Home News Ini 6 Permainan Tradisional Malaysia Yang Semakin Dilupakan Pada Zaman Kini

Ini 6 Permainan Tradisional Malaysia Yang Semakin Dilupakan Pada Zaman Kini

0

Zaman sekarang, penggunaan telefon pintar sebagai pengisi masa lapang (serta penyebab kerja anda tidak siap) memang semakin tinggi penggunaannya. Tidak kira melibatkan generasi muda, dewasa atau tua. Ramai orang khusyuk menatap apa sahaja yang disajikan di skrin termasuklah kanak-kanak, yang tampak lebih riang apabila dapat menghadap telefon berbanding main di luar rumah.

Apatah lagi sehinggakan mereka tidak lagi mengenali dan meminati tradisi permainan tradisional masyarakat kita satu masa dahulu, yang patut diteruskan. Berikut adalah enam permainan tradisional orang kita yang harus diwarskan kepada generasi masa akan datang.

1. Permainan Gasing

Screenshot 2023 06 06 122339

Sakit hati sebenarnya melihat kanak-kanak sekarang berasa bangga mereka ‘juara Beyblade’, kerana permainan itu langsung tidak memerlukan kemahiran apa-apa.

Jauh berbeza dengan gasing yang bukan sahaja memerlukan kemahiran tinggi, malahan turut sama memerlukan kesabaran tahap maksima bagi memainkannya. Memang stres rasanya bila dah lilit gasing cantik-cantik, tapi bila kita baling-putarannya sendu sahaja.

Tetapi sekali berpusing, kita punya gembira tu tak ingat dunia, dia punya ketawa; sebelum kawan pangkah gasing kita sampai terbelah dua. Agak aneh melihat gasing tradisional zaman sekarang diperbuat daripada plastik walaupun bentuknya masih sama dengan rupa gasing yang asal.

2. Bermain Guli

Screenshot 2023 06 06 122356

Terasa marah jugalah tengok guli sekarang dijual pada harga yang tidak masuk akal. Satu plastik sahaja ada 5 biji di dalamnya mampu mencecah RM2 sebungkus. Kualitinya juga agak ‘lembut’ berbanding guli yang dahulu.

Main guli memang seronok, apatah lagi bila geng kita ramai. Bila tiba musim main guli, semua orang akan ada guli kegemaran dia atau ‘king’ yang digeruni dek kekerasannya memecahkan guli.

3. Bermain Penutup Botol / Ceper / Tudung Menet

Screenshot 2023 06 06 122411

Main penutup botol ibarat main PUBG zaman dahulu. Siapa hebat, setiap jentikannya akan mengena walau sekompleks mana sekalipun susunannya. Apatah lagi bila kena buat jentikan melompat yang cukup ‘tricky’ untuk disempurnakan.

Selain belajar menjentik, main ceper ini turut sama melatih kita mengingat markah yang diperolehi. Ada kalanya markah yang diperolehi berubah-ubah secara tidak tentu pasal hanya kerana mahu mengaku dia juara ceper hari itu.

4. Permainan Batu Seremban

Screenshot 2023 06 06 122426

Batu seremban adalah sejenis permainan yang beberapa orang gagal mainkan sejak kecil. Susah betul nak lambungkan batu dan ‘sapu’ batu lain yang ada atas lantai.

Kini bila dah dewasa, lebih selesalah untuk bermain benda alah ini, memang batu seremban dimainkan majoritinya oleh golongan wanita.

Bila anda duduk dan tengok seorang yang cekap main permainan ini, memang anda akan berasa kagum dengan koordinasi mata dan tangan dia. Susah! Lagi suah daripada ‘Fruit Ninja’.

5. Permainan Congkak

Screenshot 2023 06 06 122440

Congkak ini pun majoritinya diminati oleh kanak-kanak perempuan. Diantara semua permainan, congkaklah yang memerlukan peralatan yang agak mahal tetapi bagi yang tidak mampu ketika dahulu ada juga yang mengorek lubang di tanah untuk bermain. Agak kotor tapi ketika itu kanak-kanak tidak akan memikirkan apa-apa pun dan hanya tahu untuk bermain sahaja.

Siapa cekap main congkak, otak dia mesti ligat buat kira-kira kerana congkak ini melatih kemahiran aritmetik seseorang dengan sangat berkesan.

6. Bermain Layang-Layang

Screenshot 2023 06 06 122455

Era sekarang, jarang melihat kanak-kanak bermain layang-layang walaupun layang-layang tersebut ada dijual di kedai RM2 dengan harga RM2,10.

Adakah kanak-kanak sekarang tidak lagi mampu bersabar untuk menjalani proses menaikkan layang-layang, atau mereka tidak lagi mampu nampak tujuan main layang-layang.

“Itu sahaja? Dia terbang kemudian nak buat apa lagi?”

Agaknya itulah yang bermain difikiran kanak-kanak sekiranya mereka diberikan pilihan telefon atau layang-layang.

Main layang-layang ini memang melatih kesabaran seseorang, daripada mula kita buat layang-layang sendiri dan cuba menerbangkannya sebelum berjaya selepas beberapa percubaan. Dah naik tinggi, tali putus dan layang-layang kita tadi pun sangkut di atas pokok atau rumah.

Kita pun balik dengan wajah sedih buat lagi satu keesokkannya. Perasaan tenang dapat melihat layang-layang buatan kita sendiri berada berpuluh kaki atas udara dengan stabil, sukar untuk digambarkan nikmatnya.

PERHATIAN: Pihak Daebaking tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak Daebaking juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Jangan lupa komen yang baik baik sahaja.

Sumber: Iluminasi