Siapa sahaja yang tidak suka menonton anime seram pada waktu malam? Lebih-lebih lagi jika tema yang diketengahkan ialah seram, lengkap dengan suasana tegang serta rasa ingin tahu yang semakin membuak. Ramai sengaja memilih tontonan sebegini untuk menguji keberanian sambil menikmati atmosfer menyeramkan.
Anime seram bukan sekadar menayangkan adegan menakutkan, tetapi turut sarat dengan mesej emosi yang mendalam. Ada kisah tentang persahabatan, kehilangan, sehinggalah perjuangan melawan kegelapan yang menyelubungi. Semua itu menjadikan pengalaman menonton lebih menyeluruh dan memberi kesan mendalam.
Malah, beberapa judul anime seram pernah mencetuskan perbincangan kerana jalan cerita yang unik serta watak-watak yang berbekas di hati penonton. Jika anda sedang mencari cadangan tontonan waktu malam, senarai ini boleh menjadi pilihan terbaik. Inilah antara rekomendasi hangat daripada @animekefszz yang kini hangat diperkatakan dalam kalangan peminat anime seram.
1. Hellsing

Organisasi Hellsing bertugas menentang ancaman kuasa ghaib yang mengganggu manusia. Apabila sebuah kampung diserang oleh pontianak, Sir Integra menghantar Alucard, pontianak perkasa bersenjatakan pistol tunggal.
Dalam misi tersebut, Alucard menyelamatkan seorang anggota polis muda, Seras Victoria, dengan menjadikannya pontianak. Walaupun diterima, Seras berdepan cabaran besar untuk menerima hakikat dirinya sebagai makhluk malam.
2. The Summer Hikaru Died (Hikaru ga Shinda Natsu)

Yoshiki dan Hikaru telah bersahabat sejak kecil di sebuah desa terpencil. Namun, perubahan sikap Hikaru selepas satu musim panas menimbulkan curiga.
Rupanya, Hikaru bukan lagi manusia sepenuhnya, tetapi entiti lain yang membawa ancaman serta perasaan cinta. Yoshiki dilanda konflik jiwa, antara mengekalkan persahabatan atau melepaskan sahabat karibnya itu.
3. Sankarea

Sejak kecil, Chihiro Furuya obses dengan zombi dan mengimpikan teman wanita daripada golongan ‘undead’. Obsesinya makin menjadi apabila dia cuba menghidupkan semula kucingnya yang mati dilanggar.
Dalam percubaan itu, dia bertemu Rea Sanka yang menelan ramuan kebangkitan demi menamatkan penderitaan hidupnya. Tidak disangka, Rea benar-benar menjadi zombi, sekali gus membuka lembaran baharu dalam hidup Chihiro.
Baca juga: 10 Siri Anime Seram Yang Mungkin Anda Boleh Nikmati
Baca lagi: 5 Anime Seram yang Harus Ditonton Jika Anda Suka Final Destination
4. Dark Gathering

Keitarou Gentouga, seorang mahasiswa yang memiliki kutukan di tangan kanannya, cuba menjalani kehidupan normal. Namun takdir menemukan dia dengan Yayoi, seorang gadis yang mampu melihat roh.
Bersama Yayoi, Keitarou menyertai misi mengumpulkan roh-roh jahat. Walaupun berbahaya, dia tetap meneruskan perjalanan, sambil berhadapan dengan trauma masa silam.
5. Ajin

Fenomena manusia abadi yang digelar Ajin mula muncul di Afrika. Mereka dianggap berbahaya dan perlu ditangkap jika ditemui.
Kei Nagai, seorang pelajar sekolah menengah, mendapati dirinya ialah seorang Ajin selepas terselamat daripada kemalangan maut. Sejak itu, dia hidup dalam buruan kerajaan sambil berdepan konflik dengan sesama Ajin.
6. Shiki

Ketenangan hidup di desa Sotoba tergugat apabila berlaku siri kematian misteri. Mangsa pertama ialah Megumi Shimizu, seorang gadis penuh cita-cita.
Doktor Toshio Ozaki mula mengesyaki wujud sesuatu yang lebih menakutkan daripada sekadar penyakit. Bersama sekumpulan remaja, dia cuba merungkai kebenaran hitam di sebalik tragedi tersebut.
7. Hell Girl (Jigoku Shoujo)

Setiap tengah malam, wujud sebuah laman misteri yang membolehkan orang membalas dendam. Ai Enma, dikenali sebagai Hell Girl, akan menghantar roh mangsa balas dendam terus ke neraka.
Namun, setiap pembalasan mempunyai harga yang perlu dibayar, penggunanya juga akan ke neraka setelah meninggal. Dilema moral inilah yang menjadi inti cerita penuh kegelapan.
8. Mieruko-chan

Miko Yotsuya tiba-tiba dikurniakan kemampuan melihat makhluk ghaib menakutkan. Walaupun sering ketakutan, dia tetap berusaha mengabaikan mereka agar hidupnya kekal normal.
Pada masa sama, dia cuba melindungi sahabat baiknya, Hana, daripada gangguan makhluk-makhluk itu. Gabungan humor, seram dan drama emosi menjadikan kisah ini berwarna-warni.
9. Dusk Maiden of Amnesia (Tasogare Otome x Amnesia)

Akademi Seikyou menyimpan legenda seram tentang roh seorang gadis bernama Yuuko yang mati secara misteri di ruang bawah tanah sekolah. Teiichi Niiya, seorang pelajar, mampu melihat Yuuko dan berusaha menyingkap kisah silamnya.
Bersama kelab penyiasatan, mereka menelusuri misteri tujuh lagenda sekolah. Hubungan Teiichi dan Yuuko berkembang dalam suasana romantis penuh nuansa seram.
Jadi, jika anda berani, cuba tonton salah satu anime seram ini pada malam hari. Mungkin bukan sekadar rasa takut yang anda dapat, tetapi juga mesej kehidupan yang mendalam.







