Siapa yang tidak kenal dengan Mission Impossible? Siri filem aksi legenda dari Amerika Syarikat ini dianggap antara filem perisik paling ikonik sepanjang zaman. Dibintangi oleh Tom Cruise sebagai Ethan Hunt, kisahnya mengangkat perjuangan pasukan Impossible Mission Force (IMF) dalam menumpaskan ancaman keganasan. Dengan adegan aksi yang padat, tegang dan penuh strategi, filem ini menjadi kegemaran ramai penggemar filem aksi.
Bagi pencinta anime aksi yang meminati suasana Mission Impossible, berikut adalah beberapa anime dengan tema perisik, penyamaran dan aksi mendebarkan yang patut anda cuba tonton.
1. SPY x FAMILY (2022)

Walaupun bertemakan perisik, SPY x FAMILY bukanlah anime serius sepenuhnya. Kisahnya berpusat pada Loid Forger, seorang ejen rahsia yang membentuk sebuah keluarga palsu demi menyelesaikan misi bernama Operation Strix. Namun, ahli keluarganya bukan orang biasa — Anya, anak angkatnya mampu membaca fikiran, manakala isterinya, Yor, ialah seorang pembunuh upahan. Gabungan aksi, komedi dan emosi keluarga menjadikan anime aksi ini sangat menghiburkan. Anda boleh menontonnya di Netflix, dan Prime Video.
2. The Millionaire Detective Balance: Unlimited (2020)

Daisuke Kanbe, seorang jutawan muda, memilih untuk berkhidmat sebagai detektif di Markas Besar Pencegahan Jenayah Moden. Dengan kekayaannya, dia mampu menyelesaikan kes dengan cara paling mudah. Namun, rakan setugasnya, Haru Katou, tidak senang dengan pendekatan Daisuke yang bergantung kepada wang. Konflik antara mereka berdua mewarnai kisah penuh misteri ini. Anime aksi ini boleh ditonton di iQIYI, Prime Video dan Crunchyroll.
3. Lupin III (1971)

Jika Mission Impossible menyorot perspektif perisik, Lupin III pula mengisahkan dunia dari sudut pencuri. Ia berkisar tentang cucu kepada pencuri legenda Arsène Lupin yang meneruskan legasi kakeknya. Bersama pasukannya, seorang penembak tepat dan seorang samurai, Lupin merancang pelbagai rompakan gila sambil diburu oleh Inspektor Zenigata. Anime aksi dan penuh teka-teki ini boleh ditonton di Crunchyroll.
4. Ghost in the Shell: Stand Alone Complex (2002)

Dalam dunia futuristik yang penuh jenayah siber, Motoko Kusanagi, seorang wanita siborg dengan kecerdasan luar biasa, memimpin pasukan elit Section 9. Mereka berdepan pelbagai kes berprofil tinggi termasuk ancaman pengganas siber misteri yang dikenali sebagai The Laughing Man. Dengan elemen teknologi canggih, anime aksi ini sangat mirip dengan misi penuh strategi dalam Mission Impossible. Boleh ditonton melalui Apple Tv.
5. Joker Game (2016)

Mengisahkan agensi perisik rahsia bernama D Agency, anime aksi ini memperlihatkan pasukan perisik elit yang direkrut secara ketat dan menjalani latihan ekstrem. Setiap episod menampilkan kisah dari perspektif perisik berbeza, menjadikannya segar dan penuh kejutan. Jika anda gemarkan drama serius penuh ketegangan ala IMF, Joker Game adalah pilihan tepat. Tonton di Crunchyroll.
6. Great Pretender (2020)

Anime ini tidak memaparkan perisik yang menentang pengganas, sebaliknya membawa penonton ke dunia penipuan kelas atasan. Makoto Edamura, seorang penipu dari Jepun, berdepan kejutan apabila ditipu semula oleh mangsanya, Laurent Thierry, seorang penipu antarabangsa. Dari situlah bermulanya pengembaraan Edamura dalam dunia penipuan global. Kisah penuh aksi, plot twist dan ketegangan ini boleh ditonton di Netflix.
7. Night Raid 1931 (2010)

Berlatarbelakangkan era Jepun yang sedang mengembangkan pengaruh ketenteraan di China, anime ini menampilkan organisasi rahsia Sakurai Kikan. Ahlinya bukan sahaja bijak dan kuat, malah memiliki kuasa luar biasa. Namun, di sebalik misi perisik yang dijalankan, mereka mula mempersoalkan tujuan sebenar kewujudan mereka. Anime aksi penuh tipu muslihat sejarah dan supernatural ini boleh ditonton di Crunchyroll.
8. Princess Principal (2017)

Bayangkan pasukan perisik terdiri daripada lima remaja perempuan terlatih dengan latar steampunk England. Itulah yang ditawarkan dalam Princess Principal. Pasukan ini menyusup ke wilayah musuh, menggali maklumat dan menjalankan misi sulit demi membantu ratu membawa perubahan. Kisah unik ini boleh ditonton di Crunchyroll dan Prime Video.
Walaupun tidak sepenuhnya sama, kesemua anime ini menawarkan aksi penuh strategi, penyamaran, pertempuran dan suasana menegangkan yang mengingatkan anda kepada Mission Impossible. Dengan gabungan elemen moden, sejarah dan supernatural, ia pastinya memberikan pengalaman tontonan yang segar.
Jadi, daripada lapan anime ini, yang manakah akan anda pilih untuk mula ditonton?
Baca lagi: 6 Anime Bertema Muzik Rock yang Penuh Jiwa dan Energi
Baca juga: 7 Anime dengan Jalan Cerita Memuaskan hingga ke Penghujung






