Home Kdrama/Kmovie Drama Korea ‘Dear X’ Dituduh Ciplak Poster Filem China, TVING Mohon Maaf dan Tindakan...

‘Dear X’ Dituduh Ciplak Poster Filem China, TVING Mohon Maaf dan Tindakan Segera Diambil

0

Platform TVING kini hadir dengan projek drama Korea terbaharu berjudul Dear X.

Sebelum tayangannya di TVING, drama ini terlebih dahulu dipertontonkan di Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF) dalam segmen On Screen tahun ini.

Penayangan rasminya di platform penstriman sangat dinantikan oleh peminat. Namun begitu, drama yang dijadualkan tayang pada bulan November ini tiba-tiba berdepan tuduhan plagiat.

Poster terbaharu Dear X yang dikeluarkan oleh TVING didakwa meniru rekaan poster filem China tahun 2017, The Devotions of Suspect X. Persamaannya sukar dinafikan.

Kedua-dua poster memaparkan lembaran kertas putih yang koyak membentuk huruf X, dengan sepasang mata watak utama yang mengintai dari sebalik koyakan tersebut dan memandang tepat ke arah kamera.

a00ff9fa 5a58 40bb 9af8 d18d6a77bbb2 f79db250 89bf 497e a77d e1a2b086dec3

Selain itu, elemen seperti huruf X besar pada tajuk, serta penggunaan warna merah dan hitam bagi tulisan di atas latar kertas putih yang koyak, menjadikan kedua-dua poster itu kelihatan hampir serupa.

Susulan isu ini, pihak TVING segera mengeluarkan kenyataan rasmi. Mereka mengakui berlaku kecuaian dalam proses penghasilan poster promosi Dear X, dan mengesahkan bahawa poster The Devotions of Suspect X dijadikan rujukan visual semasa proses reka bentuk.

TVING kemudiannya memutuskan untuk menarik balik poster tersebut dan tidak menggunakannya lagi bagi tujuan promosi.

“Kami menyedari persamaan antara poster Dear X dengan salah satu bahan rujukan kami, dan telah segera menghentikan penggunaannya. Kami memohon maaf atas kecuaian yang berlaku dalam proses penghasilan poster ini,” kata mereka dalam kenyataan rasmi yang dilaporkan oleh Korea JoongAng Daily pada Jumaat, 12 September 2025.

Selepas itu, TVING mengeluarkan poster baharu yang menampilkan dua pelakon utama Dear X dalam suasana penuh misteri dan suram, menggantikan poster asal yang menimbulkan kontroversi.

Dear x

Untuk makluman, The Devotions of Suspect X merupakan filem China adaptasi daripada novel Jepun karya Keigo Higashino, yang turut pernah diadaptasi ke versi Korea pada tahun 2012 dengan judul ‘Perfect Number’.

Sementara itu, ‘Dear X’ pula ialah adaptasi daripada webtoon popular, diarahkan oleh Lee Eung Bok (pengarah Mr. Sunshine dan Goblin) bersama Park Seo Hyun. Drama ini berkisar tentang seorang wanita yang bertekad melarikan diri daripada kehidupan penuh penderitaan dan menghancurkan segala yang menghalang laluannya.

Kim You Jung dan Kim Young Dae menjadi teraju utama drama ini, turut dibintangi oleh Kim Do Hoon dan Lee Yul Eum. Dear X dijadualkan mula ditayangkan di TVING pada 6 November 2025.

Baca lagi: Dear X, Kebenaran Gelap Seorang Bintang
Baca juga: ‘Secret High School’, Siri Thriller Penuh Misteri, Konspirasi Gelap Di Sebalik Dinding Sekolah