Firma Guaman Yullim yang tertutup rapat. Penampilannya jauh daripada kemas, baju kemeja terkeluar dari kot hitam yang dipakai, kasut kotor dengan stoking yang koyak, dan terdapat kesan kotoran samar pada bahagian dadanya. Suaranya yang kuat sewaktu meminta maaf kerana lewat tiba telah menarik perhatian para pegawai tinggi firma tersebut yang ketika itu sedang menilai calon-calon peguam muda.
Melalui babak pertama drama Korea Beyond the Bar (2025), penonton sudah dapat mengagak personaliti dan cara watak Kang Hyo Min digambarkan, watak yang dilakonkan oleh Jung Chae Yeon. Sikapnya yang serabut dan lewat pula hadir ke sesi penting telah mencuit perhatian Yoon Seok Hoon, seorang peguam yang amat tegas dan sangat mementingkan disiplin, dilakonkan oleh Lee Jin Uk.
Namun siapa sangka, tanggapan pertama yang buruk terhadap Kang Hyo Min ternyata tidak menggambarkan kemampuannya yang sebenar. Malah, Yoon Seok Hoon beberapa kali memuji kecekapan Kang Hyo Min dalam menyelesaikan kes.
Kalau anda masih teragak-agak sama ada mahu menonton “Beyond The Bar” ini atau tidak, teruskan membaca ulasan ini dahulu. Tapi hati-hati, ada sedikit spoiler ya!
1. Gandingan dua karakter yang langsung tak sebulu, tapi tetap serasi!

Sejak saat pertama mereka dipertemukan, Yoon Seok Hoon sudah menunjukkan ketidaksenangannya terhadap Kang Hyo Min. Jelas sekali, interaksi antara mereka ibarat ‘kucing dan anjing’, sentiasa bercanggah dan berbeza pendapat.
Namun, di sebalik ketegangan itu, penonton mengakui bahawa keserasian antara Lee Jin Uk dan Jung Chae Yeon sebagai rakan sekerja sangat menjadi. Watak Kang Hyo Min digambarkan sebagai seorang yang bijak, kreatif, tetapi terburu-buru dan sering bertindak tanpa berfikir panjang. Manakala Yoon Seok Hoon pula sangat sistematik, mementingkan keberkesanan, dan tidak bertolak ansur dengan kecuaian.
Apa akan jadi kalau dua insan ini tiba-tiba terjerat dalam hubungan cinta di pertengahan cerita? Sukar dibayangkan, namun pastinya menarik untuk diikuti. Lebih-lebih lagi apabila drama “Beyond The Bar” ini turut menyentuh soal jurang komunikasi antara dua generasi, Generasi Milenial dan Gen Z, di tempat kerja. Bukan sahaja memberi hiburan, ia turut menyelitkan elemen yang relevan dengan dunia sebenar.
2. Setiap kes yang dibawa ada kisah tersendiri, kadangkala menyentuh jiwa

Walaupun Beyond the Bar berlatar belakangkan dunia guaman, ia bukan sebuah drama yang sarat dengan ketegangan atau permainan kuasa seperti drama undang-undang yang lain. Sebaliknya, setiap kes yang ditampilkan lebih bersifat peribadi, menyentuh emosi dan memberikan pengajaran yang mendalam.
Yang menariknya, kes-kes yang dibawa dalam drama ini juga agak luar biasa dan tidak klise. Ia membuatkan penonton teruja, dan dalam masa yang sama, turut tersentuh hati dengan jalan ceritanya. Kebijaksanaan serta cara kreatif yang digunakan oleh Yoon Seok Hoon dan Kang Hyo Min untuk memenangi kes seringkali di luar jangkaan. Setiap episod terasa seperti membuka helaian baru dalam diari kehidupan manusia yang penuh warna-warni.
3. Tidak berat, tidak memeningkan, sesuai ditonton ketika sedang penat atau stress

Berbeza dengan banyak drama undang-undang lain yang sering menyajikan plot rumit dan kes yang memerlukan penonton berfikir secara mendalam, Beyond the Bar tampil dengan jalan cerita yang lebih mudah difahami. Ia ringan, menghiburkan, dan amat sesuai dijadikan tontonan sewaktu anda ingin berehat daripada tekanan seharian.
Dengan durasi kira-kira 60 minit setiap episod, alur ceritanya tidak terlalu pantas, tetapi cukup padat untuk membuatkan penonton kekal tertarik. Walaupun tidak dipasarkan sebagai drama romantik, ramai penonton diam-diam berharap agar ada sekurang-kurangnya sedikit unsur cinta yang berkembang antara watak-watak utama.
Drama Undang-Undang Yang Boleh Buat Anda Tersenyum
Secara keseluruhannya, Beyond the Bar (2025) ialah drama yang sesuai untuk anda yang mencari tontonan undang-undang yang ringan, sarat dengan elemen kemanusiaan, dan tidak membebankan fikiran. Ia tidak hanya menyampaikan kes-kes menarik, tetapi turut memberikan perspektif baharu tentang nilai empati dalam dunia profesional.
Anda boleh menonton “Beyond The Bar” setiap hari Sabtu dan Ahad di Netflix. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan bagaimana dua personaliti yang bertentangan ini berganding bahu menyelesaikan kes demi kes, sambil mencipta momen yang mungkin akan kekal dalam hati anda.








