Emma Maembong Sah Bergelar Isteri, Cerita Proses Bertaut Hati Dengan Suami

Dengan sekali lafaz, Emma Maembong, 27, sah bergelar isteri kepada juruterbang, Muhammad Shazli Azhar, 32, kira-kira jam 11.58 pagi tadi.

Pasangan itu dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah  Persekutuan, Mohammad Akmal Abdul Aziz dan berwalikan bapa pengantin perempuan Ismail Embong dalam sebuah majlis tertutup  di sebuah premis acara di Bukit Damansara

Pada majlis berkonsepkan warna putih itu dan dihadiri 300 tetamu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM2,000 bersama senaskhah Al Quran bersama tujuh dulang hantaran berbalas lima.

Bagaimanapun, wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Anggun mengenakan persalinan rona putih rekaan Ezuwan Ismail, Emma atau nama lengkapnya Fatimah Rohani Ismail bersyukur segala perancangan sejak beberapa bulan lalu berjalan lancar.

“Alhamdulillah, impian, niat dan hajat yang saya simpan selama ini dipermudahkan. Tarikh nikah (20022020) juga sangat cantik dan kenapa tidak kami abadikan sebagai detik hari bahagia saya dan suami.

“Biarpun semuanya berlaku dengan begitu pantas, saya percaya ada hikmah tersendiri hingga menyatukan kami menjadi pasangan suami isteri yang sah. Semoga permulaan fasa baharu ini akan terus mematangkan saya dan suami, insya-Allah,” katanya yang cantik dan ayu dengan tata rias Nad Ismail.

Berkongsi detik perkenalan, pasangan terbabit bersua buat kali pertama pada tahun 2017 ketika menghadiri majlis sambutan ulang tahun Uqasha Senrose.

Namun ketika itu mereka hanya berborak kosong  dan tidak pernah menjangkakan ada detik istimewa yang diraih selepas itu.

“Malah sehari selepas itu dia sebenarnya ada menghantar mesej di Instagram. Namun tidak disedari saya. Hanya pada tahun 2018, baru mesej yang dihantarnya saya disedari. Ketika itu kami hanya berbalas mesej biasa termasuk bercakap soal kucing. Perbualan itu berakhir begitu saja.

“Dipendekkan cerita pada 15 Julai tahun lalu, kami berhubungan semula di Instagram. Kali ini proses itu lebih jelas dan masing-masing bertukar nombor telefon. Seminggu selepas itu, dia mahu jadikan saya sebagai kekasihnya.

“Seminggu seterusnya pula, dia bersungguh-sungguh mahu menjadikan saya sebagai isterinya,” kata pelakon drama Cemburu Seorang Perempuan itu.

Pada masa sama, Emma turut mengakui sikap, kesungguhan dan keberanian suami antara yang memikat hatinya.

“Dia tak mahu membuang masa dalam hubungan ini. Saya sendiri juga menginginkan hal sama. Semuanya bagai tersusun cantik. Dia juga lelaki yang mementingkan keluarga dan agama selain matang

“Selepas dua bulan mengenali diri masing-masing, kami sepakat menghalalkan hubungan ini. Pada 11 Oktober lalu, keluarganya datang merisik di rumah keluarga saya,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Shazli selain mengagumi kecantikan semula jadi isterinya, Emma juga dilihat sangat rajin bekerja.

“Dia mempunyai hati yang baik. Dia tahu apa yang diinginkan dalam hidupnya selain mengutamakan keluarga seperti mana diri ini. Dia sangat tegas dalam soal membuat keputusan.

“Malah saya melihat dia juga jenis yang ada ramai kawan, namun memilih yang betul betul boleh rapat dengannya,” kata jejaka yang membesar di Selangor itu

Pasangan ini juga belum merancang destinasi berbulan madu, malah tidak menolak rezeki jika dikurniakan anak secepat mungkin.

Pada 6 Mac depan, majlis berinai akan diadakan dan sehari selepas itu pasangan ini akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi di Putrajaya.

Apa kata anda? Dah baca, sila share dan komen ya. Terima kasih

Sumber: MH

Author: Sis Korea