Home Entertainment ‘No Other Choice’ Pecah Rekod, Antara Filem Korea Tercepat Capai Satu Juta...

‘No Other Choice’ Pecah Rekod, Antara Filem Korea Tercepat Capai Satu Juta Penonton

0

Sejak mula ditayangkan pada 24 September 2025, filem ‘No Other Choice’ telah mencatatkan pencapaian luar biasa.

Filem ‘No Other Choice’ dibarisi pelakon terkenal seperti Lee Byung Hun, Son Ye Jin, Lee Sung Min, Yeom Hye Ran, Park Hee Soon, dan Cha Seung Won, filem ini berjaya menarik satu juta penonton hanya dalam tempoh lima hari.

Selain karya arahan Park Chan Wook ini, beberapa filem Korea lain yang diterbitkan pada tahun 2025 turut mencatat kejayaan besar apabila berjaya menembusi angka jutaan penonton dalam masa singkat.

Berikut senarai filem Korea yang paling pantas meraih satu juta penonton tahun ini, dengan ‘No Other Choice’ sebagai filem terkini dalam senarai tersebut.

1. Hitman 2

Filem

Menyusul kejayaan filem pertamanya, Hitman 2 berjaya mengumpul satu juta penonton dalam masa 8 hari tayangan.

Filem aksi komedi ini mengisahkan Joon (lakonan Kwon Sang Woo), bekas ejen pembunuh dari Perkhidmatan Risikan Kebangsaan (NIS) bahagian antikeganasan, yang kini memilih kerjaya sebagai pelukis komik.

Namun, hidupnya berubah apabila komik yang dilukisnya,  berinspirasikan kisah sebenar semasa bertugas di NIS, tanpa sengaja dimuat naik ke dunia maya ketika dia mabuk. Komik itu menjadi sensasi dalam sekelip mata, tetapi turut menyeret Joon kembali ke dunia berbahaya yang telah lama ditinggalkannya.

2. Dark Nuns

No other choice

Menandakan kemunculan semula Song Hye Kyo di layar perak, filem Dark Nuns menjual satu juta tiket dalam tempoh 6 hari tayangan.

Sebagai kesinambungan daripada filem The Priests (2015), kisah ini memfokuskan kepada seorang kanak-kanak lelaki bernama Hee Joon (Moon Woo Jin) yang dirasuk roh jahat.

Biarawati Yunia (lakonan Song Hye Kyo) berusaha menyelamatkannya dengan penuh ketabahan, dibantu oleh Biarawati Mikaela (Jeon Yeo Bin) yang terinspirasi oleh semangat Yunia. Dalam masa yang sama, Pastor Paul (Lee Jin Uk), seorang paderi yang juga pakar psikiatri, cuba menyembuhkan Hee Joon menggunakan pendekatan perubatan moden.

Gabungan elemen keagamaan, psikologi dan ketegangan menjadikan filem ini antara karya seram paling berpengaruh tahun ini.

3. Yadang: The Snitch

1658096f 2ed4 43b8 8ef1 9d52d4f08524

Seperti Hitman 2, filem Yadang: The Snitch turut berjaya mencapai satu juta penonton dalam 8 hari.

Filem ini menyorot kisah Lee Gang Soo (Kang Ha Neul), seorang lelaki yang dipenjarakan akibat tuduhan palsu.

Dalam keadaan terdesak, dia menerima tawaran daripada Pendakwa Ku Gwan Hee (Yu Hae Jin) yang menjanjikan pengurangan hukuman sekiranya dia bersetuju menjadi ‘yadang’, istilah slanga Korea bagi penjenayah yang menjadi pemberi maklumat kepada pihak berkuasa.

Maklumat yang diberikan Lee Gang Soo membantu Ku Gwan Hee menumpaskan rangkaian pengedaran dadah dan melonjakkan kerjayanya dengan pantas. Namun, kejayaan itu menimbulkan syak wasangka daripada Detektif Oh Sang Jae (Park Hae Joon), yang mula menyiasat hubungan rahsia antara pendakwa dan pemberi maklumat itu, lantas membongkar konflik kepentingan yang semakin gelap.

4. My Daughter is a Zombie

be62547a cb41 4a6b b2f1 bd22cbaf2fe1

Masih memegang gelaran filem Korea paling laris tahun 2025, My Daughter is a Zombie berjaya mengumpul satu juta penonton hanya dalam 4 hari.

Kisahnya berlatarkan setahun selepas wabak zombi melanda Korea Selatan dan meragut ratusan ribu nyawa.

Setelah keadaan kembali pulih, seorang lelaki bernama Jung Hwan (Jo Jung Suk) menyimpan rahsia besar, anak perempuannya Soo Ah (Choi Yoo Ri) ialah satu-satunya zombi yang masih hidup di dunia.

Jung Hwan membawa Soo Ah ke kampung halaman isterinya, Bam Soon (Lee Jung Eun), yang juga nenek kepada Soo Ah.

Walaupun berubah menjadi zombi, Soo Ah masih menunjukkan emosi dan ingatan manusia. Jung Hwan berusaha mendidiknya agar tidak mencederakan sesiapa, sambil berjuang untuk menjalani kehidupan normal sebagai seorang ayah yang dihantui masa lalu.

5. No Other Choice

No other choice

Filem No Other Choice menjadi tajuk terbaru yang mencapai satu juta penonton hanya dalam 5 hari.

Gabungan genre thriller dan komedi gelap, filem ini berpusat pada Man Soo (Lee Byung Hun), seorang pakar industri kertas dengan pengalaman 25 tahun. Dia hidup bahagia bersama isterinya Mi Ri (Son Ye Jin), dua anak mereka, seekor anjing peliharaan, dan rumah yang dibina hasil titik peluhnya.

Namun, segalanya berubah apabila Man Soo dipecat tanpa alasan kukuh. Dalam usahanya menyara keluarga, dia berikrar mencari kerja baharu dalam masa tiga bulan. Selepas setahun mencuba pelbagai pekerjaan dan gagal dalam banyak temu duga, dia berdepan kemungkinan kehilangan rumah dan harga diri.

Dalam keputusasaan, Man Soo memohon kerja di Moon Paper, syarikat pesaing tempat dia pernah bekerja, tetapi dipermalukan oleh penyelianya. Merasakan dirinya lebih layak, dia mula mengambil langkah melampau untuk menyingkirkan pesaingnya satu per satu.

‘No Other Choice’ mengupas tekanan hidup, moral manusia, dan sempadan antara maruah serta keputusasaan, menjadikannya karya yang mencetuskan renungan mendalam tentang kehidupan moden.

Dengan jalan cerita yang segar, lakonan hebat dan arahan berwibawa, kesemua filem Korea tahun 2025 ini berjaya memikat hati penonton dan memecah rekod tontonan dalam masa singkat.

Filem ‘No Other Choice’ juga telah ditayangankan di peringkat antarabangsa pada 1 Oktober 2025.

Baca lagi: “No Other Choice”, Filem Korea Baharu Sarat Konflik, Emosi dan Kisah Kehidupan
Baca juga: Komedi Korea Menembusi Dunia, ‘Chicken Nugget’ Raih Pencalonan Emmy Antarabangsa