Parasite Tiru Filem Tamil? Penerbit Nak Saman & Minta Pampasan.

“Mereka Ambil Plot Filem Saya!”

Penerbit filem Tamil berjudul Minsara Kanna, PL Thenappan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penerbit filem Parasite kerana meniru karya asalnya.

Kata Thenappan, filem Parasite dilihat sebagai satu versi rip-off filem Tamil terbabit.

“Saya akan memfailkan kes dengan bantuan seorang peguam antarabangsa. Mereka telah mengambil plot filem saya,” kata Thenappan.

Tambah Thenappan lagi, pihaknya akan menuntut pampasan daripada pengeluar Parasite kerana mengambil idea daripada filemnya.

Parasite yang diarahkan oleh Bong Joon-ho mencipta sejarah dengan menjadi filem berbahasa asing pertama memenangi anugerah Filem Terbaik di Oscars, selain turut membawa pulang anugerah Pengarah Terbaik, Skrip Asal Terbaik dan Filem Luar Terbaik.

Filem Minsara Kanna, terbitan tahun 1999 dibintangi pelakon Tamil popular, Vijay.

Susulan kemenangan Parasite di Oscar, peminat Vijay meluahkan kekesalan selain mendakwa adanya persamaan filem itu dengan filem lakonan bintang kesayangan mereka.

Sementara itu, Pengarah Minsara Kanna, S. Ravikumar pula menyifatkan satu kebanggaan baginya apabila kontroversi itu membawa perhatian terhadap filemnya.

Dia bagaimanapun tidak berniat mengambil apa-apa tindakan.

“Saya gembira kerana filem itu menerima anugerah Oscar, walaupun ia (Minsara Kanna) hanya sebagai inspirasi.

“Tetapi untuk menyaman, itu terserah kepada penerbit,” kata Ravikumar, seperti yang dipetik portal The News Minute.

Minsara Kanna, mengisahkan tentang Kaasi (lakonan Vijay) memasuki rumah seorang wanita kaya sebagai pemandu dan membawa ahli keluarganya, seorang demi seorang untuk bekerja di rumah tersebut dengan motif tersembunyi.

Dah baca? Tolong like, share dan komen yang baik-baik ye. Terima Kasih.

Sumber: Gempak

 

Author: Sis Korea