Netflix akhirnya memberi lampu hijau kepada penghasilan siri aksi nyata berdasarkan permainan video terkenal Assassin’s Creed. Roberto Patino (Westworld, Sons of Anarchy) dan David Wiener (Halo, The Killing) telah dipilih sebagai ketua penerbit (showrunner) dan penerbit eksekutif bagi projek ini.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, siri ini akan menampilkan konflik rahsia antara dua puak: satu yang mahu menguasai masa depan manusia melalui manipulasi, manakala satu lagi berjuang mempertahankan kebebasan kehendak. Jalan ceritanya bakal mengikuti watak-watak yang terlibat dalam pelbagai peristiwa bersejarah besar, dalam pertarungan yang akan menentukan arah tuju tamadun manusia.

Pengumuman penting ini hadir hampir lima tahun selepas Ubisoft dan Netflix mula bekerjasama untuk membangunkan kandungan berasaskan Assassin’s Creed.
“Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan Roberto, David, dan pasukan Netflix bagi menghidupkan francais yang amat kami sayangi ini dalam bentuk siri,” ujar Margaret Boykin, penerbit eksekutif merangkap ketua kandungan di Ubisoft Film & Television, pada Sabtu (19 Julai 2025).
“Kami berharap dapat membawa pengalaman yang benar-benar mewakili inti Assassin’s Creed, memperkenalkan dunia-dunianya yang ikonik dan tema-tema abadi kepada penonton baharu di seluruh dunia,” tambah beliau.

Peter Friedlander, Naib Presiden Netflix turut memberi ulasan:
“Sewaktu kami pertama kali mengumumkan kerjasama dengan Ubisoft pada 2020, kami menyasarkan sesuatu yang besar: menghidupkan dunia Assassin’s Creed yang luas dan kaya dengan cara yang baharu dan berani. Kini, selepas bertahun-tahun kolaborasi yang mendalam, sangat mengagumkan melihat sejauh mana visi ini telah berkembang.”
“Di bawah arahan Roberto Patino dan David Wiener, pasukan telah merangka sebuah pengembaraan epik yang bukan sahaja menghormati warisan Assassin’s Creed, malah turut menjemput peminat lama dan penonton baharu untuk menyelami pengalaman menjadi sebahagian daripada Brotherhood dengan cara yang belum pernah wujud sebelum ini.”
Siri aksi nyata ini hadir hampir sedekad selepas usaha 20th Century Fox dan Ubisoft mengadaptasi francais ini ke layar perak. Filem Assassin’s Creed yang dibintangi Michael Fassbender sebagai Callum “Cal” Lynch, keturunan Aguilar de Nerha, anggota Brotherhood semasa era Inkuisisi Sepanyol pada abad ke-15, ditayangkan pada 2016.
Filem tersebut meraih kutipan global sekitar AS$240 juta berbanding bajet sebanyak AS$125 juta. Sekuelnya pernah dirancang oleh Fox, namun akhirnya dibatalkan.

Bagi Roberto Patino dan David Wiener, projek siri ini bukan sekadar adaptasi permainan video. Kedua-duanya telah mengikuti Assassin’s Creed sejak siri pertamanya pada 2007, dan kini mereka berasa sudah tiba masa terbaik untuk menerokai dunia Assassin’s Creed yang begitu luas dan penuh lapisan.
Mereka tidak hanya mahu mengetengahkan aksi parkour atau konflik antara puak, tetapi juga membawa kisah yang menyentuh inti pengalaman manusia, termasuk pencarian makna, identiti, takdir dan pegangan hidup. Semua ini akan disampaikan dalam naratif yang turut menyentuh isu kuasa, kekerasan, ketamakan dan dendam.
Namun, di sebalik semua elemen itu, Patino dan Wiener ingin menekankan nilai hubungan sesama manusia yang merentasi zaman dan budaya. Dengan sokongan penuh daripada Ubisoft serta pasukan kreatif Netflix, mereka bertekad menghasilkan tontonan yang bukan sahaja menggembirakan peminat tegar Assassin’s Creed, tetapi juga membuka pintu kepada penonton yang belum pernah mengenali dunia francais ini.
Siri live-action ini bakal menyusuli kejayaan siri adaptasi permainan video lain di Netflix seperti Castlevania, Cyberpunk: Edgerunners, serta Splinter Cell: Deathwatch yang akan datang. Tidak ketinggalan, Arcane, siri animasi berdasarkan League of Legends oleh Riot Games, yang meraih kejayaan besar dari sudut kritikan mahupun sambutan penonton, serta menggondol anugerah Annie dan Emmy.








