Bagi peminat anime DEMON SLAYER: KIMETSU NO YAIBA, pasti tak asing dengan nama Muichiro Tokito, Hashira Kabus yang dikenali dengan gaya bertarung uniknya. Namun, di sebalik ketenangan dan kekuatannya, tersembunyi sebuah kisah pilu yang jarang disingkap.
Muichiro Tokito merupakan salah satu watak dengan latar belakang paling menyayat hati dalam siri ini. Sejak kecil, dia telah diuji dengan kehilangan saudara kembar kesayangannya, Yuichiro Tokito, sekali gus meninggalkan trauma mendalam sehingga mencetuskan amnesia, mekanisme pertahanan diri untuk melupakan kepahitan lalu.
1. Zaman Kanak-kanak Penuh Duka

Muichiro dan Yuichiro menjadi yatim piatu ketika mereka berumur 10 tahun. Ibu mereka meninggal dunia akibat bronkitis selepas selsema, dan bapa mereka mati ketika cuba mengumpulkan herba untuk ibu mereka semasa ribut. Kembar itu kemudiannya dibiarkan berdikari. Mereka hanya bergantung antara satu sama lain untuk terus hidup, membina ikatan yang kuat, namun dalam masa yang sama rapuh dan penuh kesepian.
2. Ikatan Unik Muichiro dan Yuichiro

Selepas kehilangan ibu bapa, Yuichiro mengambil peranan sebagai abang yang tegas dan sinis. Dia sering menegur sikap Muichiro yang polos dan terlalu optimis. Walaupun kelihatan kasar, Yuichiro sebenarnya amat menyayangi adiknya. Hakikat itu hanya terserlah pada detik-detik terakhir kehidupannya yang tragis.
3. Malam Berdarah yang Meragut Segalanya

Kehidupan mereka musnah apabila rumah mereka diserang oleh iblis kejam. Yuichiro berjuang bermati-matian untuk melindungi Muichiro, namun akhirnya cedera parah dan menghembuskan nafas terakhir di depan mata adiknya. Detik itu meninggalkan trauma yang begitu mendalam, apatah lagi Yuichiro sempat meluahkan kasih sayangnya yang selama ini tersembunyi.
4. Pertarungan Epik Melawan Gyokko

Saat paling penting dalam kisah tragis Muichiro muncul ketika dia bertarung dengan Gyokko, Iblis Peringkat Atas Lima. Pertarungan sengit itu menjadi pencetus ingatan lamanya kembali, membuka semula luka lama yang selama ini terkunci. Namun daripada kesakitan itulah muncul semangat baharu yang memberinya kekuatan luar biasa.
5. Kebangkitan Tanda Pembasmi Iblis

Rasa kehilangan dan kemarahan atas kematian Yuichiro menjadi pemangkin utama yang membangkitkan Tanda Pembasmi Iblis pada Muichiro. Dengan tanda ini, kekuatannya meningkat berkali ganda, menjadikannya lawan yang amat berbahaya buat Gyokko.
6. Warisan Kehebatan Muichiro Tokito

Dengan kekuatan yang membara, Muichiro Tokito berjaya menewaskan Gyokko seorang diri, pencapaian yang jarang berlaku walaupun dalam kalangan Hashira. Kisahnya membuktikan bahawa daripada trauma terdalam, lahir tekad dan kekuatan yang mampu menjadikan seseorang itu wira yang menginspirasi ramai.
Muichiro Tokito bukan sekadar Hashira Kabus yang tenang, tetapi simbol keberanian yang lahir daripada luka paling perit dalam hidupnya.
Baca lagi: Senarai Iblis Terkuat dalam Demon Slayer, Dari Pengendali Benang Hingga Raja Kegelapan
Baca juga: 8 Anime Harus Tonton untuk Peminat DEMON SLAYER: KIMETSU NO YAIBA







