Drama Weak Hero Class 2 (2025) baru sahaja ditayangkan dan terus menjadi perbualan hangat berikutan jalan ceritanya yang penuh emosi dan intens. Namun, bagi mereka yang telah mengikuti versi webtoonnya, pasti menyedari terdapat banyak perubahan yang dibuat dalam adaptasi drama ini.
Daripada latar masa, watak sampingan, hinggalah kepada dinamika hubungan antara watak-watak utama, semuanya telah diubah bagi menyesuaikan format siri televisyen. Jika anda ingin tahu apakah perbezaan utama antara kedua-dua versi ini, teruskan membaca ulasan di bawah!
1. Latar Belakang Sekolah Yeon Si Eun

Dalam versi drama, Yeon Si Eun digambarkan berpindah dari Sekolah Menengah Byeoksan ke Sekolah Menengah Eunjang. Peristiwa besar yang mengubah hidupnya berlaku ketika beliau sudah berada di alam sekolah menengah atas. Pendekatan ini menjadikan trauma yang dialami Si Eun terasa lebih segar dan emosi watak lebih berkait rapat dengan konflik yang sedang berlaku.
Namun, dalam versi webtoon, Eunjang merupakan sekolah pertama Si Eun selepas tamat Sekolah Menengah Rendah Byeoksan. Insiden yang melibatkan Ahn Su Ho berlaku semasa Si Eun masih di peringkat sekolah rendah menengah. Maka, sejak awal cerita, beliau memang merupakan pelajar tetap Eunjang, bukan pelajar pindahan seperti dalam drama.
2. Ramai Watak Diketepikan

Webtoon Weak Hero dikenali dengan kepelbagaian wataknya, sama ada di pihak kawan mahupun lawan. Watak-watak seperti Ga Yool Jin, Ju Yang Lim, dan Teo Jin merupakan rakan rapat penting kepada Si Eun yang menyumbang kepada kepelbagaian dinamika cerita. Malangnya, ketiga-tiga watak ini tidak dimasukkan dalam versi drama, kemungkinan besar untuk menjadikan jalan cerita lebih ringkas dan terfokus.
Perkara yang sama turut berlaku terhadap kumpulan lawan dari Aliansi. Beberapa nama penting seperti Hak Ho Ji, Ji Hoon Bae, dan Seung Jo Jin tidak muncul dalam siri drama. Versi televisyen hanya menampilkan Seong Je Geum dan Choi Hyo Man sebelum menumpukan kepada Na Baek Jin sebagai antagonis utama.
3. Tiada Sistem “Shuttle Pack” dalam Drama

Salah satu unsur menarik dalam webtoon ialah struktur hierarki dalam kumpulan Aliansi, dikenali sebagai “Shuttle Pack”, senarai petarung terkuat antara sekolah di Yeongdeungpo. Na Baek Jin berada di puncak struktur ini, diikuti beberapa nama hebat lain, sebelum kemunculan Yeon Si Eun sebagai pencabar yang mengejutkan dan menggugat sistem tersebut.
Namun dalam versi drama, sistem ini tidak diperkenalkan. Aliansi kekal sebagai kumpulan dominan tetapi tanpa penjelasan mengenai susunan kekuasaan atau peringkat. Fokus cerita lebih tertumpu kepada konflik individu, terutamanya antara Baek Jin, Hu Min dan Si Eun. Gelaran legenda seperti “Ular Putih Eunjang” juga tidak disebut kerana dalam versi drama, Si Eun tidak terlibat secara langsung dalam pertarungan berskala besar.
4. Perbezaan Dinamika Hubungan Watak

Oleh kerana terdapat penyederhanaan watak, secara automatik hubungan antara mereka juga turut berubah. Antara yang paling ketara ialah latar belakang hubungan antara Na Baek Jin dan Park Hu Min.
Dalam webtoon, hubungan mereka terbatas kepada struktur kuasa dalam kumpulan Aliansi. Tetapi dalam drama, kedua-duanya diceritakan mempunyai sejarah persahabatan sejak kecil. Diceritakan bahawa Hu Min yang pertama kali mengajar Baek Jin cara mempertahankan diri daripada pembuli, yang akhirnya menyebabkan Baek Jin berubah menjadi seperti sekarang. Hal ini menjadikan Hu Min berasa bersalah kerana menyangka dialah punca perubahan negatif Baek Jin.
5. Pengakhiran Cerita

Walaupun secara asasnya kedua-dua versi menutup cerita dengan kejatuhan kumpulan Aliansi, cara ia disampaikan berbeza.
Dalam versi webtoon, Baek Jin walaupun tewas kepada Si Eun dan Hu Min, tetap tidak dikalahkan sepenuhnya. Namun akhirnya beliau membubarkan Aliansi dan dikhianati oleh pengikutnya sendiri, sebelum akhirnya maut dilanggar trak ketika cuba mencabar Si Eun sekali lagi.
Dalam versi drama pula, Baek Jin benar-benar mengaku kalah dan membubarkan Aliansi. Pengakhiran menunjukkan Baek Jin meninggal dunia, namun punca kematiannya tidak dijelaskan secara terperinci.
Drama Weak Hero Class 2 hadir dengan jalan cerita yang lebih ringkas, emosional dan sesuai untuk penonton yang gemarkan konflik dalaman dan hubungan psikologi antara watak. Sementara itu, versi webtoon menawarkan dunia yang lebih kompleks dengan sistem kuasa dan pembangunan watak yang lebih mendalam.
Kedua-duanya mempunyai kekuatan tersendiri, terpulang kepada anda untuk memilih sama ada versi aksi visual yang padat atau naratif mendalam yang penuh perincian.
Baca lagi: 4 Sebab Kenapa Harus Layan “Pump Up The Healthy Love”, Kisah Cinta Oppa Sado
Baca juga: “Weak Hero Class 2” Dikritik, Aksi Lebih Besar Tetapi Cerita Semakin Lemah








