Jika anda merupakan pencinta drama Korea dan dalam masa yang sama gemar dunia kulinari, maka artikel ini adalah padanan sempurna untuk anda.
Restoran dalam drama Korea sering menjadi lebih daripada sekadar latar tempat, ia juga menjadi ruang yang menyatukan pelbagai watak, mempertemukan insan secara kebetulan, dan menjadi saksi kepada pelbagai kisah yang dilalui.
Daripada suasana dapur yang hangat, meja makan yang meriah, hingga ke proses memasak yang ditampilkan secara terperinci, drama-drama Korea ini menawarkan pengalaman tontonan yang bukan sahaja menggoda selera melalui adegan masakan, malah mengusik emosi penonton dengan cerita yang menyentuh hati.
Bersedialah untuk berasa lapar dan tersentuh? Berikut ialah 4 drama Korea bertemakan restoran yang harus anda tonton!
1. Tastefully Yours (2025)
Drama ini mengisahkan dua individu dengan latar belakang dan pandangan yang sangat berbeza terhadap makanan. Tastefully Yours mempertemukan Han Beom U, pewaris syarikat makanan terkenal yang tidak berminat terhadap cita rasa, dengan Mo Yeon Ju, seorang cef yang hidup demi mengejar “rasa sejati”.
Beom U ialah seorang yang berorientasikan perniagaan dan menguruskan restoran mewah terbaik di Seoul, manakala Yeon Ju memilih untuk mengendalikan sebuah restoran kecil berkonsepkan satu meja tanpa papan tanda di sebuah kampung terpencil, tempat dia boleh memberi sepenuh tumpuan kepada kualiti rasa.
Takdir mempertemukan mereka di kota kecil Miraek, Jeonju, di mana mereka mula menguruskan sebuah restoran kecil bersama-sama. Dalam proses itu, mereka bukan sahaja belajar memahami masakan dari perspektif berbeza, tetapi juga perlahan-lahan jatuh cinta antara satu sama lain.
2. Link: Eat, Love, Kill (2022)
Drama Korea ini mengisahkan Eun Gye Hun, seorang cef yang membuka sebuah restoran di bandar kecil, tempat adik kembarnya menghilang dua dekad lalu.
Tanpa sebab yang jelas, Gye Hun mula mengalami emosi yang bukan miliknya: menangis, ketawa, marah, semuanya muncul secara tiba-tiba dan kuat. Rupa-rupanya, dia mempunyai ikatan emosi misteri dengan No Da Hyeon, seorang wanita asing yang tidak dikenali pada awalnya.
Hubungan unik ini perlahan-lahan merungkai kisah silam yang terpendam, dan membawa mereka dalam pencarian kebenaran yang telah lama terkubur.
3. Chocolate (2019)
Drama Korea Chocolate menyajikan sebuah kisah penuh emosi antara dua insan yang dipertemukan semula oleh takdir dan kenangan silam. Lee Kang merupakan seorang pakar bedah saraf yang pernah bercita-cita menjadi cef sejak kecil. Sebaliknya, Moon Cha Young menjadi cef antarabangsa selepas satu momen kecil yang bermakna, ketika dia menikmati masakan Lee Kang di sebuah restoran kecil di tepi laut.
Beberapa tahun kemudian, mereka dipertemukan semula di tempat yang tidak dijangka: sebuah hospital penjagaan paliatif. Di tengah kesunyian dan dinginnya suasana hospital, mereka mula menyembuhkan luka dalaman masing-masing melalui makanan yang dimasak untuk para pesakit.
4. Wok of Love (2018)
Restoran makanan Cina menjadi pentas utama dalam drama Korea berjudul Wok of Love. Seo Poong pernah menjadi cef berbintang di restoran ternama, namun satu peristiwa pahit memaksanya memulakan semula karier di sebuah restoran kecil yang hampir muflis.
Dalam masa yang sama, Dan Sae Woo menjalani kehidupan mewah, berkuda, bermain anggar, dan menerima cek perkahwinan bernilai ratusan juta won. Namun, satu mangkuk jajangmyun yang dinikmatinya secara tidak sengaja menjadi titik perubahan hidupnya. Pertemuan mereka membuka tirai kepada sebuah kisah baharu yang penuh rasa, dari dapur, ke hati.
Itulah empat drama Korea dengan latar restoran yang bukan sahaja akan menggoda selera anda dengan hidangan menarik, tetapi juga membuatkan hati anda tersentuh dengan kisah yang penuh rasa.
Jadi, yang mana satu bakal menjadi kegemaran anda?