Setelah hampir empat tahun menyepi, aktor tampan Gong Myung akhirnya kembali menyapa peminat drama Korea. Kemunculan semulanya ini juga menandakan projek pertamanya sejak menamatkan latihan wajib tentera pada Disember 2023. Menariknya, pada separuh pertama tahun 2025, beliau tampil dalam dua drama berbeza yang ditayangkan dalam tempoh yang rapat.
Mari lihat perbezaan karakter serta pesona Gong Myung dalam dua drama terbaharunya:
1. Gong Myung dalam Way Back Love

Way Back Love merupakan projek pertama Gong Myung selepas drama sejarah Lovers of the Red Sky (2021). Diadaptasi daripada sebuah novel popular, “Way Back Love” ialah drama Korea terbaru yang mula ditayangkan di Viu pada April 2025.
Sejak episod pertama, ia berjaya mencuri perhatian ramai dengan naratif yang emosional serta sarat dengan nilai kehidupan. Dibintangi oleh Kim Min Ha dan Gong Myoung, “Way Back Love” menampilkan kisah cinta menyentuh hati dengan unsur fantasi yang segar dan tidak berlebihan.
Ceritanya mengisahkan Jeong Hee Wan (lakonan Kim Min Ha), seorang wanita berusia 24 tahun yang kehilangan semangat hidup dan mengasingkan diri daripada dunia luar.
Namun, segalanya berubah apabila Kim Ram Woo (lakonan Gong Myung), rakan zaman kanak-kanak yang juga cinta pertamanya, tiba-tiba muncul kembali seminggu sebelum hari kematiannya. Lebih mengejutkan, Ram Woo sebenarnya telah meninggal dunia enam tahun lalu dalam sebuah kemalangan tragis.
Kini, sebagai malaikat maut, Ram Woo muncul untuk memberitahu Hee Wan bahawa hayatnya hanya tinggal satu minggu. Bersama-sama, mereka mula menyenaraikan dan melaksanakan perkara-perkara terakhir yang ingin dilakukan Hee Wan.
Dalam drama ini, Gong Myung memukau penonton dengan dua penampilan berbeza — sebagai pelajar sekolah menengah dan sebagai malaikat maut yang bergaya dalam sut lengkap. Drama ini boleh ditonton di Viu.
2. Gong Myung dalam Second Shot at Love

Tayangan bermula 12 Mei 2025
Selain Way Back Love, Gong Myung turut membintangi drama komedi romantik Second Shot at Love.
Drama ini mengisahkan Han Geum Joo (lakonan Sooyoung), seorang wanita yang menganggap dirinya ‘pemabuk sejati’. Secara tidak sengaja, dia kembali bertemu cinta pertamanya yang sangat membenci alkohol.
Seo Ui Joon (lakonan Gong Myung) merupakan seorang pakar psikiatri di sebuah hospital universiti ternama di Seoul, namun kini telah berpindah ke kampung halamannya.
Sebagai seorang yang menolak alkohol, Ui Joon dengan sabar membantu Geum Joo meninggalkan tabiat buruknya.
Dalam drama ini, Gong Myung tampil mempesona dengan sut doktor dan gaya kasual yang menyerlahkan sisi matang dan penyayangnya.
Kembalinya Gong Myung ke dunia lakonan ternyata bukan sekadar satu, tetapi dua hadiah istimewa buat peminat. Dari watak malaikat maut misteri hinggalah doktor psikiatri yang tegas tetapi penyayang, pelakon ini berjaya menunjukkan versatiliti dan pesona tersendiri.
Jangan lepaskan peluang untuk menonton kedua-dua drama menarik ini sepanjang 2025!








