Pelakon Korea, Choo Young Woo, muncul sebagai tetamu jemputan dalam rancangan You Quiz on the Block episod ke-298 yang disiarkan pada 18 Jun 2024. Di hadapan dua pengacara, Yoo Jae Suk dan Jo Se Ho, beliau berkongsi kisah perjuangan hidup yang jarang diketahui umum. Kini dikenali sebagai pemenang Pelakon Baharu Terbaik di Anugerah Seni Baeksang, kejayaan yang digenggamnya sebenarnya dibayar dengan air mata dan pelbagai kegagalan.
Dalam program tersebut, beliau menceritakan pengalaman pahitnya sebelum bergelar pelakon yang semakin meningkat popularitinya kini. Semua dilalui dengan tekad yang kental, walaupun pernah berasa hancur dan hampir berputus asa. Berikut ialah secebis perjalanan hidup Choo Young Woo.
1. Sudah Menarik Perhatian JYP Sebelum Popular

Dipetik daripada Star News, Choo Young Woo mengimbas kembali detik enam tahun lalu apabila beliau secara tidak sengaja dirakam dalam rancangan You Quiz on the Block. Ketika itu, beliau masih merupakan pelajar di Universiti Seni Kebangsaan Korea (Han Ye Jong). Meskipun hanya muncul selama 33 saat dalam salah satu episod, pandangannya yang tajam serta suaranya yang dalam berjaya mencuri perhatian ramai.
Choo Young Woo mendedahkan bahawa ketika itu, beliau sebenarnya hanya keluar membeli snek. Katanya, “Saya cuma beli kudapan berprotein sebab lapar waktu kuliah, tiba-tiba diajak masuk penggambaran.”
Menariknya, beliau pernah ditawarkan tempat sebagai pelatih idola oleh agensi hiburan JYP, namun menolaknya demi menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran. “Ketika itu dunia uji bakat sangat asing bagi saya. Fokus saya hanya belajar,” katanya. Malah semasa di sekolah menengah, beliau pernah menjadi guru tuisyen sejarah Korea kepada anak-anak kenalan ibunya kerana memiliki sijil kelayakan rasmi.
Minat untuk menjadi pelakon timbul semasa sesi kaunseling ketika beliau di tingkatan dua. “Saya sedar, belajar sekadar untuk mendapatkan markah. Rasa sesak apabila tahu akan sentiasa ada orang yang lebih bijak,” katanya. Demi mengejar impian, beliau berpindah ke Seoul ketika berada di tingkatan tiga, meskipun rasa rendah diri muncul apabila melihat rakan-rakan lain sudah mahir dalam akrobatik dan nyanyian muzikal.
2. Gagal Menjadi Mahasiswa Sejong Akibat Salah Faham Tarikh Bayaran

Dalam laporan OSEN, Choo Young Woo mengakui pernah kehilangan peluang menuntut di Universiti Sejong hanya kerana tidak mengetahui bahawa tarikh bayaran yuran telah diawalkan. “Ketika itu saya bekerja sambilan di sebuah kedai berhampiran butik jenama mewah di Jamsil. Tiba-tiba saya dihubungi dan dimaklumkan bahawa penerimaan saya dibatalkan,” imbasnya. Beliau terus pulang ke rumah dalam keadaan tergesa-gesa dengan lencana nama dan fon telinga masih terpasang.
Lebih menyedihkan, beliau sudah diterima sebagai pelajar tetap dan sempat menjalinkan hubungan baik dengan rakan-rakan seangkatan dan juga pensyarah. “Saya tidak tahu bahawa tarikh akhir bayaran telah diubah,” katanya. Satu-satunya halaman pengumuman mengenai perkara itu dipercayai terlepas daripada perhatian beliau.
Perasaannya benar-benar luluh kerana beliau telah berusaha keras selama setahun penuh. “Itulah impian pertama saya, dan segalanya hilang begitu sahaja,” katanya. Walaupun akhirnya diterima semula di Sejong, beliau memilih untuk menyambung pengajian di Universiti Seni Kebangsaan Korea kerana berasa lebih serasi.
3. Gagal Dalam 100 Uji Bakat, Namun Tidak Pernah Menyerah

Menurut OSEN, selepas berjaya memasuki Universiti Seni Kebangsaan Korea, Choo Young Woo mula giat menyertai uji bakat bagi pelbagai projek lakonan. “Saya semak semula aplikasi penyimpanan fail saya, ada kira-kira 200 hingga 300 skrip pendek,” dedahnya. Beliau menganggarkan sudah menyertai sekurang-kurangnya 100 sesi pemilihan antara tahun 2021 hingga 2022, semuanya berakhir dengan kegagalan.
Beliau turut mencuba nasib dalam drama-drama besar seperti Under the Queen’s Umbrella, Penthouse, Alchemy of Souls, D.P., dan Black Knight, namun tiada satu pun yang berjaya. “Saya dah pergi hampir ke semua uji bakat, tapi komen yang saya terima sangat menyakitkan,” katanya. Antara komen yang diingati ialah, “Betulkah awak lulusan Han Ye Jong?” dan “Lakonan awak sangat teruk.”
Ayahnya juga pernah memberi peringatan: “Kita bukan dari keluarga berada, kalau tak jadi pelakon, kamu kena cari kerja.” Namun Choo Young Woo tetap dengan pendiriannya. “Saya akan berlakon sampai mati, walaupun tak dapat hasilkan duit sekalipun,” tegasnya. Akhirnya beliau bersyukur kerana segala kesukaran itu menjadikannya lebih kuat.
4. Kuruskan Badan 22 kg Hanya Dengan Kacang

Dalam laporan Daily Sport, Choo Young Woo mengaku pernah berasa amat rendah diri apabila mula menyertai pusat latihan lakonan. “Semua orang nampak hebat, ada yang boleh buat akrobatik, ada yang boleh menyanyi. Saya rasa saya seorang saja yang tiada bakat,” luahnya. Beliau sering menangis dan menghabiskan masa hampir setiap hari di studio latihan, datang paling awal dan pulang paling lewat.
Demi mengejar impian, beliau turut menjalani diet ekstrem yang menguji fizikalnya. “Sehari saya cuma makan sebungkus kacang, tak ada benda lain,” katanya. Beliau menurunkan berat badan daripada 86 kg kepada 64 kg, sambil terus berlatih hampir sepanjang masa. “Dari celik mata sampai nak tidur, semuanya tentang latihan.”
Kisah perjuangan Choo Young Woo membuktikan bahawa kecekalan boleh lahir daripada luka, dan kejayaan tidak semestinya melalui jalan yang mudah. Dari kegagalan demi kegagalan, hingga tercicir peluang masuk universiti, beliau tetap teguh berdiri. Ketika ditanya adakah benar beliau gagal sebanyak itu, Choo hanya tersenyum dan menjawab, “Ya, semuanya gagal. Gagal sebanyak itu pun mungkin satu bakat.”








