Son Suk Ku, pelakon versatil yang dikenali dengan gaya lakonan penuh emosi, bakal membintangi drama Heavenly Ever After bersama pelakon senior Kim Hye Ja. Dalam drama ini, beliau membawa watak Ko Nak Joon, seorang suami dan ketua keluarga yang telah meninggal dunia. Namun cintanya terhadap isteri tercinta tidak padam, lalu dia menantikan kehadirannya di alam syurga.
Tahun 2025 bukan sahaja menyaksikan kemunculan Son Suk Ku dalam drama bertemakan kasih abadi itu, malah beliau terlibat dalam tiga buah karya besar yang menjadikan beliau antara pelakon paling sibuk tahun ini. Berikut ialah senarai tiga projek lakonan Son Suk Ku pada tahun 2025 yang tidak wajar dilepaskan.
1. Filem Virus – Kisah Cinta Yang Tercetus Dari Jangkitan
Pada separuh pertama tahun 2025, Son Suk Ku tampil dalam filem bertajuk Virus bergandingan dengan pelakon tersohor Bae Doo Na. Dalam filem ini, beliau memegang watak Nam Soo Pil, teman janji temu kepada watak utama yang dilakonkan oleh Bae Doo Na.
Filem ini mengisahkan Ok Tae Sun, seorang penterjemah yang kehilangan semangat dan emosi cintanya. Namun selepas satu janji temu yang kacau bersama Nam Soo Pil, hidupnya berubah secara drastik, dia mula tertawa tanpa sebab, menjadi ceria dan romantis.
Rupa-rupanya, Ok Tae Sun dijangkiti sejenis virus pelik yang dinamakan Toxovirus, yang menyebabkan seseorang mudah jatuh cinta secara mendadak. Virus itu juga boleh membawa maut, dan dia bertemu dengan seorang pakar virologi yang berusaha mencipta penawar.
2. Drama Heavenly Ever After – Cinta Abadi di Alam Syurga
Drama Heavenly Ever After menampilkan Son Suk Ku bersama Kim Hye Ja dan Han Ji Min. Berlatarkan tema kekeluargaan, drama ini berkisah tentang seorang wanita tua bernama Hae Suk (lakonan Kim Hye Ja) yang menjalani kehidupan bahagia bersama suaminya sehingga beliau meninggal dunia.
Sepanjang hayatnya, sang suami tidak pernah jemu memuji kecantikannya. Saat tiba ajalnya, Hae Suk teringat kata-kata suaminya yang mahu mereka bersatu kembali di syurga dalam usia sebenar mereka. Maka mereka bertemu semula, Hae Suk dalam usia 80 tahun, manakala suaminya dalam lingkungan usia 30 tahun.
Drama ini menyentuh perasaan dengan elemen kasih sejati yang merentasi dunia dan akhirat.
3. Drama Nine Puzzle – Membongkar Rahsia Pembunuhan 10 Tahun Lalu
Drama ketiga yang dibintangi Son Suk Ku adalah Nine Puzzle, sebuah naskhah mendebarkan bergenre jenayah dan penyiasatan. Drama ini berkisar tentang Yoon Ena (lakonan Kim Da Mi), seorang profiler jenayah yang pakar dalam mengenal pasti pelaku jenayah berat.
Namun, dia pernah terlibat dalam satu kes pembunuhan yang belum selesai sejak sedekad lalu. Yoon Ena satu-satunya saksi yang mampu membongkar kebenaran di sebalik kes misteri itu. Disebabkan merasakan dirinya diperdaya oleh pembunuh tersebut, dia bergandingan dengan seorang detektif bernama Han Saem (lakonan Son Suk Ku) bagi menyiasat kes tersebut dengan lebih mendalam.
Namun begitu, Han Saem mula mengesyaki bahawa Yoon Ena sendiri mungkin terlibat sebagai dalang sebenar pembunuhan itu. Drama ini diarahkan oleh Yoon Jong Bin, yang pernah mengarahkan Narco-Saint (2022), dan dijangka ditayangkan pada tahun 2025.
Dengan pelbagai watak berbeza,daripada suami setia di syurga, kekasih yang menjangkiti cinta, hingga ke detektif penyiasat pembunuhan, Son Suk Ku benar-benar memperlihatkan kebolehannya yang luas dalam dunia lakonan. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kesemua karya hebat beliau pada tahun 2025!