Drama Terbaru IU dan Byeon Woo Seok, Wife of a 21st Century Prince, Tayang 2026 di MBC!
Setelah lama dinanti, akhirnya drama Korea Wife of a 21st Century Prince terbitan MBC yang dibintangi oleh IU dan Byeon Woo Seok mengumumkan barisan pelakon utama serta jadual tayangannya.
Menurut laporan Soompi pada Isnin (21 April 2025), pihak produksi telah mengesahkan bahawa Wife of a 21st Century Prince (tajuk sementara) akan disiarkan sebagai drama hujung minggu (Jumaat-Sabtu) di saluran MBC pada tahun 2026. Drama ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti IU, Byeon Woo Seok, Noh Sang Hyun, dan Gong Seung Yeon.
Wife of a 21st Century Prince merupakan drama romantik berlatar belakangkan versi alternatif Korea, iaitu sebuah negara monarki berperlembagaan. Kisahnya berkisar tentang cinta antara Sung Hee Joo (lakonan IU), seorang pewaris chaebol yang memiliki segalanya kecuali status bangsawan, dan Lee Wan (Byeon Woo Seok), seorang putera raja yang tidak punya apa-apa melainkan gelaran diraja.
IU sebagai Sung Hee Joo
IU membawakan watak Sung Hee Joo, anak kedua kepada keluarga pemilik konglomerat terbesar di Korea. Dikaruniai kecantikan, kepintaran, dan semangat bersaing yang tinggi, Hee Joo sentiasa menikmati kelebihan dalam hidupnya.
Namun, statusnya sebagai rakyat biasa menjadi satu-satunya halangan dalam kehidupan sempurnanya. Demi mengejar status bangsawan yang tidak dimilikinya, Hee Joo akhirnya terlibat dalam perkahwinan kontrak dengan Putera Lee Wan.
Byeon Woo Seok sebagai Lee Wan
Byeon Woo Seok pula memegang watak Lee Wan, seorang putera yang sedih dan terasing. Walaupun dilahirkan sebagai anak kedua raja, dia tidak memiliki apa-apa kecuali gelaran diraja. Setelah sekian lama menyembunyikan diri dari dunia, pertemuan dengan Sung Hee Joo menjadi titik perubahan besar dalam hidupnya.
Noh Sang Hyun sebagai Min Jung Woo
Noh Sang Hyun membawakan watak Min Jung Woo, seorang perdana menteri muda dari keluarga politik yang berpengaruh dan sahabat rapat kepada Putera Lee Wan. Mengikuti jejak datuk dan ayahnya, Jung Woo berjaya naik ke jawatan perdana menteri.
Dengan latar belakang yang kukuh, kepintaran yang tajam, serta penampilan menarik, beliau dianggap lelaki bujang paling sempurna. Dia juga merupakan teman zaman kanak-kanak kepada Lee Wan dan senior Hee Joo di akademi diraja. Emosinya mula terganggu selepas Hee Joo berkahwin secara kontrak dengan sahabat baiknya.
Gong Seung Yeon sebagai Yoon Yi Rang
Gong Seung Yeon pula membawa watak Yoon Yi Rang, seorang wanita yang dilahirkan dengan “takdir sebagai ratu”. Berasal dari keluarga yang melahirkan empat ratu terdahulu, Yi Rang sentiasa yakin bahawa dia akan mengikut jejak itu. Beliau memilih gelaran ratu berbanding identiti dirinya sendiri dan berjuang habis-habisan demi mempertahankan takdir tersebut dalam apa jua keadaan.
Wife of a 21st Century Prince akan diarahkan oleh pengarah tersohor Park Joon Hwa, yang terkenal dengan projek-projek popular seperti Rude Miss Young Ae, Let’s Eat 1 & 2, What’s Wrong With Secretary Kim, Alchemy of Souls, dan banyak lagi.
Untuk makluman, Wife of a 21st Century Prince menandakan kemunculan semula IU dalam dunia lakonan pada tahun 2026, selepas membintangi When Life Gives You Tangerine pada tahun ini. Beliau sebelum ini dikenali melalui drama-drama ikonik seperti Hotel Del Luna dan My Mister.
Di pihak lain, drama ini juga merupakan projek terbaru Byeon Woo Seok selepas mencapai kemuncak populariti menerusi Lovely Runner yang meletup pada tahun 2024.
Buat peminat yang menantikan gandingan IU dan Byeon Woo Seok, nantikan perkembangan selanjutnya mengenai drama ini tidak lama lagi!