Anugerah Pengkritik Filem Jepun ke-34 baru sahaja mengumumkan senarai pemenang, dan antara yang mencuri perhatian ialah filem anime Look Back hasil karya Tatsuki Fujimoto yang berjaya merangkul anugerah tertinggi dalam kategori animasi.
Menurut laporan animetv-jp.net pada Selasa, 29 April 2025, filem Look Back telah dinobatkan sebagai ‘Animasi Terbaik Tahun Ini’, menjadikannya salah satu karya paling berprestij yang diraikan dalam acara anugerah tersebut.
Filem ini berjaya menewaskan dua pesaing utama dari kategori filem aksi nyata, iaitu Living in Two Worlds (2024) dan A Girl Named Ann (2024), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai karya animasi paling menonjol tahun ini.
Anugerah ‘Animasi Terbaik’ diberikan kepada Look Back kerana penghasilan naratif yang menyentuh hati – menampilkan kisah dua gadis, Fujino dan Kyomoto, yang disatukan oleh impian bersama untuk mencipta manga. Nilai persahabatan, perjuangan dan semangat mereka dalam berkarya menjadi inti utama yang menjadikan filem ini begitu istimewa.
Dengan kemenangan ini, Look Back kini tersenarai sebaris dengan karya anime klasik seperti Wolf Children (2012) arahan Mamoru Hosoda, A Silent Voice (2016) hasil nukilan Yoshitoki Ōima, dan Night is Short, Walk on Girl (2017) oleh Tomihiko Morimi – kesemuanya pernah menerima anugerah yang sama dan diiktiraf secara meluas.
Acara Japan Movie Critics Awards ialah satu anugerah khas yang dikendalikan oleh para pembikin filem untuk menghargai hasil kerja sesama penggiat seni di Jepun.
Menariknya, ini bukan kali pertama Look Back menerima pengiktirafan sedemikian. Ia turut meraih anugerah serupa di Hochi Film Awards, Tokyo Anime Award Festival, dan Japan Academy Film Prize. Malah, anime ini turut dicalonkan dalam kategori ‘Filem Terbaik’ di Crunchyroll Anime Awards.
Dengan kejayaan demi kejayaan yang diraih dalam pelbagai acara anugerah berprestij, Look Back kini dianggap sebagai anime wajib tonton – menawarkan kisah yang kuat, emosional dan menyelami tema persahabatan secara mendalam.
Look Back juga merupakan karya sulung Kiyotaka Oshiyama sebagai pengarah. Beliau terlibat secara langsung dalam proses penghasilan filem ini termasuk menulis skrip, merancang rekaan watak, dan bekerjasama dengan Studio Durian sebagai rumah produksi. Muzik pula digubah oleh Haruka Nakamura, manakala pengedaran dikendalikan oleh Avex Pictures.
Sebelum ditayangkan di Jepun, Look Back terlebih dahulu dipertontonkan di Festival Filem Animasi Antarabangsa Annecy, Perancis, pada awal Jun 2024. Filem ini kemudiannya mula ditayangkan secara rasmi di pawagam Jepun pada 28 Jun 2024.
Pelancaran filem di Jepun mencatatkan kejayaan luar biasa apabila berjaya meraih lebih 2 bilion yen (sekitar USD13.3 juta) hasil daripada penjualan sebanyak 1.17 juta tiket. Kejayaan ini turut membuka ruang tayangan antarabangsa, termasuk di Amerika Utara dan beberapa negara di Asia Tenggara.
Menurut Anime News Network, pada Oktober 2024, Look Back ditayangkan di Amerika Utara dengan GKIDS sebagai pemegang lesen rasmi. Filem ini meraih kutipan sebanyak USD688,253 pada minggu pertama tayangan di pawagam AS.
Look Back menyajikan kisah yang penuh naik turun – mengangkat tema persahabatan, impian, seni, dan persaingan sihat antara Ayumu Fujino dan Kyomoto, dua gadis berbakat besar dalam seni lukisan, khususnya dunia manga.