Home Drama/Filem Jepun Alice in Borderland Musim 3, Misteri Kad Joker Bakal Gegar Mental Penonton

Alice in Borderland Musim 3, Misteri Kad Joker Bakal Gegar Mental Penonton

0

Netflix akhirnya mendedahkan visual rasmi dan treler terbaru untuk Alice in Borderland Musim 3, siri thriller Jepun berunsur survival dan psikologi yang sejak debut pada tahun 2020 berjaya mencuri perhatian penonton di seluruh dunia.

Kento Yamazaki dan Tao Tsuchiya kembali sebagai Arisu dan Usagi, yang sekali lagi terperangkap dalam permainan penuh misteri di dunia Borderland.

1. Cabaran Baharu di Borderland

Alice in borderland

Treler terbaru memperlihatkan kembalinya Arisu dan Usagi ke dalam permainan yang lebih gelap serta berbahaya. Bukan hanya mereka berdua, malah beberapa pemain yang sebelum ini berjaya keluar dari Borderland turut akan kembali dalam musim ketiga ini.

Jika musim lalu Arisu dan rakan-rakan berjaya menewaskan kad wajah dan meloloskan diri, kini persoalan beralih kepada kad Joker yang muncul di penghujung musim kedua serta treler musim ketiga.

Berdasarkan treler yang telah dikeluarkan Netflix, jalan cerita akan memfokuskan usaha Arisu menyelamatkan Usagi yang kembali terperangkap. Treler menegaskan bahawa Arisu sanggup mengorbankan apa sahaja demi insan yang dicintainya, menjanjikan musim ketiga ini lebih mencabar hati dan fikiran penonton.

2. Karakter Baharu & Kepulangan Watak Ikonik

f82305da 71d5 4da4 a62a a086d11ace11

Musim ketiga turut memperkenalkan watak-watak baharu yang akan menambah warna kepada permainan serta memperluas misteri dunia Borderland. Antara nama yang disahkan membintangi musim ini termasuklah Kento Kaku, Koji Okura, Kotaro Daigo, Sakura Kiryu, Risa Sudo, Tina Tamashiro, Hiroyuki Ikeuchi, dan Hyunri. Namun, peranan mereka masih dirahsiakan.

Bukan itu sahaja, watak ikonik dari musim terdahulu turut kembali untuk kesinambungan cerita — menghadirkan kesinambungan jalan cerita serta nostalgia buat penonton setia sejak musim pertama. Selain Arisu dan Usagi, watak Ann Rizuna, Banda, dan Oki Yaba telah disahkan kembali.

Terdapat juga khabar angin bahawa Chishiya, Niragi, Kuina, Aguni, dan Akane Heiya akan muncul semula, meskipun belum ada pengesahan rasmi.

3. Manga VS Siri Netflix

IMG 7096

Alice in Borderland arahan Shinsuke Sato diadaptasi daripada manga karya Haro Aso, yang diterbitkan sejak tahun 2010 dengan jumlah keseluruhan 18 jilid dan 87 bab utama. Haro Aso turut menulis dua siri sampingan: Alice in Border Road (2015) dan Alice in Borderland: Retry (2020).

Terdapat beberapa perbezaan ketara antara manga asal dan siri Netflix. Dalam versi manga, kad Joker digambarkan sebagai ferryman — simbol pengantara jiwa antara dunia hidup dan mati. Namun dalam siri Netflix, kad Joker berkemungkinan akan diangkat sebagai antagonis sebenar dalam musim ketiga.

Selain itu, manga asal menutup cerita dengan kemunculan simbolik kad Joker selepas permainan tamat, manakala versi Netflix menjadikan kad Joker sebagai cliffhanger sekaligus plot utama musim ketiga. Perubahan ini membuka peluang kepada Netflix untuk mengembangkan kisah melepasi apa yang digarap dalam manga asal.

Tarikh Tayang Rasmi

IMG 7099

Bagi peminat yang tidak sabar menantikan kelanjutan kisah Arisu dan rakan-rakannya, Alice in Borderland Musim 3 dijadualkan tayang secara eksklusif di Netflix pada 25 September 2025.

Baca lagi: Dunia Mistik dalam Drama Jepun, Kisah Yokai, Legenda dan Roh Abadi
Baca juga: Bersedia Untuk Perlawanan Akhir “Alice in Borderland” Musim 3? Tujuh Teori Perkara yang Mungkin Berlaku dalam Musim 3 Ini