Netflix sekali lagi menggoncang dunia hiburan dengan senarai siri terbaharu yang akan ditayangkan pada Oktober 2025. Pelbagai genre dipersembahkan – daripada drama psikologi, thriller, rancangan realiti sehinggalah fantasi epik.
Beberapa judul popular sudah pun dijadualkan, termasuk PHYSICAL: ASIA yang menampilkan persaingan antara negara, serta THE WITCHER MUSIM 4 yang menyambung kisah Geralt dan rakan-rakan. Kedua-duanya paling mendapat perhatian kerana daya tarikannya yang berskala global.
Selain itu, terdapat juga adaptasi novel klasik, dokumentari jenayah, serta drama penuh dengan konflik politik. Netflix memastikan setiap minggu di bulan Oktober akan membawa tayangan baharu yang segar untuk para penonton. Berikut adalah senarai lengkap siri Netflix yang akan muncul bulan hadapan:
1. DUDES & THE GAME: YOU NEVER PLAY ALONE – 2 Oktober
DUDES mengisahkan empat lelaki berusia 40-an yang cuba memahami makna maskuliniti moden. Namun, langkah mereka sering berakhir dengan kekacauan. Pada hari sama, THE GAME: YOU NEVER PLAY ALONE menyorot seorang pembangun permainan wanita yang berjuang menentang serangan misogini, tekanan dalam talian, serta ancaman dunia nyata.
2. MONSTER: THE ED GEIN STORY – Tayang 3 Oktober

Siri original Netflix ini diilhamkan daripada kisah benar Ed Gein, pembunuh bersiri dan penggali kubur yang hidup di Wisconsin pada tahun 1950-an. Perbuatannya yang mengerikan melahirkan watak-watak ikonik dalam budaya pop seperti Psycho dan The Texas Chain Saw Massacre.
Dihasilkan oleh Ryan Murphy dan Ian Brennan, siri ini merupakan musim ketiga antologi MONSTER yang menyingkap sisi gelap manusia.
3. IS IT CAKE? HALLOWEEN – Tayang 8 Oktober

Pertandingan masakan kembali dengan edisi khas Halloween. Sembilan pembuat kek berbakat menghasilkan kek berimej seram yang begitu realistik hingga menipu mata juri selebriti.
Dipandu oleh Mikey Day, rancangan ini turut menampilkan selebriti jemputan seperti Chelsea Peretti, Gillian Jacobs, dan Jack McBrayer.
4. THE RESURRECTED & BOOTS – Tayang 9 Oktober

THE RESURRECTED mengisahkan dua ibu yang mencari pembalasan terhadap tragedi anak mereka. Dengan bantuan seorang dewi misteri, mereka menghidupkan semula penipu yang menyebabkan penderitaan itu.
Sementara itu, BOOTS menyorot kisah Cameron, remaja yang menyertai Kor Marin bersama sahabatnya. Mereka menghadapi latihan keras, cabaran peribadi, dan diskriminasi.
5. KURUKSHETRA: THE GREAT WAR OF MAHABARATA – Tayang 10 Oktober

Sebuah siri epik tentang peperangan besar selama 18 hari melibatkan 18 pahlawan. Kisah ini memaparkan dilema moral, konflik keluarga, serta pengorbanan dalam perang saudara.
6. SPLINTER CELL: DEATHWATCH – Tayang 14 Oktober

Sam Fisher kembali dalam dunia perisikan yang gelap dan penuh rahsia. Kali ini, dia menyertai misi untuk membantu rekrut baharu membongkar konspirasi global. Siri Netflix ini diadaptasi daripada francais permainan video popular Splinter Cell.
7. THE DIPLOMAT Musim 3 & ROMANTICS ANONYMOUS – Tayang 16 Oktober

Musim ketiga THE DIPLOMAT menampilkan Kate Wyler yang berdepan krisis antarabangsa, menguji kerjaya dan rumah tangganya.
Siri Netflix gabungan pelakon Korea dan Jepun, ROMANTICS ANONYMOUS pula mengisahkan percintaan dua insan dengan gangguan kebimbangan yang mendalam, yang menemukan cinta melalui minat mereka terhadap coklat.
8. PHYSICAL: ASIA – Tayang 28 Oktober

Edisi baharu francais kompetisi fizikal ini buat pertama kalinya mempertemukan lapan negara dalam pertarungan kekuatan, strategi, dan maruah bangsa. Atlet dari pelbagai disiplin, termasuk gusti Mongol dan Muay Thai, berentap sengit dalam suasana antarabangsa.
9. THE WITCHER Musim 4 – Tayang 30 Oktober

Musim terbaharu THE WITCHER memperkenalkan Liam Hemsworth sebagai Geralt, menggantikan Henry Cavill. Cerita menyorot Geralt, Yennefer, dan Ciri yang berpecah di benua yang dipenuhi peperangan.
Ciri menyertai kumpulan penjenayah The Rats, manakala Geralt berada di barisan hadapan pertempuran. Yennefer pula cuba memimpin para ahli sihir Aretuza di tengah-tengah pergolakan politik.
Siri-siri baharu ini pastinya akan membuat bulan Oktober anda penuh dengan debaran, kejutan, dan kisah yang memikat!








