Home Food 5 Menu Sarapan Stail Korea Untuk Annyeong Hari Anda

5 Menu Sarapan Stail Korea Untuk Annyeong Hari Anda

0

Sudah bersarapan ke? Jangan biarkan perut anda kosong semasa nak pergi kerja, kuliah atau sekolah sebab nanti tak bertenaga. Sekiranya tidak tahu nak isi perut dengan apa, berikut menu sarapan ala Korea yang anda boleh tiru buat di rumah:

1. Gyeran bbang

Gyeran-bbang (roti telur) merupakan salah satu street food dan snek yang popular di Korea. Selain itu, ia juga boleh jadi menu sarapan sebelum berangkat ke kerja atau sekolah. Hidangannya ringkas namun sangat lazat dengan keseimbangan rasa manis dan masin, ditambah lagi dengan topping keju, herba dan sos tomato.

2. Gilgeori toast (Korean street toast)

Kebiasaannya, roti bakar gilgeori ini boleh didapati di kedai-kedai pinggir jalan di Korea. Boleh cuba membuatnya di rumah untuk sarapan pagi dengan bahan-bahan mudah seperti telur dadar goreng, sayur-sayuran seperti kubis dan lobak bersos tomato ditaburi gula dan diapit dengan roti bakar mentega.

3. Gyeran mari (Telur gulung Korea)

Selain gyeran bbang, menu telur lain yang digemari oleh orang Korea adalah Gyeran mari iaitu telur dadar gulung istimewa Korea yang mengandungi pelbagai bahan seperti telur, daun bawang, lobak merah, serbuk cili, cendawan, keju, rumpai laut dan daging.

4. Nasi Goreng Kimchi

Sebagai orang Asia Tenggara, nasi dengan kita memang berpisah tiada. Sudah biasa makan nasi goreng kampung hingga USA? Apa kata cuba nasi goreng versi Korea pula iaitu nasi goreng kimchi dan boleh juga tambah cendawan, telur, ayam, makanan laut dan sayur.

5. Pajeon

Sekiranya sebelum ini anda makan pankek manis bersimbah madu dan sirap, mungkin anda nak cuba yang versi savoury pula iaitu pajeon (pankek daun bawang). Jika anda pergi ke mana-mana restoran Korea, mungkin anda biasa lihat menu ini. Variasi lain yang sama popular ialah kimchijeon (pankek kimchi) dan haemul pajeon (pankek daun bawang makanan laut). Lempeng rangup ini enak dicicah bersama sos.

Sumber: [1],[2]