Home Kdrama/Kmovie Drama Korea 4 Drama Korea Sarat Konflik Sekolah Elit Seperti Bitch X Rich

4 Drama Korea Sarat Konflik Sekolah Elit Seperti Bitch X Rich

0

Bitch x Rich bakal kembali dengan musim kedua. Masih dibintangi oleh Yeri daripada kumpulan Red Velvet dan Lee Eun Saem, musim terbaharu drama Korea ini dijadualkan tayang pada 3 Julai 2025.

Dengan konflik yang semakin mendebarkan, tidak hairanlah ramai penonton tidak sabar menantikan kesinambungan kisah Hye In dan Je Na. Sambil menunggu episod pertama drama tersebut ditayangkan, apa kata anda tontoni dahulu beberapa drama Korea lain yang seiras dengan Bitch X Rich?

Mana tahu ada drama Korea yang belum anda saksikan dan mungkin akan menjadi kegemaran baharu anda.

1. Pyramid Game (2024)

IMG 8645

Pernah menonton Pyramid Game? Drama Korea ini mengetengahkan tema psikologi remaja serta kritikan sosial terhadap sistem sekolah elit.

Pyramid Game mengisahkan seorang pelajar pindahan bernama Seong Soo Ji (lakonan Bona daripada WJSN) yang menyertai kelas 2-5 di Sekolah Menengah Perempuan Baekyeon.

Di kelas itu, para pelajar perempuan terlibat dalam sebuah permainan aneh yang diadakan setiap bulan, mereka mengundi lima pelajar paling popular. Manakala pelajar yang menerima undian paling rendah akan menjadi sasaran buli oleh rakan sekelas.

2. Hierarchy (2024)

IMG 8646

Drama Korea ini juga memperlihatkan sistem hierarki dalam kalangan pelajar sekolah. Hierarchy dibintangi oleh Roh Jung Eui, Lee Chae Min, dan Kim Jae Won.

Plot drama ini berkisar tentang Kang Ha (Lee Chae Min), seorang pelajar yang diterima masuk ke Sekolah Menengah Jooshin, sebuah sekolah elit. Kang Ha menyertai sekolah itu demi menyiasat kematian tragis saudara kembarnya, In Han, yang dilaporkan maut dalam satu insiden misteri selepas menjadi mangsa buli.

3. Weak Hero Class 1 & 2 (2022/2025)

IMG 8643

Masih membawa tema keganasan di sekolah, Weak Hero Class 1 memperlihatkan sisi gelap budaya buli dalam kalangan pelajar. Drama Korea ini dibintangi oleh Park Ji Hoon sebagai Yeon Si Eun, seorang pelajar pintar yang pendiam.

Si Eun menjadi mangsa buli kerana kecerdasannya serta penampilannya yang kelihatan lemah. Namun begitu, dia berjaya menggunakan kebijaksanaan serta strategi licik untuk melawan para pembuli. Drama ini menyerupai Bitch X Rich dari segi perjuangan golongan muda menentang ketidakadilan di institusi pendidikan.

4. Class of Lies (2019)

Drama korea

Drama Korea ini juga harus ditonton oleh peminat Bitch X Rich. Class of Lies mengisahkan tentang Ji Moo Hyeok (lakonan Yoon Kyun Sang), seorang peguam yang kehilangan reputasi setelah membela seorang pelajar sekolah elit yang dituduh membunuh.

Berasa dirinya diperangkap, Moo Hyeok menyamar sebagai guru di sekolah berprestij itu untuk membongkar kebenaran. Di sana, dia menemui pelbagai jenayah seperti amalan buli dan pemerasan dalam kalangan pelajar.

Berjayakah Moo Hyeok membongkar satu demi satu kes yang selama ini dilindungi oleh golongan berkepentingan?

Itulah empat drama Korea yang seakan-akan Bitch X Rich dan pasti menghiburkan anda sementara menanti musim kedua ditayangkan. Sediakan snek dan pilihlah drama yang paling menarik minat anda.

Selamat menonton!

Baca lagi: 7 Drama Korea Aksi Sejarah Paling Epik, Sarat Strategi, Politik dan Pertarungan Mendebarkan
Baca juga: 10 Selebriti Korea Paling Hangat Dibicarakan Jun 2025, Park Bo Gum dan Kim Da Mi Paling Menyinar