Drama China Light Beyond The Reed mula bersiaran pada 16 Oktober 2025, membawa kisah penuh emosi tentang Ye Sibei, seorang wanita yang terperangkap dalam layanan berat sebelah ibu bapanya terhadap anak lelaki.
Suaminya, Qin Nan, yang amat menyayanginya, berasa kecewa dengan sikap Ye Sibei yang sentiasa cuba mengelak daripada pertelingkahan. Akibatnya, Qin Nan mengambil keputusan untuk memfailkan tuntutan perceraian, dan keadaan menjadi semakin rumit.
Drama ini mempertemukan semula Vin Zhang (Zhang Binbin) dan Mao Xiaotong dalam kolaborasi yang sarat dengan makna dan emosi mendalam. Jom kenali sinopsis dan sebab mengapa drama ini wajar masuk dalam senarai tontonan korang!
1. Sinopsis Cerita

Light Beyond The Reed mengisahkan tentang Ye Sibei (Mao Xiaotong), seorang wanita yang membesar dalam keluarga yang mementingkan anak lelaki. Demi tanggungjawab dan kasih terhadap keluarganya, dia sanggup berkorban demi adiknya serta berusaha melunaskan hutang keluarga. Dalam perjalanan hidup yang sukar itu, dia bertemu Qin Nan (Vin Zhang), seorang lelaki yatim piatu yang telah kehilangan ibu bapanya sejak kecil.
Sepuluh tahun selepas pertemuan pertama mereka di universiti, kedua-duanya kembali bertemu lalu mendirikan rumah tangga. Namun, kebahagiaan mereka mula tergugat apabila Ye Sibei menjadi mangsa kekasaran rumah tangga. Walaupun dihimpit fitnah dan tekanan keluarga, dia tetap memilih untuk melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa, dengan Qin Nan yang tetap berdiri di sisinya.
Kisah mereka adalah perjalanan dari kegelapan menuju cahaya, tentang keberanian menegakkan keadilan dan cinta yang menjadi pelita dalam kelamnya kehidupan.
2. Barisan Pelakon dan Watak Utama

Drama ini menampilkan barisan pelakon terkenal tanah besar China yang memperkukuh emosi dan dinamika jalan cerita. Keserasian antara dua pelakon utama juga dikatakan menjadi sebab utama mengapa drama ini wajib ditonton.
Senarai pelakon:
Kehadiran Liu Dan dan Shao Feng sebagai pelakon jemputan khas turut memberikan sentuhan emosi yang lebih mendalam dalam naskhah ini.
3. Catatan Produksi

Drama ini diarahkan oleh Li Muge, yang sebelum ini terkenal dengan karya Goodbye My Princess dan Rattan, dua drama yang diiktiraf kerana keindahan sinematografi dan kekuatan emosi visualnya.
Rao Jun, selaku penulis lakon layar, menyesuaikan kisah ini daripada novel popular karya Mo Shubai yang diterbitkan di platform Jinjiang Literature City.
Penggambaran dijalankan selama sembilan bulan di Hangzhou dan Chengdu. Walaupun jumlah bajet rasmi tidak diumumkan, laporan hiburan China menganggarkan kos produksi melebihi 60 juta yuan, hasil penggunaan set berskala besar dan perincian sinematografi yang realistik.
4. Genre dan Had Umur Penonton

Light Beyond The Reed dikategorikan sebagai drama romantik berunsur emosi dan sosial, dengan tema utama mengenai kekasaran terhadap wanita, pemulihan trauma, serta perjuangan menuntut keadilan.
Penyampaian kisahnya bersifat tenang, simbolik dan menyentuh jiwa, menjadikannya sesuai untuk tontonan remaja berusia 16 tahun ke atas, khususnya penonton yang menggemari cerita berlapis emosi dan nilai kemanusiaan yang mendalam.
5. Tarikh Tayangan dan Platform Penstriman

Drama ini mula disiarkan pada 16 Oktober 2025 melalui Tencent Video dan Dragon TV di China.
Untuk penonton antarabangsa, Light Beyond The Reed boleh ditonton di WeTV, dengan jumlah 16 episod yang ditayangkan setiap hari.
Kalau nak layan Light Beyond The Reed, sediakan popcorn banyak-banyak, sebab bukan sahaja jalan ceritanya mengundang air mata, malah setiap episod buat korang rasa berdebar, terharu dan lapar… bukan lapar makanan, tapi lapar nak tahu apa yang berlaku seterusnya!







