tercapai. Tiada permohonan maaf yang benar-benar ikhlas, tiada hukuman terhadap mereka yang didakwa menutup kes, dan sehingga hari ini, lokasi sebenar mayat Kim Hyeon-jeong masih menjadi misteri.

Kes ini kekal sebagai antara bab paling gelap dalam sejarah jenayah Korea Selatan. Bukan sahaja kerana kekejaman pembunuhan itu sendiri, tetapi kerana dakwaan bahawa mereka yang sepatutnya mencari kebenaran akhirnya turut menjadi sebahagian daripada tragedi tersebut.

EPISOD AKHIR THE SCARECROW

The Scarecrow bukan sekadar drama jenayah biasa. Ia adalah sebuah karya yang menggabungkan sejarah, trauma, dan misteri dalam satu penceritaan yang berat tetapi memikat.

Bagi peminat drama noir atau kisah jenayah sebenar, ini mungkin antara K-drama paling intense tahun ini. Persoalannya, adakah anda bersedia untuk menyelami sisi gelap sejarah yang selama ini tersembunyi?

Pastikan jangan terlepas dari menyaksikan drama thriller jenayah 12 episod “The Scarecrow” ini di aplikasi Viu.

Langgan juga Viu Premium untuk menonton pelbagai genre drama Korea tanpa sebarang gangguan iklan!