Bulan April 2025 menyaksikan kemunculan pelbagai drama Cina baru yang ditayangkan di platform penstriman terkenal seperti Youku, iQIYI, dan WeTV.
Pelbagai genre diketengahkan, daripada kisah percintaan seperti Such a Good Love dan Eat Run Love, fantasi seperti Destiny and Saving dan The Demon Hunter’s Romance, sehinggalah kepada kisah misteri penuh ketegangan dalam Breaking the Shadows. Berikut ialah sinopsis lima drama Cina yang sedang menjadi tumpuan ramai.
1. Such a Good Love – Cinta Yang Diuji Waktu dan Realiti
Mula ditayangkan pada 2 April 2025, drama Cina Such a Good Love kini telah menayangkan 21 daripada 26 episod keseluruhan. Drama romantik ini mengisahkan percintaan Zhou Shui (Wang Anyu) dan Dai Daji (Wang Yuwen) yang berhijrah ke Beijing selepas tamat pengajian pada tahun 2007.
Dipenuhi dengan harapan dan cita-cita, mereka berdepan dengan cabaran kehidupan yang tidak seperti yang dibayangkan. Mereka berusaha untuk terus bersama meskipun diuji pelbagai dugaan. Cerita ini juga memaparkan pasangan dari tahun 2024 yang menemui rakaman video perjalanan hidup mereka, lalu memberi ruang kepada renungan terhadap pilihan-pilihan hidup yang telah dibuat.
Baca juga: 5 Drama Cina Popular di Viu, Setanding Drama Korea
2. Breaking the Shadows – Kebenaran di Sebalik Bayang-Bayang
Ditayangkan dari 3 hingga 9 April 2025, drama Cina ini mengandungi 17 episod yang sarat dengan elemen penyiasatan, jenayah dan misteri.
Han Qing (Sun Li), seorang anggota polis wanita dari Pasukan Siasatan Jenayah, terkenal sebagai seorang yang tegas dan sangat berdedikasi terhadap tugas. Hubungan kerjanya dengan rakan sekerja, Zhong Wei (Luo Jin), sangat baik, namun segalanya berubah apabila Zhong Wei hilang dua bulan lalu ketika memburu seorang penjenayah.
Han Qing memulakan siasatan sendiri, dan penemuannya membawa beliau ke dalam jaringan jenayah terancang yang berbahaya.
3. Eat Run Love – Cinta Lama Datang Kembali
Ditayangkan pada 8 April 2025 dan diarahkan oleh Yu Chung Chung, drama Cina Eat Run Love ialah adaptasi daripada novel A Billion Dollar Romance karya Chen Zhi Yao. Ia mengisahkan tentang Ding Zhitong (Zhuang Dafei) yang dibebani masalah kewangan dan tidak mempunyai ruang untuk bercinta.
Segalanya berubah apabila Gan Yang (Chen Feiyu), seorang pemuda ceria, hadir dalam hidupnya. Mereka jatuh cinta walaupun berasal dari latar belakang yang sangat berbeza. Namun, apabila keluarga Gan Yang jatuh muflis, dia memilih untuk menyembunyikan kebenaran dan memutuskan hubungan mereka.
Sepuluh tahun kemudian, mereka bertemu semula atas urusan kerja. Ding Zhitong masih menyimpan dendam, manakala Gan Yang ingin memperbaiki kesilapan lama.
4. Destiny and Saving – Takdir, Pertelingkahan dan Pengorbanan
Drama Cina berunsur fantasi xianxia ini telah menayangkan 14 episod sejak 8 April 2025. Diarah oleh Mai Guan Zhi dan Li Wei Ji, cerita ini mengisahkan pertembungan berzaman antara Gabungan Cahaya dan Puak Kegelapan.
Mo Xiao (Tong Meng Shi), keturunan Gabungan Cahaya, berkawan dengan Feng Lixue (Zhang Yuxi), pewaris Puak Kegelapan. Namun persahabatan mereka retak apabila Mo Xiao cuba menyelamatkan gurunya dan secara tidak sengaja menolak Feng Lixue jatuh dari tebing.
Feng Lixue diselamatkan oleh Chong Hua (Han Dong) dan hilang ingatan. Sepuluh tahun kemudian, beliau muncul semula sebagai Wu Chen, pemimpin Puak Kegelapan, manakala Mo Xiao pula memimpin Gabungan Cahaya. Saat Wu Chen mula mempercayai kebaikan Mo Xiao, Chong Hua merancang sesuatu yang membuatkan mereka kembali bermusuhan.
5. The Demon Hunter’s Romance – Cinta di Antara Dunia Siluman
Disiarkan bermula 12 April 2025, drama Cina ini diadaptasi daripada novel Ban Xia tulisan Ban Ming Ban Mei. Kisahnya menggabungkan unsur cinta dan fantasi.
Duan Banxia (Song Zu’er), anak keluarga bangsawan, mempunyai keupayaan melihat bayangan makhluk siluman. Disebabkan tiada siapa yang mempercayainya, termasuk keluarganya sendiri, dia menganggap dirinya mempunyai penyakit aneh.
Segalanya berubah apabila beliau menghadiri majlis perkahwinan sepupunya dan menyedari sesuatu yang aneh pada bakal iparnya. Di situlah dia bertemu Jiu Xuanye (Ren Jialun), seorang pemburu siluman yang meyakinkannya bahawa makhluk itu benar-benar wujud. Sejak itu, mereka bersatu memburu siluman jahat bersama.
Jadi, antara lima drama Cina baharu ini, yang manakah paling menarik perhatian anda?