Siri Netflix sentiasa berjaya menarik puluhan hingga ratusan juta penonton setiap kali ditayangkan. Salah satu bentuk kandungan mereka yang mendapat perhatian adalah limited series, iaitu siri yang dihasilkan secara terhad.
Siri asli terhad Netflix biasanya hanya mempunyai satu musim sahaja. Kebanyakan daripadanya terdiri daripada empat hingga sepuluh episod dengan durasi kira-kira satu jam bagi setiap episod.
Ramai yang tidak tahu bahawa sebahagian besar daripada siri ini sebenarnya diilhamkan daripada kisah benar. Mungkin inilah sebabnya kisah-kisah ini begitu menyentuh dan melekat di hati para penonton. Adakah anda salah seorang daripadanya?
1. Unbelievable

Siri Netflix ini diadaptasi daripada artikel “An Unbelievable Story of Rape” oleh T. Christian Miller dan Ken Armstrong. Ia mengisahkan Marie Adler (lakonan Kaitlyn Dever), seorang remaja yang melaporkan dirinya menjadi mangsa rogol. Malangnya, ibu bapa angkat dan pihak polis tidak mempercayai laporan tersebut.
Marie dituduh membuat laporan palsu. Namun, dua detektif wanita, Karen Duvall (Merritt Wever) dan Grace Rasmussen (Toni Collette), akhirnya membongkar kebenaran dan memburu pelaku yang terlibat dalam jenayah rogol bersiri.
Baca juga: Siri Butterfly 13 Ogos Ini: Rahsia Lama Terbongkar, Anak Perisik Jumpa Bapa Sendiri Dalam Misi Pemburuan
2. When They See Us

Berdasarkan kejadian benar, siri Netflix ini memaparkan kisah lima remaja berkulit hitam, Kevin Richardson, Antron McCray, Yusef Salaam, Korey Wise dan Raymond Santana, yang dituduh memperkosa seorang wanita kulit putih di Central Park, New York pada April 1989.
Mereka ditahan tanpa bukti kukuh hanya kerana berada di taman pada waktu kejadian. Akibatnya, mereka dipaksa membuat pengakuan palsu dan kes ini meninggalkan kesan mendalam kepada sistem keadilan Amerika. Mereka dikenali sebagai The Central Park Five.
Baca juga: 4 Siri Netflix Akan Datang dari Negara Sakura Yang Harus Anda Nantikan
3. Stateless

Mengangkat kisah benar yang berlaku di Australia, Stateless mengisahkan empat individu berlatar belakang berbeza, seorang pramugari, seorang pelarian Afghanistan, seorang bapa muda dan seorang pegawai kerajaan, yang terperangkap dalam pusat tahanan imigran.
Dengan hanya enam episod, siri Netflix ini memaparkan kilas balik yang merungkai sebab di sebalik penahanan mereka dan bagaimana sistem imigresen yang tidak berperikemanusiaan meragut kebebasan mereka.
Baca lagi: 7 Drama Korea Balas Dendam Terbaik di Netflix Selepas Mercy for None, Sarat Emosi, Sarat Aksi
4. Self Made: Inspired by the Life of Madam C.J. Walker

Siri ini diadaptasi daripada buku “On Her Own Ground: The Life and Times of Madam C. J. Walker” oleh cicitnya, A’Lelia Bundles.
Dibintangi Octavia Spencer, ia mengisahkan Madam C.J. Walker, seorang wanita keturunan Afrika-Amerika yang bermula sebagai pencuci pakaian dan akhirnya menjadi jutawan wanita pertama di Amerika hasil empayar perniagaan kecantikannya.
Kisah ini juga menyorot perjuangan beliau menentang diskriminasi kaum dan gender selepas era perhambaan.
Baca lagi: 6 Siri Netflix Menceritakan Tentang Perniagaan Keluarga, Huru-Hara dan Penuh Cabaran
5. Unorthodox

Berinspirasi daripada memoir Deborah Feldman berjudul Unorthodox: The Scandalous Rejection of My Hasidic Roots, siri Netflix ini mengisahkan Esty Shapiro (lakonan Shira Haas), seorang gadis berusia 19 tahun yang hidup dalam komuniti Yahudi ultra-ortodoks Satmar di Brooklyn, New York.
Esty dipaksa berkahwin dalam usia muda dan hidup dalam masyarakat yang melarang wanita mendapat pendidikan. Merasa terkongkong, Esty melarikan diri ke Berlin untuk mencari kebebasan.
6. The Billion Dollar Code

Berlatar di Berlin pada era 1990-an dan 2017, siri Netflix ini menceritakan tentang dua pelopor teknologi Jerman, Carsten Schlüter dan Juri Müller, yang berusaha menuntut hak cipta terhadap idea algoritma yang kemudiannya digunakan Google Earth.
Ia adalah adaptasi fiksyen daripada kisah benar Joachim Sauter dan syarikatnya ART+COM Studios, yang pernah menyaman Google kerana didakwa mencuri projek mereka, Terra Vision. Walaupun watak-watak telah diubah, kisah ini membawa tema pengkhianatan dan perjuangan hak cipta dalam dunia teknologi.
7. Maid

Diadaptasi daripada memoir Maid: Hard Work, Low Pay, and a Mother’s Will to Survive oleh Stephanie Land, siri ini mengangkat isu kemiskinan dan penderaan rumah tangga.
Ia menceritakan tentang Alex Russel (lakonan Margaret Qualley), seorang ibu tunggal yang melarikan diri daripada teman lelakinya yang kasar dan berusaha membina kehidupan baru untuk dirinya dan anak perempuannya yang masih kecil.
Dalam keadaan tiada rumah dan tiada pekerjaan, dia akhirnya menjadi tukang cuci rumah sambil memperjuangkan hak dan masa depan anaknya.
Ketujuh-tujuh siri terhad ini bukan sahaja menghiburkan, malah membuka mata penonton terhadap pelbagai isu sosial, diskriminasi, dan perjuangan hidup. Mana satu siri yang paling menyentuh hati anda? Sudahkah anda menonton semuanya?








