Home Thailand Drama Cinta dan Masa, 10 Drama Thailand Tentang Pengembaraan Merentas Zaman

Cinta dan Masa, 10 Drama Thailand Tentang Pengembaraan Merentas Zaman

0

Thailand merupakan antara negara yang memiliki sejarah panjang dan kaya dengan warisan kebudayaan.

Negara yang digelar Negeri Gajah Putih ini pernah mempunyai beberapa kerajaan besar seperti Kerajaan Sukhothai, Ayutthaya, Thonburi, dan Rattanakosin. Maka tidak hairanlah industri perfileman Thailand sering menghasilkan drama fiksyen sejarah yang berlatar belakangkan era-era kerajaan tersebut.

Untuk menjadikan jalan ceritanya tidak membosankan, drama sejarah Thailand kerap digabungkan dengan pelbagai tema seperti percintaan, misteri, seram, malah ada yang menampilkan elemen pengembaraan merentas masa (time travel).

Berikut ialah beberapa drama sejarah Thailand terbaik yang menggabungkan kisah cinta dan perjalanan ke masa silam.

1. Buang Banjathorn (2017)

Thailand

Akibat patah hati dan kecewa dalam percintaan, Praneuan (Mai Davika) pergi ke rumah pusaka peninggalan ayahnya. Di sana, dia menemui katil ajaib yang membawanya kembali ke masa lalu. Di zaman silam itu, Praneuan bertemu Laoperng (Mario Maurer) dan jatuh cinta kepadanya. Namun segalanya menjadi rumit apabila bekas suaminya yang curang ingin kembali kepadanya.

2. Love Destiny (2018)

Drama thailand

Berlatar di era Kerajaan Ayutthaya, drama ini mengisahkan Kadesurang (Bella Ranee), seorang ahli arkeologi yang terperangkap dalam tubuh wanita dari masa lalu bernama Karakade. Karakade dahulu seorang wanita sombong dan kejam, dibenci oleh tunangnya Date (Pope Thanavat). Namun apabila roh Kadesurang mengambil alih tubuhnya, sifatnya berubah menjadi baik, menyebabkan kekeliruan di sekelilingnya. Gabungan sejarah, komedi dan percintaan menjadikan drama ini antara yang paling popular dalam genre sejarah Thailand.

3. Likit Haeng Jan (2019)

IMG 0875

Pada malam bulan penuh, dua wanita dari dunia berbeza yang memiliki wajah serupa bertukar tempat. Duangkaew, gadis tradisional dari masa lalu, dan Opal, gadis moden yang lantang dan berani, saling menukar tubuh. Pertukaran ini mengubah nasib orang di dunia masing-masing dan membawa mesej tentang perbezaan nilai dan kehidupan antara dua zaman.

4. Kadee Rak Kham Pop (2020)

33476379 dc4c 4a94 9241 3e213e28fa45

Puncha (Tao Sattaphong), seorang penyiasat, menuduh Dunchaya (Fern Nopjira) sebagai suspek kes racun. Dunchaya melarikan diri, dan ketika dikejar Puncha, satu kejadian aneh berlaku, mereka terbawa ke tahun 1913. Di sana, mereka bukan sahaja perlu menyesuaikan diri, tetapi turut terperangkap dalam kes pembunuhan misteri yang menguji akal dan perasaan mereka.

5. Ruk Laek Pop (2020)

dba5daae 7c0d 432c 8136 8a58c6b7a716

Pete (Film Thanapat), seorang pempengaruh media sosial, secara tidak sengaja terlempar ke masa silam dan bertemu dengan datuk moyangnya yang wajahnya seiras dirinya. Namun keadaan menjadi huru-hara apabila dia terlibat dalam kisah cinta datuk moyangnya sendiri. Jika sejarah berubah, kewujudannya juga bakal lenyap.

6. From Chao Phraya to Irawadee (2022)

IMG 0874

Nutchanart (Tangtang Nutrugee), seorang pembantu tukang masak di hotel mewah di Myanmar, menemui sebuah buku tarian purba Burma. Ketika meniru gerakan tarian dalam buku itu, dia terlempar ke masa 200 tahun lalu sebagai Nang Pin, seorang penari di era Kerajaan Inwa. Di sana dia berkenalan dengan puteri Ayutthaya dan pelakon teater terkenal, Sasa (Daung). Kisah ini menggabungkan budaya, sejarah dan percintaan dua bangsa.

7. Royal Doctor (2023)

44dcf48f 5c72 4961 9015 b99c2a9793e2

Bua (Kimberley Anne), pelajar perubatan moden, secara misteri kembali ke zaman Pemerintahan Raja Rama III, era kegemilangan perubatan tradisional Thailand. Dia berhadapan cabaran apabila ilmu moden yang dibawanya bertentangan dengan kepercayaan lama. Dalam masa yang sama, dia berkenalan dengan Thong-On (Mario Maurer), seorang tabib muda yang bijak dan berbakti.

8. Love Destiny Musim 2 (2023)

IMG 0876

Sambungan kepada Love Destiny (2018) ini menumpukan kepada Phutthan (Bella Ranee) dari abad ke-21 yang menemui manuskrip kuno dan kembali ke zaman Ayutthaya abad ke-17. Di sana, dia bertemu Rit (Pope Thanavat), anak kepada Karakade. Dalam perjalanan itu, dia cuba memahami sebab dirinya terus terikat dalam kitaran reinkarnasi yang berulang.

9. Blondie in an Ancient Time (2024)

ca325143 d8cd 4aa5 b441 f734efae49f8

Pae (Minnie Phantira), penjual dalam talian berambut perang, berdoa kepada Dewa Yingrak dan tiba-tiba kembali ke zaman pemerintahan Raja Chulalongkorn (Rama V). Dia menjadi hamba di rumah bangsawan kejam, namun mujurlah dia ditemani Kla (Oab Oabnithi), seorang hamba muda yang baik hati. Pae mendapati telefonnya masih boleh disambung ke internet dan cuba mencari jalan pulang ke masa kini. Namun, untuk kembali, dia perlu membantu Kla menemukan cinta sejatinya.

10. Good Heavens! I’m Goose, Not a Swan (2025)

3049618e 3787 4315 b054 97aab5bf91b9

Drama Thailand terbaharu ini mengisahkan Nithra (Bow Maylada) yang terperangkap dalam tubuh Boonta, seorang gadis rumah pelacuran di era Raja Rama III. Dalam usahanya menyelamatkan diri, dia terlibat dalam kes pembunuhan misteri dan bertemu Chai (Pon Nawasch), pegawai polis istana. Gabungan unsur jenayah, sejarah dan fantasi menjadikan drama ini antara yang paling dinanti tahun 2025.

Bagi peminat kisah fantasi, sejarah dan percintaan, 10 drama Thailand ini wajar dimasukkan ke dalam senarai tontonan. Setiap satu membawa kisah berbeza, dari tragedi cinta masa silam hingga perjuangan mencari jalan pulang ke masa kini.

Jadi, drama Thailand mana satu dari yang di atas yang ingin anda tonton dahulu?

Baca lagi: 6 Drama Perubatan Thailand Yang Menyentuh Hati, Penuh Emosi, Cabaran & Percintaan Tak Terduga
Baca juga: 9 Drama Seram Thailand Menarik, Penuh Kisah Misteri, Dendam dan Dunia Ghaib