Mercy for None ialah sebuah drama Korea bergenre aksi-noir yang akan ditayangkan secara eksklusif di Netflix pada tahun 2025. Siri ini mengisahkan perjalanan Nam Gi Jun (lakonan So Ji Sub), bekas anggota kumpulan samseng Bongsan yang telah meninggalkan dunia jenayah selama lebih sedekad.
Namun, ketenangan hidupnya musnah apabila adiknya, Nam Gi Seok (Lee Joon-hyuk), ditemui mati dalam keadaan mencurigakan. Tragedi itu memaksa Gi Jun untuk kembali ke dunia yang penuh bahaya demi merungkai kebenaran dan menuntut pembalasan.
Dalam usahanya menyiasat kematian adiknya, Gi Jun perlu berdepan dengan Lee Joo Woon (Heo Joon Ho), ketua kumpulan samseng Joowoon yang juga musuh utama Bongsan. Pertembungan antara kedua-dua kumpulan ini semakin memuncak dan berlaku di lokasi-lokasi ikonik di Seoul, termasuk Plaza Dewan Kebangsaan di Yeouido.
Selain Lee Joo Woon, Gi Jun turut berhadapan dengan Shim Sung Won (Lee Bum Soo), seorang figura berpengaruh yang mempunyai hubungan rapat dengan rangkaian jenayah bawah tanah di kota tersebut.
Sepanjang pencariannya, Gi Jun menerima bantuan daripada rakan-rakan lamanya, termasuk Joon Mo (Gong Myung) dan Geum Son (Choo Young Woo). Namun, semakin mendalam dia menyelongkar kebenaran, semakin dia menyedari bahawa kematian adiknya bukanlah kes biasa.
Drama ini diadaptasi daripada webtoon popular bertajuk Plaza Wars, hasil karya Oh Se Hyung dan Kim Kyun Tae. Webtoon tersebut terkenal dengan jalan cerita yang sarat aksi, konflik antara kumpulan geng, serta plot balas dendam yang rumit.
Berikut ialah lima watak penting dalam Mercy for None:
1. Nam Gi Jun (So Ji Sub)

Nam Gi Jun merupakan bekas eksekutor kejam kumpulan Bongsan. Demi melindungi adiknya, beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia jenayah dengan memotong tendon Achilles di kaki kirinya sendiri, simbol perpisahan mutlak dengan masa silamnya.
Sebelas tahun kemudian, beliau menjalani kehidupan damai sebagai pembekal minuman kepada perniagaan-perniagaan yang masih berhubungan dengan Bongsan. Namun, kematian misawwteri adiknya memaksanya kembali ke dunia yang pernah cuba dilupakannya.
2. Lee Joo Woon (Heo Joon Ho)

Ketua kumpulan samseng Joowoon dan musuh utama kumpulan Bongsan. Beliau terkenal dengan sifat licik dan kepintarannya dalam memanipulasi situasi. Kepimpinan beliau yang kukuh menjadikannya lawan yang sangat mencabar buat Gi Jun.
3. Gu Bong San (Ahn Gil Kang)

Bekas ketua Gi Jun dalam kumpulan Bongsan. Sebagai pemimpin yang berkarisma, beliau mempunyai pengaruh besar dalam dunia jenayah Seoul. Hubungannya dengan Gi Jun menjadi semakin rumit apabila bekas anak buahnya itu kembali demi membalas dendam.
4. Shim Sung Won (Lee Bum Soo)

Seorang tokoh berpengaruh yang memiliki kaitan langsung dengan rangkaian jenayah bandar. Peranannya dalam dunia gelap menjadikannya antara individu yang paling berbahaya dalam misi Gi Jun menjejak kebenaran.
5. Joon Mo (Gong Myung)

Sahabat lama Gi Jun yang menyertai perjuangannya. Sebagai pewaris kumpulan Bongsan, Joon Mo memainkan peranan penting dalam dinamik kumpulan tersebut dan menjadi sekutu yang dipercayai Gi Jun.
Mercy for None menjanjikan pelbagai adegan aksi yang mendebarkan, termasuk pertempuran antara kumpulan yang dipenuhi strategi dan tipu muslihat. Namun, bukan sekadar pertarungan fizikal yang menjadi tarikan, drama ini juga sarat dengan misteri yang perlu dipecahkan oleh Nam Gi Jun.
Menelusuri kebenaran di sebalik kematian Nam Gi Seok menjadi sebuah perjalanan penuh teka-teki, konspirasi, dan pengkhianatan, memperkukuhkan tema utama Mercy for None tahun 2025: balas dendam yang tiada belas kasihan.
Dengan jalan cerita yang mencengkam, barisan pelakon hebat, dan produksi bertaraf tinggi, drama ini dijangka meraih kejayaan besar. Mercy for None boleh ditonton secara eksklusif di Netflix mulai 6 Jun 2025.








