Home Anime Tougen Anki, Pewaris Darah Terkutuk yang Menggegarkan Dunia Anime

Tougen Anki, Pewaris Darah Terkutuk yang Menggegarkan Dunia Anime

0

Dua episod pertama Tougen Anki telah pun ditayangkan secara rasmi pada 11 dan 18 Julai lalu dan kini boleh ditonton oleh para peminat melalui pelbagai platform penstriman Netflix, iQIYI dan Crunchyroll. Anime ini diterbitkan oleh Studio Hibari.

Debut Tougen Anki memberikan permulaan yang cukup meyakinkan dan berjaya membuat penonton tidak sabar menantikan episod seterusnya. Namun begitu, harus diakui bahawa premis awal Tougen Anki masih belum mempersembahkan sesuatu yang benar-benar baharu.

Jalan ceritanya memaparkan beberapa trope yang cukup biasa dalam genre shounen, menyebabkan ramai penonton segera membandingkannya dengan anime Blue Exorcist. Sejak diumumkan, Tougen Anki sememangnya sering dikaitkan dengan Blue Exorcist, dan episod pertamanya seolah-olah mengukuhkan lagi persamaan tersebut.

Kedua-dua anime ini mengetengahkan watak utama yang mempunyai darah iblis dalam diri mereka. Shiki Ichinose, seperti juga Rin Okumura, mewarisi kuasa daripada keturunan yang dianggap jahat, namun memilih untuk menggunakan kekuatan itu bagi menegakkan kebenaran. Kedua-duanya turut memaparkan konflik tersembunyi antara dua puak. Jika Blue Exorcist mengisahkan pertempuran antara pengusir syaitan dan iblis, maka Tougen Anki pula memperlihatkan pertarungan antara manusia berdarah Oni dan kelompok Momotarou.

Selain itu, kedua-dua siri ini juga menggunakan latar akademi sebagai tempat latihan, di mana para pelajar diasah dari segi kemahiran dan kekuatan mereka. Disebabkan persamaan ini, ramai yang menyebut Tougen Anki sebagai Blue Exorcist generasi baharu. Namun begitu, walaupun konsep asasnya serupa, hala tuju penceritaan kedua-duanya jelas berbeza.

Tougen anki

Dari sudut produksi, ketika Studio Hibari diumumkan sebagai penerbit Tougen Anki, ramai peminat berasa ragu-ragu sama ada studio ini mampu melaksanakan babak aksi dengan baik. Namun begitu, menerusi episod pertamanya, terbukti Studio Hibari mengambil pendekatan menggunakan CGI, dan secara mengejutkan, hasilnya sangat memuaskan.

Kebiasaannya, penggunaan CGI dalam anime sering mengundang kritikan, tetapi dalam kes Tougen Anki, pendekatan tersebut terasa serasi, khususnya dalam adegan transformasi Shiki ke bentuk Oni-nya. Dari segi reka bentuk watak, para peminat tidak perlu risau. Studio Hibari mengekalkan reka bentuk asal watak berdasarkan versi manga. Walaupun sesetengah rekaan kelihatan biasa, penampilan Shiki dalam bentuk Oni ternyata sangat mengagumkan.

IMG 2554

Tougen Anki ialah siri anime mingguan terbaharu yang diadaptasi daripada manga bertajuk Tougen Anki: Legend of the Cursed Blood. Manga ini ditulis dan dilukis oleh Yura Urushibara, dan mula diterbitkan dalam majalah Weekly Shonen Champion terbitan Akita Shoten pada 11 Jun 2020.

Kisahnya berpusat pada pertempuran antara darah Momotarou dan Oni, dua keturunan yang telah lama bermusuhan secara sengit. Mereka yang mewarisi darah Oni sering dianggap liar dan tidak terkawal, manakala golongan Momotarou bertanggungjawab melindungi dunia manusia daripada ancaman Oni yang ganas.

IMG 2556 IMG 2557

Shiki Ichinose ialah seorang remaja nakal yang bangga dikeluarkan dari sekolah, tanpa mengetahui bahawa darah Oni mengalir dalam dirinya. Beliau tinggal bersama bapa angkatnya, Tsuyoshi, yang selama ini menyembunyikan asal-usul sebenar Shiki.

Namun pada suatu hari, seorang Momotarou datang menyerang dan memaksa Tsuyoshi mendedahkan segala rahsia demi menyelamatkan anak angkatnya. Dalam saat-saat terakhir sebelum menghembuskan nafas, Tsuyoshi mengaku bahawa dirinya ialah Momotarou, manakala Shiki pula berdarah Oni.

IMG 2555

Pengorbanan tersebut mencetuskan kebangkitan darah Oni dalam diri Shiki, mengubahnya menjadi makhluk buas yang dipenuhi amarah serta dahagakan pembalasan. Namun sebelum sempat Shiki menuntut balas, dia ditemukan dengan Naito Mudano, seorang guru dari Akademi Rakshasa, sebuah sekolah khas untuk golongan muda berdarah Oni mempelajari cara mengawal kekuatan mereka.

71344de9 39a9 497a 8561 d9beb9b40fef

Kini, Shiki harus menundukkan sisi gelap dalam dirinya dan berdepan dengan takdir sebagai pewaris darah terkutuk.

Jangan lupa saksikan episod seterusnya anime Taugen Anki tayangan setiap hari Jumaat di Netflix, iQIYI dan Crunchyroll!
Baca lagi: 5 Raksasa Baharu Gegar Kaiju No 8 Musim Kedua, Ancaman Melebihi Bayangan
Baca juga: 7 Anime Pedang Paling Brutal dan Beremosi, Alternatif Hebat Selain Samurai 7